
Pelakon filem seram Sabrina, Sara, Luna Maya dan Christian Andy yang menjayakan filem tersebut pada pratonton kepada Media.
Industri perfileman Indonesia cukup terkenal dengan naskhah seram atau cerita hantu yang disifatkan sebagai ‘makanan’ bagi pemain industri di sana.
Saban tahun, ada sahaja naskhah seram terbitan Indonesia dijual di pasaran tempatan dan kebanyakannya sentiasa membawa pulang jumlah kutipan lumayan.
Bagi peminat filem seram Indonesia, sebuah lagi karya dari negara republik berkenaan akan menemui peminat bermula 18 Oktober ini menerusi naskhah berjudul Sabrina: The Next Terror In The Doll Series.
Sabrina merupakan filem spin-off (ada kaitan) dengan sekuel filem seram The Doll dan The Doll 2 yang pernah ditayangkan pada 2016 dan 2017.
Meskipun mempunyai jalan cerita tersendiri, Sabrina dan kedua-dua sekuel The Doll tersebut turut menerima komen negatif apabila dikatakan mempunyai persamaan dengan naskhah seram Barat seperti Annabelle kerana menggunakan anak patung sebagai subjek utama penceritaan.
Mempunyai pandangan tersendiri tentang perkara tersebut, teraju utamanya, Luna Maya berkata, ia kelihatan sama hanya kerana menggunakan anak patung atau boneka tetapi sangat berbeza dari segi jalan cerita.
Ia sekali gus membuatkan Sabrina mempunyai nilai dan kualiti tersendiri untuk menarik penonton ke pawagam.
“Bezanya cukup jauh daripada Annabelle. Namun, kita harus ingat bahawa filem hanya sebuah filem. Ia sebenarnya bergantung pada penerimaan penonton, sama ada suka atau tidak.
“Bagi saya, ia tidak menjadi halangan kalau mana-mana pihak mahu buat filem tentang boneka. Sebab sebelum ada Annabelle, sudah ada karakter Chucky.
“Jadi bagi saya, terpulang kepada penonton untuk menilainya,” ujar Luna ketika hadir ke ibu negara sempena tayangan media Sabrina baru-baru ini.
Selain Luna, karya arahan Rocky Soraya tersebut turut dibintangi oleh Christian Sugiono, Sara Wijayanto, Jeremy Thomas, Richelle Georgette Skornicki dan Asri Handayani.
Ratu filem seram
Kongsi Luna, meskipun Sabrina menjadi naskhah seram kelima lakonannya, namun dia tetap menempuh cabaran tersendiri tatkala menjalani penggambaran filem berkenaan yang sudah pun ditayangkan di Indonesia pada bulan Julai lalu.
Hal ini kerana, terdapat satu babak yang menuntutnya ditanam hidup-hidup di dalam lubang berpasir dan ia dilakukan sendiri tanpa bantuan pelakon lagak ngeri.
“Itu adalah babak paling sukar dalam filem ini dan merupakan pengalaman pertama dalam hidup saya apabila ditimbus hidup-hidup di dalam pasir. Saya tidak pernah melaluinya sebelum ini.
“Untuk babak itu, saya perlu menahan nafas sekitar 15 saat di dalam pasir dan ia dilakukan sebanyak tiga kali bagi mendapatkan hasil terbaik.
“Selepas selesai melakukan babak itu, badan saya sangat letih kerana menggunakan banyak tenaga. Usai pulang dari lokasi penggambaran, banyak kali mandi pun bau pasir itu susah untuk hilang,” imbasnya.
Bagaimanapun, pelakon berusia 35 tahun itu tetap seronok menjayakan babak dan watak yang mencabar, walaupun wajahnya sudah kerap kali muncul dalam naskhah seram.
Atas alasan sebegitu juga, dia menerima gelaran Ratu Filem Seram Indonesia oleh peminatnya. Menjawab kenyataan tersebut, Luna hanya menyimpulkan tawa ceria sebelum mengatur bicara.
Bagi Luna yang memegang watak sebagai Maira, tidak ada yang salah tentang perkara tersebut.
“Saya tidak rasa ia sesuatu yang tidak elok apabila dilabel orang dengan gelaran itu. Mungkin kebelakangan ini saya banyak berlakon filem seram, jadi peminat pun memberikan gelaran itu.
“Saya cukup profesional tentang apa sahaja orang gelarkan kerana setidak-tidaknya ia masih ratu walaupun untuk naskhah bergenre seram,” katanya sambil ketawa.
Skrip berbeza
Bagi aktor Christian Sugiono yang memegang watak Aiden iaitu suami kepada Maira, ini merupakan debut pertamanya dalam naskhah seram.
Selama ini dia terkenal sebagai pelakon sinetron yang banyak membawakan genre karya romantik atau komedi. Jelas Christian, sebab utama dia menerima tawaran membintangi Sabrina adalah kerana tertarik dengan jalan cerita selain barisan pemain hebat yang mampu menjanjikan kejayaan buat filem yang menjalani penggambaran selama dua bulan iaitu pada Februari hingga April lalu tersebut.
“Kalau kita mahu berbicara tentang filem seram di Indonesia, kekerapan penghasilannya boleh dikatakan berlaku setiap tahun. Sama ada ia dibikin secara murah atau mahal, semuanya boleh dijual.
“Cuma untuk saya menerimanya bukan semudah seperti memejamkan mata. Saya lihat dari banyak aspek sebelum terima sesuatu karya terutama produksi, pemain dan jalan cerita. Sebab itu ketika membaca skrip Sabrina, ia sangat berbeza dan ada perubahan plot menarik untuk penonton pada akhir jalan cerita,” katanya yang teruja menantikan reaksi penonton di Malaysia.
Sementara itu, bagi Sara Wijayanto yang terdahulu muncul dalam The Doll dan The Doll 2, pengalaman menjalani penggambaran filem Sabrina disifatkannya cukup mencabar.
Meskipun tidak mengalami gangguan mistik, namun Sara yang memegang watak sebagai Laras tidak terlepas daripada turut melalui detik cemas.
“Di salah sebuah vila yang kami jalani penggambaran, kami difahamkan bahawa tempat itu memang agak keras. Ada suatu ketika, kru sedang bersiap sedia untuk melakukan penggambaran babak boneka Sabrina didudukkan di atas kerusi.
“Pada waktu itulah saya ternampak ada sesuatu yang duduk dekat dengan boneka tersebut. Mujurlah tiada apa-apa yang teruk terjadi kepada kami dan penggambaran berjalan dengan lancar,” katanya yang turut mempunyai kebolehan melihat makhluk halus.
Tiga pelakon popular Indonesia, Luna Maya, Christian Sugiono dan Sara Wijayanto berbicara tentang penglibatan serta pengalaman mereka membintangi naskhah seram, Sabrina yang mula memasuki pawagam Malaysia bermula 18 Oktober ini.