
Bukan mudah memikul tanggungjawab sebagai ibu dan bapa. Lebih-lebih lagi apabila kedua-duanya bekerja dalam lapangan seni yang menuntut mereka bekerja tanpa mengira masa. Begitu juga yang dilalui pasangan selebriti yang bergelar suami isteri, Shuib dan Siti Sarah yang sudah mendirikan rumah tangga hampir lapan tahun.
Biarpun sudah dikurniakan tiga cahaya mata, Uwais Alqarni, 7; Dzahira Talita Zahra, 5, dan Ariq Matin, 3, bagi kedua-dua anak seni itu akan memastikan anak-anak sentiasa menjadi keutamaan dalam apa jua yang dilakukan.
Menariknya, kisah dan ragam mereka sekeluarga juga kini dirakamkan menerusi program Oh My Family! yang sudah memasuki musim kedua. Semestinya ia menjadi satu pengalaman yang cukup bermakna buat mereka sekeluarga.
Justeru minggu ini, Sensasi Bintang membawakan kisah pengalaman Shuib dan Sarah untuk berkongsi cerita mengenai penglibatan mereka dalam program siaran Astro Ceria itu selain kisah dalam membesarkan anak-anak mereka.
SENSASI BINTANG: Apakah cabaran yang dihadapi sewaktu menjalani penggambaran bersama anak-anak bagi program Oh My Family!?
SHUIB: Kita tidak boleh nak harapkan mereka akan mengikut kita, sebaliknya kita yang perlu ikut rentak mereka, maklumlah budak-budak ini mereka ada perangai dan ragam masing-masing. Penggambaran berlangsung di tiga lokasi berbeza iaitu di Cameron Highland, Pahang; Pulau Pangkor, Perak dan Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
SITI SARAH: Biasalah anak-anak ini ada masa mereka meragam, ada mood tidak baik, ada masa gembira. Kalau kita yang sudah dewasa pun ada masalah yang sama, cuma bezanya kita dah besar dan boleh kawal diri sendiri. Kalau anak-anak, apa yang mereka rasa, itulah yang mereka tonjolkan.
Apakah antara tugasan keluarga yang perlu dilaksanakan dalam program tersebut?
SHUIB: Tugasan yang diberikan memerlukan kami menjayakan program itu seawal pukul 6 pagi hinggalah matahari terbenam. Antaranya termasuklah aktiviti memetik daun teh dan kubis selain terlibat dengan aktiviti di laut.
SITI SARAH: Paling menguji ketahanan apabila kami perlu melakukan tugasan untuk membuat ikan masin dan kerepek ikan. Belajar macam mana nak menjemur, asingkan ikan bilis. Itu mencabar kerana faktor cuaca yang amat panas pada masa itu kerana bersama anak-anak. Apabila sudah waktu tengah hari, biasalah anak-anak dah tiba waktu untuk lelapkan mata.
Adakah kalian memberikan lampu hijau untuk anak-anak terlibat dalam dunia hiburan dengan menyertai program-program televisyen pada masa akan datang?
SHUIB: Saya terlibat dalam program ini dengan anak-anak pun sebab nak jadikan satu kenangan bersama mereka. Apabila mereka sudah besar dalam tempoh 10 tahun lagi misalnya, sekurang-kurangnya ada kenangan bersama keluarga yang mereka boleh ditonton semula nanti. Cumanya, kalau nak lepaskan mereka terlibat dalam penggambaran program kanak-kanak, rasanya belum masanya lagi.
SITI SARAH: Program ini berbeza dengan konsep berlakon drama atau filem. Kami tidak ada fikir ke arah itu lagi. Apa yang saya lihat penglibatan kami dalam program ini lebih kepada nak kuatkan ikatan kekeluargaan itu. Kalau tak kerana program ini, mungkin kami tidak pernah terfikir nak mencuba aktiviti-aktiviti seperti yang dirangka dalam Oh My Family! Bahkan, kemungkinan besar kalau Shuib ajak nak ke sawah suka-suka pun saya akan jawab tidak.
Adakah anak-anak anda sudah mula menunjukkan kecenderungan dalam dunia hiburan?
SHUIB: Saya dalam industri, Sarah pun dalam industri yang sama. Buat masa ini biarlah mereka tumpukan pada pelajaran terlebih dahulu. Cuma, Uwais walaupun usia tujuh tahun, tetapi selera dia lebih kepada nak menonton cerita-cerita seniman Tan Sri P. Ramlee.
SITI SARAH: Saya tidak nampak bakat mereka sebagai pelakon. Cuma, kalau dari segi muzik, mungkin saya akan berikan galakan. Tambahan pula semua anak saya memang menunjukkan minat kepada muzik. Uwais sendiri mempunyai selera muzik yang mungkin agak aneh untuk kanak-kanak seusia dengannya. Dia suka dengar lagu-lagu Datuk M. Nasir. Lagu-lagu yang ada jiwa.
Bagaimanakah kalian memperuntukkan masa bersama anak-anak memandangkan kedua-duanya sibuk dengan jadual sebagai anak seni?
SHUIB: Kami memang sibuk, namun sibuk mana sekalipun, satu hari mesti saya nak pegang dan berborak dengan anak-anak. Perlu ada masa kualiti dengan anak-anak. Misal kata, kalau saya ada kerja di luar kawasan, saya akan bawa anak-anak juga. Kalau dalam seminggu saya tidak bawa anak-anak keluar jalan atau pergi makan di luar, isteri lah yang akan ingatkan.
SITI SARAH: Apa yang lebih penting bukanlah berapa banyak masa, sebaliknya kualiti masa yang diberikan kepada anak-anak. Kita cari rezeki untuk keluarga, tetapi kalau akhirnya keluarga diketepikan, tak adalah ertinya. Walaupun setengah jam, tetapi kalau impak yang diberikan itu maksimum, itu lebih penting berbanding duduk 24 jam dengan mereka, tetapi tak berkualiti kerana asyik dimarahi, cubit, atau dirotan. Anak-anak kecil sehingga usia tujuh tahun ini, memori mereka sangat kuat untuk diingati. Jadi, kalau boleh biarlah kita berikan momen yang baik sahaja kepada mereka.
Mungkin kalian ada perkembangan lain yang ingin dikongsikan kepada pembaca di luar sana?
SHUIB: Selain aktiviti seni, saya memang tengah sibuk dengan bisnes produk madu yang saya jalankan. Saya berasa gembira untuk laksanakan dan kembangkan bisnes ini kerana secara tidak langsung dapat kongsi rezeki dengan stokis dan ejen yang bersungguh-sungguh nak ceburkan diri dalam perniagaan. Pada masa sama saya juga dalam proses untuk ceburi bidang kecantikan dan pakej umrah.
SITI SARAH: Sekarang, saya masih dalam rangka promosi lagu Semakin. Insya-Allah selepas ini akan muncul dengan video muzik terbaharu. Kami sudah selesai menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur, cuma dalam proses suntingan sahaja.