Masih hangat dengan jenama Pok Ya Cong Codei, pelakon dan pengarah, Sabri Yunus mengakui tidak mahir menjalankan perniagaan untuk meraih keuntungan.
Kata pemilik nama sebenar, Mohd. Sabri Yunus, 57, bukan dia tidak pernah mencuba untuk menjalankan perniagaan namun itu bukan jiwanya walaupun beliau boleh sahaja menggunakan statusnya sebagai selebriti serta jenama Cong Codei seperti segelintir selebriti lain.
“Saya percaya dengan karya serta kerja saya. Kalau boleh saya mahu orang kenal saya dengan kerjaya bukan produk perniagaan.
“Kebetulan jenama Cong Codei menjadi bualan ramai. Kalau ingin buat berniaga guna nama saya, memang itu tidak akan berlaku,” kata Sabri ketika ditemui Kosmo! pada sidang akhbar Bantal Hotel Cong Codei di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Cerita Sabri lagi, ketika zaman mudanya, dia pernah mencuba untuk menjalankan perniagaan namun menemui kegagalan kerana kasihan dengan pelanggan.
“Sejak kecil memang saya tidak bijak berniaga. Bapa saya dahulu pernah jual baju secara lelong dan saya membantu dia. Apabila kawan-kawan datang ke kedai, saya tidak menjual baju tersebut sebaliknya beri kepada mereka kerana mudah kasihankan orang.
“Ada juga saya mencuba untuk menjual keropok yang ‘diimport’ dari Kelantan. Apabila cuba jual di Kuala Lumpur, saya tidak kisah pun orang bayar atau tidak jadi mereka ambil sahaja (ketawa),” tuturnya.
Bayaran pelakon senior
Terlanjur berbicara, lelaki kelahiran Pengkalan Chepa, Kelantan itu sempat memberikan pendapat tentang suara yang ditimbulkan pelakon veteran Jalil Hamid yang meluahkan perasaan melalui Facebook apabila bayaran diterima tidak setimpal dengan komitmen lakonan dalam kalangan pelakon senior.
Katanya, industri seni tempatan terlalu berkiblatkan elemen hiburan sehingga membelakangkan pelakon-pelakon handalan yang sudah lama berjasa.
“Industri kita tidak memberikan pilihan sedangkan ada peranan yang lebih besar. Tiada keseimbangan antara pelakon muda dan senior.
“Pelakon senior dan junior sama-sama penting. Apa yang diluahkan oleh Jalil itu adalah realiti yang pahit untuk ditelan. Kalau ingin baiki realiti itu pun, perlu campur tangan orang yang berwajib,” terangnya sinis.
Sambil lancar memberi pandangan, Sabri sempat memuntahkan contoh berkenaan situasi berkenaan. Ujarnya: “Kita tiada pilihan. Apa yang boleh buat hanya mengadu di media sosial namun tiada tindakan daripada pihak sepatutnya.
“Saya pun pernah mengalami perkara sama. Apa yang saya lakukan, kalau rasa berbaloi, saya ambil pekerjaan itu. Kalau tidak berbaloi dengan komitmen, saya tidak ambil dan tunggu rezeki lain.
“Negara seperti Jepun mendidik pelaku seni mereka dari kecil supaya tidak membelakangi pelakon senior apabila sudah besar. Lihat sekarang, mereka mempunyai tempat sendiri dalam industri perfileman antarabangsa terutama dari segi teknologi,” getusnya lantang.
Ditanya tentang projek terbaharu, Sabri sedang dalam perancangan untuk menerbitkan filem remaja berjudul Buntat yang dijangka memulakan penggambaran tahun hadapan.
“Skrip semua sudah siap. Filem ini diadaptasi daripada novel judul yang sama namun saya hanya keluarkan babak satu sahaja.
“Buat masa sekarang, pelakon belum ditentukan lagi,” katanya yang juga sedang mengusahakan projek drama bersiri Cong Codei namun masih belum bersedia untuk diperincikan.