Teruja melihat kepada perkembangan industri muzik tanah air pada ketika ini, Reshmonu akur untuk mengikuti perkembangan namun masih menekankan irama etnik dalam lagu-lagunya.
Melihat kepada perkembangan dunia muzik yang dihiasi dengan pelbagai jenis corak pada ketika ini tidak membuatkan penyanyi Reshmonu lari daripada ‘fitrah’ asal muziknya.
Kata pelantun lagu hit Hey Waley itu, dia sentiasa terbuka dengan sebarang perubahan selari dengan peredaran zaman, namun situasi itu tidak mampu membunuh antusiasnya terhadap muzik yang diperjuangkan iaitu irama etnik dan R&B.
Pemilik nama sebenar Hiresh Haridas, 42, itu juga berkata, penekanan itu ditonjolkan dalam album terbaharunya yang akan dipasarkan menjelang tahun depan.
Ikuti temu bual bersama penyanyi yang ditemui pada sidang media Freedom Festival di ibu kota baru-baru ini.
KOSMO!: Boleh jelaskan tentang penglibatan Reshmonu dalam Freedom Festival?
RESHMONU: Saya akan membuat persembahan selama setengah jam pada festival tersebut dan sangat teruja sebab ada ramai rakan-rakan artis lain seperti Hujan, Yuna dan Datuk Zainal Abidin turut serta. Sesuai dengan objektif festival yang mahu memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat, jadi inilah masa sesuai untuk pengunjung datang memeriahkan suasana menerusi pelbagai acara yang disediakan.
Disebabkan agak jarang muncul di media massa, jadi peminat beranggapan bahawa anda tidak aktif dalam industri. Boleh komen?
Saya masih ada membuat persembahan. Kalau orang cakap tidak nampak saya muncul dalam media massa, itu tidak bermakna saya berehat daripada industri. Sebab saya ada masa berkualiti untuk diri sendiri dan keluarga. Menyanyi itu tetap ada kerana ia adalah minat saya sejak dahulu.
Jadi apa perkembangan terkini karier anda?
Sebenarnya saya merancang untuk mengeluarkan album baharu pada tahun ini, tetapi disebabkan beberapa bulan lalu negara kita melalui proses pilihan raya, jadi ia ditangguhkan seketika.
Sebab waktu itu, saya faham bahawa rakyat Malaysia perlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan senario baharu dalam negara kita. Untuk itu, saya tangguhkannya pada tahun depan.
Boleh kongsikan tentang konsep dan proses album tersebut?
Sebetulnya, album mini tersebut sudah pun siap tetapi saya melihat kepada trend zaman sekarang apabila artis lebih gemar muncul dengan single demi single berbanding album. Jika dua tahun lalu, saya ada bekerjasama dengan penerbit dari Amerika Syarikat untuk album, kali ini saya kembali mengusahakannya sendiri.
Pada masa sama, saya ada terfikir idea untuk mengumpulkan album-album terdahulu sebab kalau perasan lagu lama saya tiada dalam mana-mana platform digital.
Menghasilkan lagu pada zaman sebegini, adakah ia memberi cabaran untuk mengekalkan momentum seperti karya lama anda?
Cabarannya tidaklah berapa sangat cuma ia ada perbezaan berbanding zaman dahulu. Sebab lirik sekarang contohnya lebih ringkas dan mudah. Asal usul bunyi dalam lagu juga sudah sedikit lain.
Cuma bagi saya kalau untuk mencari kelainan, ia perlu unik. Saya masih menekankan irama etnik pada lagu saya meskipun berdepan dengan peredaran dari segi muzik. Sebab saya masih percaya kepada gaya lama yang diterima peminat, contohnya lagu berentak R&B yang penuh.
Jika dahulu anda sangat terkenal dengan imej rambut berjurai panjang gaya cornrows. Jadi, boleh anda komen tentang penampilan terkini berambut pendek?
Ia sesuai dengan kematangan memandangkan saya kini sudah berusia 42 tahun dan ada tiga anak pun (ketawa). Kalau ikutkan, saya sudah menyimpan rambut panjang selama 20 tahun dan imej cornrows itu saya gayakan selama hampir 10 tahun.
Jadi dalam tempoh dua tahun lalu ketika mahu tampil dengan album baharu, saya terfikir akan satu idea baharu yang lebih segar. Rasa sayang itu tidak ada pun sebab saya dah bawa imej itu sekian lama. Jadi, saya sangat selesa dengan gaya kemas sebegini.