Keluarga punca Elfira Loy sembunyikan pertunangan




Pelakon popular, Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri memberitahu bahawa tujuannya tidak menghebahkan majlis pertunangannya dengan jejaka bernama Faris, 27, di atas permintaan kedua belah pihak keluarga.

Menurut Elfira, 24, memandangkan tunang dan bakal keluarga mertuanya bukanlah dalam kalangan selebriti maka dia menghormati privasi mereka yang mahukan majlis tersebut dihadiri oleh kaum keluarga sahaja.

“Saya tiada niat berahsia atau melarikan diri daripada media berkenaan pertunangan ini namun saya perlu mengutamakan permintaan keluarga tunang dan keluarga saya agar ia berjalan tanpa liputan media.

“Namun saya akur apabila ia terlepas juga di media sosial tetapi dalam masa sama bersyukur kerana tunang dan keluarganya tidak berasa ralat dengan insiden tersebut,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran kempen AirAsia #Throughthelens di Nathalei Gourmet I’Espace, Petaling Jaya, sebentar tadi.

Tambah pelakon yang popular dengan drama Qalesya itu lagi, dia mengambil iktibar daripada pengalaman pertunangan yang lalu untuk lebih bersederhana bagi majlis kali kedua ini.

“Untuk majlis kali pertama, saya akui saya teruja kerana baru merasai pengalaman bercinta dan mengikat tali pertunangan jadi saya buat secara besar-besaran.

“Kali ini biarlah dibuat secara sederhana kerana apa yang penting ia berjalan dengan lancar dan sempurna,” jelasnya.

Setakat ini, Elfira masih belum bersedia mengumumkan tarikh pernikahan namun mengesahkan ia akan berlangsung pada tahun hadapan.

“Tarikhnya ada dalam hati saya, siapa boleh baca hati saya, mesti dia dapat agak,” katanya ringkas.

Sementara itu, ditanya mengenai persiapan untuk majlis perkahwinannya nanti, pelakon yang mesra disapa El itu menjelaskan semua perkara tersebut belum dilakukan.

“Setakat ini saya baru sahaja habis menjalani kursus perkahwinan. Manakala persiapan lain belum lagi dilakukan.

“Lagipun saya lebih suka membuat persiapan pada saat-saat akhir,” tuturnya lagi.

Terdahulu, Elfira pernah bertunang dengan penyanyi, Sufian Suhaimi pada 6 Oktober 2017 dalam sebuah majlis besar-besaran namun tidak menemui penamat bahagia apabila ia terputus secara rasmi pada 18 Februari lepas.

Post a Comment

Previous Post Next Post