
Lelaki dengan nama Khai Bahar itu berasa momen enak dalam hidupnya. Hal ini kerana dia baru sahaja dinobatkan sebagai Penyanyi Lelaki Popular dua tahun berturut-turut menerusi Anugerah Bintang Popular ke-30 dan 31.
Bakat nyanyiannya mengalir deras dan dia pandai beradaptasi dengan lensa kamera serta mendakap hati peminat. Lalu membentuk perkataan keramat, bintang popular.
Namun begitu, pemilik nama sebenar Muhammad Khairul Baharuddin itu, sentiasa mengucap predikat syukur dan sedar diri waima dilingkari populariti.
Tidak sesekali anak kelahiran Kampung Padang Katong , Kangar, Perlis itu lemas diulit populariti silih berganti. Sebaliknya, Khai masih pemuda yang sama.
“Mana boleh menyombong dengan peminat sebab merekalah tulang belakang kepada kejayaan saya. Saya tidak mahu dituduh bagai kacang lupakan kulit,” lentur Khai tanpa pernah menanggalkan loghat utaranya.
“Loghat utara mana boleh tinggai (tinggal). Perlis tetap di hati,” sambung Khai lagi sambil tertawa mesra tatkala penulis menegur loghat utaranya.
Kebenaran sikap Khai di belakang tabir, ironinya pelantun lagu Luluh itu seorang anak muda yang tebal basa-basinya. Dia jauh daripada sifat lupa diri yang pernah segelintir orang tersalah anggap.
“Sebagai artis, kita tidak tahu tahap mana populariti dan relevannya kita dalam industri seni, jadi saya sentiasa bersiap sedia. Sekarang mungkin orang sukakan kita dan mengundi kita sebagai artis popular, namun esok lusa kita tidak tahu,” luncur bicaranya lagi.
Bela Wany Hasrita
Seraya merendah diri, bintang yang dikenali menerusi aplikasi Smule itu juga mengakui, bakat nyanyian yang dimilikinya tidaklah terlalu besar. Namun, katanya, peminat cukup berbesar hati mengundi dia sebagai Penyanyi Lelaki Paling Popular.
“Saya berterima kasih dan pada masa sama saya akan buat yang terbaik dan perbaiki kekurangan yang ada,” ulas Khai kepada Sensasi Bintang.
Sengaja mendapatkan buah fikirannya tentang kemenangan Wany Hasrita sebagai Bintang Paling Popular yang dipertikai banyak pihak. Ternyata Artis Paling Popular menerusi Anugerah Planet Muzik 2017 itu, kasihan dengan nasib yang menimpa rakan seangkatannya itu.
“Mereka yang membuat kenyataan Wany tidak layak itu mungkin kerana tidak mengenali bakat dan kemampuan Wany. Mungkin ada yang sedar tetapi tidak menyukai dia pula. Tetapi nak buat macam mana sebab tidak semua orang sukakan kita. Sebagai contoh dalam laman sosial, setiap kali artis berkongsi foto dan status, pasti akan ada komen negatif daripada netizen. Bagi saya itu lumrah. Cuma, kena percaya pada kuasa undian peminat dan rezeki yang sudah tertulis untuk Wany,” ulasnya yang berbangga dengan kemenangan rakan seangkatannya dalam bidang seni suara itu tanpa sekelumit iri hati.
Abang Tembikai
Biar sering mengalun lagu melankolik, ia bukan satu masalah untuk penyanyi berusia 24 tahun itu mencuba pula lagu berentak rancak dan catchy.
Akuinya, lagu baharu dengan judul #123, benar-benar melarikan dirinya daripada sosok seorang penyanyi jiwang. Sebaliknya, lagu #123 menyerlahkan sisi nakal dan comel seorang Khai.
“Sebelum ini, saya banyak nyanyi lagu-lagu sedih. Namun, untuk single terbaharu ini saya mencuba sesuatu yang lain.
“Alhamdulillah, selama lima hari dikongsikan dalam laman YouTube, lagu tersebut mendapat 300,000 jumlah tontonan.
“Kelakarnya, peminat kata lelaki dalam video klip itu bukan saya. Saya juga digelar abang tembikai dan menerima banyak hadiah barangan yang bercirikan buah itu disebabkan dalam video klip itu saya memakai baju bercorak tembikai,” ujar Khai sambil tertawa besar.
Kahwin
Beralih soal hati pula, sengaja penulis menyelak isi sanubarinya sama ada terbitnya sebarang esen cinta.
Sambil tersenyum, Khai memberitahu, ada peminat yang melamarnya sebagai kekasih, namun ditolak dengan baik olehnya.
Kata Khai, dia belum bersedia untuk berkomitmen dengan hubungan cinta, sebaliknya mahu fokus kepada bidang nyanyian terlebih dahulu.
“Saya mahu perbaiki dahulu segala kekurangan dalam bidang nyanyian. Pada masa sama, mahu menstabilkan pelbagai perkara dan apabila tiba masanya, saya akan terus berkahwin. Kiranya, jika saya sudah bertemu dengan wanita yang berkenan di hati, saya akan terus berkahwin,” luahnya yang mengakui enggan bercinta lama.
Sebelum mengakhiri bicara, Khai mendedahkan, dia menjadikan lagu terbaharunya, #123 sebagai panduan buat dirinya untuk mencari wanita yang tepat dijadikan teman hidup.