
Jarang-jarang sekali wajah Darling Ngasri muncul di tempat umum mahupun di skrin televisyen (TV) selepas beralih angin menjadi penerbit drama sejak 15 tahun lalu.
Memberi fokus 100 peratus pada hal penerbitan drama, ironinya kakak kepada Datin Anne Ngasri itu kini terjentik hati untuk kembali beraksi di layar perak dan TV.
Dia sempat bercerita tentang hasrat hatinya yang sudah lama disimpan itu ketika ditemui Sensasi Bintang di lokasi penggambaran filem Hero The Movie baru-baru ini.
“Saya pernah berlakon dalam produksi sendiri pada awal-awal menjadi penerbit dahulu iaitu 2003. Bagaimanapun, saya tidak dapat fokus, bahkan fikiran juga terganggu kerana memikirkan sudut lakonan dan juga penerbitan drama. Maka, saya akhirnya mengambil keputusan untuk berada di belakang tabir sahaja,” ujar Darling atau nama sebenarnya Nasreen Ngasri itu.
Ironinya, Darling dipaksa pengarah Azizi ‘Chunk’ Adnan untuk muncul dalam satu babak menerusi filem pertamanya, Hero The Movie.
Maka, permulaan itu yang mendorong hatinya untuk kembali ‘membelasah’ karakter selepas ini.
“Ini semua kerja Azizi yang memaksa saya berlakon satu babak dalam filem berkenaan. Selepas itu, ia secara tidak langsung menjentik hati saya untuk kembali berlakon. Mungkin tahun ini saya akan mula berlakon sedikit demi sedikit,” jelas Darling mesra.
Mengulas mengenai filem pertamanya itu, Darling mengakui, dia tidak berdepan dengan sebarang kesukaran besar memandangkan pernah menerbitkan drama Hero di TV2 pada 2016.
Malah, atas tiket pengalaman dan sambutan hangat daripada drama bersiri itu, Darling kemudian menerbitkan sebuah novel dan terkini, menghasilkan filem Hero The Movie pula.
“Walaupun ia berkisarkan tentang unit beruniform, bomba dan penyelamat, namun jalan cerita untuk filem adalah berbeza dengan siri TV.
“Drama Hero lebih kepada aksi, manakala filem Hero The Movie pula dihasilkan dalam bentuk komedi, aksi. Maka, disebabkan itu saya memilih pelakon komedi seperti Mark Adam dan Bell Ngasri untuk membintangi filem sulung saya ini. Selain itu, filem ini dilakonkan oleh Hisham Hamid, Elisya Sandha, Tash Yong, Datuk Jalaluddin Hassan dan Syafiq Farhain,” ujarnya yang memberitahu memilih genre komedi kerana mahu ia ditonton oleh segenap lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak.
Biarpun ia bergenre komedi, namun Darling mahu filem sulungnya dihasilkan secara teliti dan diterima baik oleh semua.
“Sejujurnya, saya olah skrip filem Hero The Movie ini sebanyak lapan kali. Saya juga menukar genre sebanyak tiga kali dan akhirnya berasakan genre komedi aksi adalah pilihan tepat,” ulasnya yang gementar menunggu reaksi penonton menerusi filem pertamanya itu.
Filem terbitan syarikat Darling iaitu NS Star Sdn. Bhd. dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan itu menampilkan kisah anggota bomba yang berdepan pelbagai cabaran termasuk memadam kebakaran di pusat tahfiz.
Ia mengisahkan tentang Zaf (Hisyam), Amad Mustar (Bell), Adam Fanifinali (Mark), Amylia (Elisya Sandha) dan Suraya (Tash Yong) yang menjalani kehidupan sebagai anggota bomba.
Bagaimanapun, kerjaya mereka tergugat disebabkan rancangan jahat Master Samiri (Jalaluddin) yang mempunyai rangkaian antarabangsa yang mahu menculik Amylia.
Dia dibantu Don Shah (Shaharuddin) yang lagaknya persis mafia yang kaya, sangat bergaya dan sukakan perhatian.