![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjhdrt09JgtFwUjyTTn5uZpyNh9ojT_w0HxtNw2eFz86cZh9rdPZ8YZ2AO0b0hMP0k1K8CBzoGXgqVf3lWvH6lEWnDpV5xWbm2QgDTMCNzKiQpojNpUFMg2ciDb7Qdu8Sf8ltpC1xEJ1ys/s1600/Marsha.jpg)
Sikapnya yang naif dan lemah lembut membuatkan dirinya menjadi mangsa insan yang bertopengkan ‘syaitan’ dan tidak berperikemanusiaan.
Akibat dirogol dan tidak sanggup lagi hidupnya terus teraniaya, si gadis manis bernama Suri mengambil keputusan untuk membunuh diri.
Ia bukan realiti, sebaliknya satu karakter yang dizahirkan pelakon cantik, Marsha menerusi sebuah filem yang ‘diperam’ selama lima tahun dek mengalami masalah teknikal iaitu Tujuh yang bakal menemui penonton bermula 8 November ini.
Bersua bicara, Marsha ligat bercerita mengenai naskhah karya pengarah terkenal, Raja Mukhriz Raja Ahmed Kamaruddin termasuk sedikit kegusarannya mengenai penerimaan penonton kelak mengenai watak yang dibawanya.
“Saya berdebar. Sebenarnya dari awal kami menjalani sesi penggambaran pun, saya sudah terfikir bagaimana tanggapan dan penerimaan orang ramai terhadap filem ini nanti.
“Apa yang dikatakan, naskhah ini adalah salah satu cerita seram terbaik yang pernah saya terlibat baik dari segi keserasian bersama barisan pelakon mahu pun adegan-adegan aksi yang saya laku juga,” jelasnya yang turut melakukan sendiri lagak ngeri ketika aksi ‘membunuh diri’.
Keistimewaan
Diperam selama lima tahun sebelum menjengah ke pawagam di seluruh negara tidak lama lagi, pastinya ada keistimewaan atau apa yang wanita cantik ini mahu perkatakan dan janjikan kepada peminat khususnya bagi pengikut naskhah bergenre seram dan thriller.
Menurut Marsha, banyak cerita seram atau hantu yang disiarkan di negara ini dan bagi saya, Tujuh adalah antara satu filem bergenre sedemikian yang boleh dikatakan lain daripada yang lain.
“Set penggambaran naskhah ini berlatarbelakangkan era 1970-an. Selalunya apabila kita menonton filem hantu yang diterbitkan di negara ini, ia berkisar tentang cerita semasa.
“Selain itu, watak hantu yang dipaparkan dalam filem Tujuh sendiri pun nampak pelik sedikit yang mana apabila ia berjalan, ia seperti labah-labah dan mempunyai empat tangan,” ujarnya yang pada awalnya agak gerun untuk menggambarkan rupa hantu dalam filem berkenaan.
Menurut wanita yang lahir menerusi program realiti Akademi Fantasia Musim Ketiga ini lagi, naskhah Tujuh juga sebenarnya mempunyai maksud yang mendalam di sebalik plot penceritaannya.
Alang-alang bersua muka, Marsha diminta untuk berkongsi lebih lanjut mengenai watak yang digalasnya dalam filem itu.
Katanya, dalam naskhah ini, dia memegang watak sebagai Suri iaitu wanita Orang Asli daripada suku Semai yang naif dan lemah lembut.
“Suri dan bapanya, Tok Batin (lakonan Wan Hanafi Su) adalah penjaga bagi sebuah rumah persinggahan milik keluarga Sam (lakonan Johan A’sari).
“Suatu hari Sam dan rakan-rakannya daripada kolej telah datang ke rumah berkenaan untuk mengadakan parti, namun ia bertukar liar.
“Terjadi perkara yang tidak diingini apabila salah seorang daripada mereka telah merogol Suri,” katanya.
Jelas Marsha lagi, akibat kesalahan yang dilakukan sahabat Sam tersebut, Suri telah menyumpah mereka dan tidak lama kemudian, berlakunya kejadian seram.
Hos
Marsha diajak pula bersembang mengenai kerjaya seninya yang telah memakan masa lebih satu dasawarsa.
Ujarnya, dia baru selesai menjalani penggambaran untuk sebuah rancangan berbentuk majalah iaitu Pesona Pengantin yang ditayangkan pada setiap hari Ahad, pukul 7 malam di Astro Prima.
“Sebelum ini, biasanya kalau rancangan seperti ini, ia hanya melibatkan penggambaran sesebuah majlis perkahwinan, tetapi Pesona Pengantin berbeza.
“Dalam rancangan ini, saya bertanggungjawab untuk menemu bual mereka yang bekerja di belakang tabir.
“Selain itu, saya juga bertemu dengan pereka fesyen yang membicarakan tentang pakaian pengantin yang sesuai dipakai pada hari bahagia mereka.
Selain itu, Marsha atau nama sebenarnya Marsha Milan Londoh turut memberitahu, dia bakal muncul dengan single solo dan duet terbaharu bersama penyanyi Velvet tidak lama lagi.
“Kita sudah jumpa komposer tetapi saya mahu rahsiakan dulu orangnya.
“Untuk konsep single kali ini, saya nak cuba kelainan dengan lari daripada genre balada. Kali ini genrenya lebih kepada pop catchy,” ujarnya sambil menjelaskan, single dan genre berkenaan selari dengan usia serta karakternya.