
Zamani (kanan) dan Hattan turut merasai pemergian Saleem merupakan kehilangan besar dalam industri hiburan.
Penyanyi Zamani terkejut dan terkilan dengan pemergian rakan seperjuangan, Allahyarham Saleem kerana banyak hasrat semasa hayatnya tidak tercapai.
Kata Zamani atau nama sebenarnya, Zamani Ibrahim, pelantun lagu Suci Dalam Debu itu ada menyuarakan hasrat untuk menyertai program realiti, Gegar Vaganza.
"Kami ada bergurau untuk masuk Gegar Vaganza beberapa tahun lalu sewaktu dia sihat.
"Saya memang amat terkilan tidak dapat bertemu dengan dia dalam keadaan dia sedar. Ada melawat selepas dia kemalangan namun dia tidak boleh bercakap," jelas Zamani.
Mengulas lanjut, Zamani berkata, Allahyarham merupakan seorang penyanyi yang tiada tolak bandingnya dan antara artis yang paling senang bekerjasama.
"Allahyarham memang senang untuk memberikan kerjasama terutama ketika di studio rakaman. Suaranya memang tiada ganti," tuturnya yang pernah merakamkan semula lagu Isabella dengan Saleem bersama dua penyanyi ternama lain iaitu Datuk Jamal Abdillah dan Amy Seach.
Terdahulu, Saleem atau nama sebenarnya, A.M Salim Abdul Majeed menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).
Penyanyi berusia 57 itu sebelum ini terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 21 September lalu. Kemalangan tersebut mengakibatkan tulang rusuknya patah serta beliau berada dalam keadaan koma.
Sementara itu, penyanyi Datuk Hattan mengatakan beliau dan Allahyarham pernah merakam sebuah lagu bersama namun tidak berpeluang untuk dilancarkan.
“Kami berdua ada merakam sebuah lagu. Tetapi ia tidak pernah dilancarkan.
Sementara itu, Hattan berkongsi kenangan mereka bersama menjayakan sebuah konsert jelajah di Sabah penghujung tahun lalu.
“Kali terakhir saya berjumpa Allahyarham adalah pada bulan Disember lalu ketika sama-sama menjayakan konsert jelajah di Sabah.
“Ketika itu arwah sangat gembira dan ceria. Sepanjang mengenalinya, arwah memang berpewatakan begitu.
“Saya agak ralat kerana sepatutnya saya dan isteri melawatnya dua minggu lalu namun dibatalkan saat akhir kerana perlu pulang ke kampung," jelas Hattan ketika ditemui Kosmo! Online sebentar tadi.