
Penyanyi Nourul Depp, sekali lagi membuat penjelasan tentang sebab dirinya menolak untuk menyertai pertandingan nyanyian yang mencetuskan fenomena, Gegar Vaganza, yang disertai ramai rakan-rakan seangkatannya.
Penjelasan dibuat apabila ramai yang masih bertanyakan kepadanya tentang perkara tersebut selain berharap penyanyi Kerana Terluka ini membuat pertimbangan untuk menyertainya pada musim depan.
“Saya faham bagaimana cintanya anda semua pada nyanyian dan bakat saya. Saya faham yang penyokong saya nak tunjuk bagaimana hebatnya penyanyi kesayangan mereka. Saya tahu dan faham sangat-sangat.
“Saya tak hebat. Saya masih belajar. Saya ada pendirian saya. Maafkan saya kerana tak dapat penuhi permintaan dan kemahuan you all. Itu kemahuan anda semua. Tapi itu yang saya tidak mahu.
“Saya lebih suka untuk buat persembahan bukan pertandingan. Ingat, brand sesuatu program yang dah famous ada musimnya. Saya tak mahu jadi artis bermusim. Biarlah untuk semua musim,” jelas Nourul di Instagram miliknya.
Menurut Nourul, seseorang itu perlu faham tentang sesebuah pertandingan mahupun program TV.
Malah katanya, tidak semestinya seseorang artis itu perlu sertai semuanya, selain ada sesetengah program yang mana penerbitnya tidak mahu memilih seseorang artis itu atau sebaliknya.
“Saya hormati semua program TV dan radio di Malaysia ini. Kerana mereka banyak menyokong saya dari awal sehinggalah hari ini. .
“Ada tak Team GV (Gegar Vaganza) bertanya saya? Ya ada, dari musim kedua. Tapi saya menolak. Bukan saja GV, malah Program The Voice di Paris, France.
“Bukan nak tunjuk hebat. Saya tidak sehebat mana. Seperti mana saya terangkan tadi, saya masih belajar. Setiap hari. Saya punya prinsip dan perancangan saya. Ianya mungkin bertentangan dengan kemahuan peminat saya. Tapi itu pendirian saya,” tegasnya.
Dalam masa yang sama, Nourul berharap mereka di luar sana tidak bertanya lagi tentang perkara tersebut pada masa akan datang. Sebaliknya mengharapkan agar mereka yang menyokong kerjaya seninya untuk terus datang menyaksikan setiap persembahanya.
“Maafkan saya. Sekali lagi saya beritahu, ini penjelasan nya. Jangan tanya saya lagi. Just come to my show. Insya-ALLAH lepas bersalin next year kita buat. Masa tu you all datang.
“Buat masa ini saya lebih suka menyanyi di persembahan pentas yang diundang syarikat tempatan dan antarabangsa atau untuk aktiviti amal di IG ini yang saya sedang jalankan untuk rumah Nurhati. Mohon semua untuk beri sokongan yang seperti selalunya.
“Saya kasihkan semua penyokong dan peminat saya sebagaimana anda semua kasihkan saya. Satu hari, i will make you prouder than now. Insya-ALLAH,” tulisnya lagi.