
Di sebalik kejayaannya menggenggam Ijazah Sarjana Sabtu lalu, masih ada yang mengaitkan Sufian Suhaimi dengan kisah lalunya.
Tidak menafikan komen segelintir netizen yang tetap mengungkit kisahnya dengan bekas tunang, Sufian Suhaimi berkata, mungkin sudah tiba masanya untuk orang luar move on seperti mereka.
Apatah lagi ujar jejaka berusia 26 tahun ini, baik dia mahupun Elfira Loy, kedua-duanya sudah mempunyai kehidupan masing-masing dan sudah bangkit meneruskan kehidupan.
"Saya tak boleh nak tutup mulut orang dari terus berkata apa yang mereka mahu. Tapi apa yang berlaku dalam kehidupan saya, banyak mengajar saya untuk lebih bersabar dengan apa yang orang kata.
"Malah saya rasa orang lain pun sedia maklum dengan berita terbaharu mengenai dia (Elfira) dan kami sama-sama sudah move on dengan kehidupan kami.
"Pada pendapat saya bukan kami yang tak move on, tapi netizen. Jadi saya rasa sudah tiba masanya untuk netizen move on dan henti dari mengait atau mengungkit kisah lalu," ujarnya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada majlis pengumuman 30 buah lagu untuk semi final Muzik Muzik ke-33 (SFMM33) yang akan berlangsung pada November ini.
Dalam pada itu, Sufian berkata, dia tidak mahu terburu-buru mencari pengganti, namun tidak pernah sesekali menutup pintu hatinya.
"Masih banyak lagi yang mahu saya buat dan cari pengganti bukanlah keutamaan saya buat masa ini.
"Tapi dalam masa yang sama, saya tidak pernah menutup pintu hati dan kalau dalam masa sama ada yang berjaya mengetuk pintu hati, saya tidak ada masalah memulakan perhubungan baharu," katanya.
Sementara itu, Sufian berkata, dia berharap dapat memberi yang terbaik untuk SFMM33 yang akan berlangsung pada 9 November depan.