![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjkD-RYD34AjUAG9uCRQRs13SICcxe2k3drc-uBGu-dYWxYB2gJaUTEmmeUTBnulV9cd8pTQuoe_UmJ9M_esff5AvduYuIYTWx2ZVUpA53YPVFPy02pxrcOkDqJkGg8YopC83oWzq6ktkA/s1600/Zahirah+MacWilson.jpg)
Mengenali pelakon baharu Zahirah Macwilson, dia ialah seorang yang tidak mudah melenting dan sering berterus-terang apabila menjelaskan isu yang berkaitan dengan dirinya mahupun kerjaya.
Oleh sebab itu, apabila baru-baru ini timbul isu tentang gaya pemakaian gadis berusia 23 tahun ini yang dianggap keterlaluan dan tidak sopan oleh peminat ketika berkunjung ke Tokyo, Jepun, Zahirah hanya mampu tertawa.
Menganggap hal berkenaan pemakaian seseorang artis sebagai sesuatu yang sentiasa dijadikan bahan oleh peminat untuk mencetuskan perdebatan sesama mereka, pelakon yang popular dengan drama Jangan Benci Cintaku ini lebih suka membiarkan ia senyap sendiri.
Tambahnya lagi, setiap apa yang dibuat dan dipakai pasti telah mendapat persetujuan atau keizinan daripada kedua ibu bapanya terlebih dahulu, jadi jika mereka tidak mempunyai sebarang bantahan maka, Zahirah berasa itu sudah cukup buat dirinya.
Adakah Zahirah sedar gambar yang dimuat naik dalam laman Instagram itu akan menimbulkan isu seperti ini?
ZAHIRAH: Setiap kali memuat naik sebarang foto dalam media sosial, saya lakukan dengan niat untuk berkongsi perkembangan terkini tentang kerja atau aktiviti harian saya. Ini bukan kali pertama soal pemakaian menjadi isu, jadi saya malas hendak panjangkan perkara ini. Apa yang penting saya tahu apa yang dilakukan dan ia bukan dibuat untuk menarik perhatian secara suka-suka.
Pernahkah anda berasa kesal dengan sikap peminat yang suka menuduh perkara yang tidak elok secara membuta tuli sahaja?
Tidak, kerana saya faham di Malaysia, sensitiviti soal pemakaian ini agak tinggi dan mungkin mereka tidak tahu tujuan sebenar saya berpakaian begitu atas dasar apa. Sebenarnya saya memakai kostum arnab sewaktu di Jepun kerana tuntutan kerja apabila menjalani penggambaran bersama AirAsia untuk kempen #ThroughTheLens. Ia sebahagian daripada kerja, jadi saya lakukannya kerana ia tanggungjawab saya.
Jadi anda tidak terkesan apabila ada yang melabelkan dengan gelaran kurang elok ekoran gambar berbaju kostum arnab itu?
Biarlah mereka hendak berkata apa sahaja kerana mulut manusia memang tidak boleh ditutup. Saya tidak melakukan apa yang dikatakan itu, jadi mengapa perlu terasa hati. Saya ke sana untuk bekerja dan telah laksanakan tanggungjawab saya. Itu sudah memadai.
Tidakkah anda rasa ia akan mempengaruhi juga fesyen peminat yang mengikuti anda di media sosial terutama yang masih remaja apabila berpakaian begitu?
Jika hendak bercakap soal pengaruh, dunia sekarang semuanya di hujung jari, jadi tidak perlu menunggu saya berpakaian seksi untuk menjejaskan pemikiran remaja yang mengikuti saya di media sosial.
Lagipun pada hemat saya, apa yang saya pakai bukanlah begitu mencolok mata dan saya masih tahu batas bila bergaya. Dibesarkan di luar negara (Perth, Australia) selama 20 tahun, beginilah fesyen saya sejak dahulu dan ibu bapa saya juga mengetahuinya.
Beralih sedikit kepada isu lain, benarkah anda mempunyai masalah dengan artis senior, Rita Rudaini yang didakwa mencemburui kejayaan anda dalam industri?
Sejujurnya, ini kali pertama saya mendengar gosip itu kerana saya tidak berkenalan rapat dengan Rita atau pernah bekerja dengannya dalam apa-apa projek lakonan sebelum ini. Saya agak terkejut apabila diberitahu tentang khabar angin, jadi saya memang tidak boleh berikan sebarang komen.
Adakah isu seperti itu akan menjejaskan kelancaran kerjaya anda dalam dunia lakonan selepas ini?
Apa yang boleh saya katakan adalah ia merupakan lumrah dunia yang menyaksikan tidak semua orang akan sukakan saya dan begitu juga sebaliknya.
Saya tidak boleh memaksa sesiapa untuk menyukai diri saya, jadi tidak mengapalah andai apa yang dilaporkan itu benar. Saya masih terlalu baharu dalam industri, jadi enggan mencari sebarang masalah dengan sesiapa.
Saya cuma mahu bekerja dengan tenang dan mencari rezeki tanpa bergaduh sesama rakan artis.