Sinead O’Connor kini Shuhada Davitt




Penyanyi terkenal era 1980-an Sinead O’Connor mengejutkan peminatnya apabila membuat pengumuman telah memeluk agama Islam di akaun Twitternya pada 19 Oktober lalu.

Bintang kelahiran Ireland yang telah menukar nama kepada Magda Davitt secara rasmi pada tahun lalu selepas menyertai gereja Katolik kini mahu dikenali dengan nama Shuhada Davitt yang membawa maksud saksi dalam bahasa Arab.

“Saya mahu membuat pengumuman bahawa saya bangga menjadi seorang Muslim. Ini merupakan kesimpulan kepada semua perjalanan kepercayaan. Semua kajian tentang agama membawa kepada Islam. Secara tidak langsung membawa maksud ada lebihan kepercayaan. Saya akan diberi nama baharu dan ia adalah Shuhada,” tulisnya di Twitter.

Wanita yang pernah berkahwin sebanyak empat kali dan memiliki empat orang anak itu turut memuat naik video dia melaungkan azan buat kali pertama.

“Ini adalah percubaan pertama saya melaungkan azan. Terdapat sebutan yang salah kerana terbawa oleh emosi. Namun, akan ada beratus yang akan naik ke atas pentas ini,” katanya.

Lebih manis, wanita berusia 51 tahun itu turut memuat naik gambarnya memakai hijab buat tatapan peminatnya. Sebelum ini O’Connor sering tampil dengan pakaian seperti paderi ketika membuat persembahan pentas.

“Rakan baik saya, Elaine telah memberikan hijab pertama saya. Dia turut berdebar ketika saya menyarungkan hijab buat kali pertama,” tulisnya yang menggunakan nama Shuhada Davitt di Twitter.

Terdahulu penyanyi yang popular dengan lagu The Nothing Compare 2 itu mencetuskan kontroversi apabila mengoyakkan gambar Pope dalam sebuah program siaran langsung kerana protes terhadap penderaan kanak-kanak.

Disebabkan itu hubungan O’Connor dan gereja Katolik bermasalah selain membuat kejutan dengan menjadi paderi dalam satu pergerakan Katolik. Tindakan O’Connor itu menimbulkan kemarahan kerana gereja Katolik tidak membenarkan wanita menjadi paderi.

Wanita yang sinonim dengan imej botak itu juga pernah memberi surat terbuka kepada penyanyi Miley Cyrus pada 2013 dengan memberi amaran akan mesej negatif yang disampai Cyrus kepada peminatnya.

“Mesej yang kamu hantar kepada peminat seolah-olah mengatakan bahawa hebat untuk menjadi seorang pelacur. Ia tidak bagus dan sangat bahaya,” tulisnya.

Sakit mental
Pencarian kepercayaan O’Connor bermula kerana kehidupan peribadinya yang bermasalah. Penyanyi yang pernah menghasilkan 11 buah album studio itu bukan sahaja gagal dalam perkahwinan tetapi turut terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Bertambah parah dia juga mendedahkan menghidap penyakit bipolar sehingga pernah melakukan cubaan membunuh diri pada ulang tahun ke-33. Dia kemudiannya mendapatkan rawatan mental secara intensif menerusi seorang pakar di Amerika Syarikat pada tahun lalu selain pernah menjalani pembedahan pembuangan uterus pada 2015.

Kini, meskipun sudah memeluk Islam dalam O’Connor satu temu bual eksklusif bersama Daily Mail awal minggu ini memberitahu, dia akan meneruskan kerjaya seninya seperti biasa.

Dia bakal mengeluarkan single terbaharu berjudul One More Yard kolaborasi dengan nama-nama terkenal seperti Ronnie Wood (pemain gitar Rolling Stones), Cilian Murphy (pelakon Ireland), Nick Mason (Pink Floyd) dan Imelda May.

Single tersebut dibuat bagi tujuan amal untuk mengenang pengorbanan askar dalam perang dunia pertama dan meningkatkan kesedaran penyakit kanser.

Selain O’Connor selebriti terkenal lain yang memeluk agama Islam ialah Yusuf Islam, Jermaine Jackson, Janet Jackson dan Muhammad Ali.

Post a Comment

Previous Post Next Post