Didie Alias bersyukur kebenaran terbukti




Pelakon dan pengacara Didie Alias mengakui telah melalui episod kesukaran dalam hidup dan karier selepas berdepan kes saman daripada penerbit drama, Datuk Rafiena Ezanee Ramli pada Mac lalu.

Ekoran terpalit dengan saman yang bernilai RM400,000 tersebut, karier dan reputasinya terjejas sehingga pernah namanya digugurkan daripada kontrak mengacara sebuah program televisyen.

Sebelum ini, Rafiena memfailkan saman ke atas Didie atas dakwaan berlakunya perlanggaran kontrak dan penghinaan terhadap dirinya.

Kes tersebut difailkan Rafiena di Kaunter Pendaftaran Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor menerusi firma guaman Tetuan Zamri Idrus & Co.

Dalam tuntutannya, Rafiena menyatakan Didie sebagai bekas penerbit eksekutif sebuah rancangan travelog terbitan Dark Wave Pictures Sdn. Bhd. telah gagal menjalankan tanggungjawab menguruskan hal berkaitan penerbitan program sehingga plaintif mengalami kerugian.

Namun pada 2 Oktober lalu, Mahkamah Sesyen Shah Alam telah menolak saman sivil Rafiena dan syarikat Dark Wave Pictures sebagai plaintif pertama dan kedua terhadap Didie dengan kos RM10,000.

Hakim memutuskan kedua-dua plaintif telah gagal membuktikan tuntutan terhadap defendan dan saman guaman tersebut ditolak.

Ikuti temu bual bersama Didie atau nama sebenarnya Fadzilah Mohamad, 44, ketika ditemui pada majlis kesyukuran bersama anak yatim dari Rumah Kasih Nurul Hasanah, Ampang mengenai kemenangan yang berpihak kepadanya.

KOSMO!: Boleh Didie jelaskan tentang keputusan saman Rafiena yang berpihak kepada anda baru-baru ini?

DIDIE ALIAS: Syukur alhamdulillah. Tujuan saya mengadakan majlis doa selamat pada hari ini pun sebagai meraikan keputusan mahkamah yang berpihak kepada saya baru-baru ini.

Seperti sedia maklum, pada 2 Oktober lalu Mahkamah Sesyen Shah Alam telah pun menolak saman sivil yang dikemukan Rafiena. Dia diarahkan untuk membayar kos sebanyak RM10,000 kepada saya.

Selepas genap setahun kes ini berlaku, akhirnya kebenaran berpihak kepada saya. Sekarang saya ingin membersihkan nama baik dan reputasi saya sebagai seorang artis dan ibu. Selama berpuluh tahun dalam industri, saya tidak pernah ada niat untuk mengaibkan atau menyakitkan hati sesiapa.

Jadi apabila kes ini telah menimpa saya, ia memberi peringatan supaya lebih berhati-hati untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak selepas ini.

Dalam tempoh tersebut, apakah perkara paling teruk yang pernah terjadi kepada anda?

Terlalu banyak yang saya lalui selama ini. Saya masih ingat, sebelum kes itu berlaku, saya sudah pun diterima menjadi pengacara bagi sebuah program 13 episod untuk sebuah saluran televisyen.

Namun, sehari sebelum memulakan penggambaran episod pertama, saya dimaklumkan bahawa pihak produksi telah menggugurkan nama saya. Ia berlaku secara tiba-tiba dan tanpa sebab sedangkan saya sudah pun melakukan persiapan rapi.

Bagaimana dengan kehidupan anda sewaktu berdepan dengan ujian sebegitu?

Ada juga nama saya ditolak oleh stesen televisyen untuk membintangi drama tanpa saya tahu sebab munasabah. Secara jujurnya kes saman ini menjejaskan reputasi saya sebagai seorang artis.

Sejak berita saman itu keluar di semua platform media, orang luar pun menjatuhkan hukum dengan mudah terhadap saya. Anggapan mereka, saya disaman dengan jumlah yang sangat besar iaitu RM400,000. Sedangkan pada ketika itu prosiding masih belum bermula. Sekali gus ia telah menjejaskan reputasi dan orang telah hilang kepercayaan terhadap saya.

Tetapi saya bersyukur kerana pengalaman tiga dekad dalam industri membuatkan saya sentiasa bersedia dengan apa jua kemungkinan. Biarpun sukar tetapi saya ada cabang lain untuk mencari rezeki pada waktu itu.

Jadi, apa strategi anda selepas ini andainya ada keinginan bekerjasama dengan mana-mana produksi?

Kejadian ini benar-benar telah membuka mata saya untuk lebih berhati-hati dalam menerima sebarang tawaran.

Selepas ini, kalau ada menerima apa-apa tawaran, dokumen kontrak akan diserahkan kepada peguam saya untuk tujuan keselamatan. Cuma untuk menerima sebarang kerjasama dengan Dark Wave lagi selepas ini, ia bergantung pada nasihat daripada peguam.

Bagaimana pula hubungan anda dengan Rafiena?

Selepas dia membuat tuntutan awal kes berkenaan, kami ada bertemu sekali kerana pihaknya meminta saya menyelesaikan perkara ini di luar mahkamah. Namun hasilnya gagal.

Sehinggalah sekarang, tiada sebarang komunikasi antara saya dengan dia. Ia juga atas nasihat daripada peguam.

Mahkamah telah menolak saman Rafiena, apakah yang diharapkan anda selepas ini?

Syukur sebab semuanya kembali pulih. Sekarang fokus saya adalah untuk meneruskan karier seperti biasa tanpa menoleh ke belakang. Mujur suami menjadi penguat semangat dan sentiasa memberi sokongan terhadap saya selama setahun berdepan isu ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post