Patah tumbuh, hilang berganti. Mungkin itu pepatah yang sesuai diberikan kepada situasi kehidupan pelakon kecil molek, Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri apabila kembali bergelar tunangan orang selepas enam bulan kisah putus tunang pertama berlalu.
Jika majlis pertunangan pertamanya dibuat penuh meriah dan besar-besaran pada Oktober tahun lalu, kali ini gadis berusia 24 tahun itu memilih untuk bersederhana. Dia tidak menghebahkan berita gembira itu yang berlangsung 17 September lalu kecuali kepada sanak saudara.
Namun adat bergelar seorang selebriti, serapi mana pun cuba disorok pasti ada juga yang terlepas daripada kawalan. Elfira akur apabila beberapa keping foto majlis pertunangan dengan jejaka berusia 27 tahun yang dikenali sebagai Faris, seorang anak usahawan berpangkat Datuk, tersebar di media sosial.
“Saya sedikit terkilan kerana niat saya tidak menghebahkan majlis ini adalah bagi menghormati permintaan keluarga saya dan juga tunang yang mahukan privasi.
“Namun, Alhamdulillah kerana mereka faham dengan situasi yang berlaku dan menganggap individu yang memuat naik gambar itu terlalu gembira untuk kami berdua,” katanya sewaktu ditemui pada majlis pelancaran kempen AirAsia #throughthelens di Nathalie Gourmet I’Espace, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Takut
Perkenalan ringkas yang berlaku antara pasangan ini pada bulan Ramadan lepas tidak pernah disangka bakal menjadi titik permulaan sebuah kisah cinta buat mereka.
Kata pelakon yang popular dengan drama Qalesya ini, dia tidak pernah terfikir bahawa kemungkinan jodoh kali kedua datang menyapa dalam tempoh masa yang singkat selepas kekecewaan yang lalu.
Menganggap ia adalah berkat kerana dia sering berdoa agar ditemukan dengan insan yang benar-benar ditakdirkan untuk dirinya sepanjang masa selepas putus tunang kali pertama, Elfira menyangkal sebab utama dia menerima lamaran Faris kerana pangkat atau status.
“Saya seorang yang bekerjaya dan berdikari, jadi status atau pangkat bukanlah kegilaan saya untuk dicari pada seorang lelaki.
“Saya terbuka pintu hati menerima Faris kerana dia menghormati keluarga saya, memahami mereka dan paling penting, ibu saya yakin bahawa dia mempunyai masa depan yang kukuh untuk menjaga saya selepas berkahwin,” tegasnya.
Meneruskan perkongsian, si darah manis ini juga berkongsi jawapan berkenaan mengapa masih memilih untuk bertunang sekali lagi, biarpun sudah melalui pengalaman pahit menerusi pertunangannya sebelum ini.
“Keluarga saya mementingkan adat Melayu kita dan Islam juga mengharuskan fasa bertunang agar kami dapat lebih saling mengenali antara satu sama lain.
“Memang saya takut kerana sudah ada memori menyedihkan tetapi doakanlah agar jodoh kami panjang serta dapat mengharungi apa jua dugaan bertunang kali ini dengan baik,” luahnya penuh harapan.
Tahun hadapan
Mengakui sudah selesai menjalani kursus perkahwinan sebagai salah satu persediaan untuk bergelar seorang isteri, Elfira bagaimanapun masih belum bersedia mengumumkan tarikh pernikahannya sebenar.
Katanya, tarikh sudah dipilih namun sekarang bukanlah masa sesuai untuk diberitahu memandangkan mereka berdua belum lagi membuat persediaan secara menyeluruh untuk majlis kelak.
“Tarikhnya ada dalam hati saya. Siapa boleh baca hati saya, mesti dia dapat agak. Apa yang pasti ia akan berlangsung pada tahun hadapan.
“Lagipun saya suka membuat persiapan pada saat-saat akhir, jadi insya-Allah nantikan sahaja pengumumannya dan doakanlah semuanya berjalan lancar,” ujarnya lagi.
Dalam masa sama, dia juga belum membuat keputusan sama ada akan menjemput media hadir pada majlis pernikahannya memandangkan hal itu perlu dibincangkan dengan keluarga tunangnya.
Mengakui jika diikutkan hati mahu menjemput semua kenalan media yang sentiasa menyokong kerjayanya sejak awal, Elfira perlu memahami bahawa bakal keluarga mertuanya bukanlah selebriti dan tidak biasa dengan tumpuan seperti itu.
“Jika diikutkan pada saya seorang, memang saya mahu jemput semua rakan-rakan media untuk sama-sama meraikan hari bahagia kami namun buat masa sekarang, ia masih dalam perbincangan.
“Walau apa pun kehendak saya, permintaan keluarga tunang pasti akan diutamakan kerana mereka bukan selebriti jadi saya bimbang, ia akan membuatkan pihak sana tidak selesa,” tuturnya menyimpul perbualan.