
Selepas tampil dengan Konsert HujanXMasdo baru-baru ini, Kugiran Masdo memasang impian mengadakan konsert solo tidak lama lagi.
Jenama Kugiran Masdo barangkali tidak lagi asing dalam peminat muzik tanah air kerana sejak lagu hit mereka Teruna Dan Dara mendapat tempat sejak awal tahun lalu, populariti band yang digerakkan oleh empat anak muda itu terus aktif mencipta nama.
Semakin lebar menebarkan sayap karier, Kugiran Masdo berkongsi pencapaian terbesar mereka setakat ini apabila bakal membuat persembahan di sebuah festival muzik di China pada hujung bulan ini.
Ini merupakan kali pertama mereka akan beraksi di luar negara, sekali gus merupakan pencapaian membanggakan sejak tempoh 10 tahun bermain muzik.
Menjelaskan tentang penglibatan dalam festival itu, Ali Sariah selaku vokalis berkata, mereka akan berada di sana selama seminggu bermula 25 hingga 31 Oktober depan.
“Pada festival itu nanti, kami akan membawakan lagu-lagu sendiri kerana mahu menjual lagu Melayu kepada orang luar. Kami dapat undangan daripada wakil Malaysia yang memilih kami dan sebuah lagi band ke sana.
“Bercakap tentang bahasa dalam lagu, kami rasa tiada masalah kerana selagi pengunjung dapat berhibur dan menikmati persembahan, itu sudah cukup memberi kepuasan kerana kami sendiri pun mahu mengekalkan identiti,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang akhbar Freedom Festival di ibu kota baru-baru ini.
Hakikatnya, segala perhatian dan populariti yang tertumpu kepada Kugiran Masdo ketika ini bukannya datang dalam sekelip mata.
Mereka perlu menunggu selama 10 tahun sebelum mengecap kejayaan pada hari ini dan telah pun melalui banyak jerih perih demi berusaha menempatkan diri dalam industri.
“Kami bukan jenis orang yang mudah putus asa. Kalau tidak cuba, kita tidak akan tahu bagaimana keputusannya. Sebab itu pesan kami kepada mana-mana band indie di luar sana, teruskan mencuba selagi boleh.
“Jangan hanya sekali cuba dan gagal, maka terus putus asa. Sebab kami sendiri pun cuba banyak kali sebelum sampai ke tahap ini, bukannya hanya sekali dua.
“Namun kami tidaklah menganggap ini merupakan tahun kami (menyerlah). Semuanya tentang rezeki. Apabila orang sudah mula percaya, inilah masanya untuk kami bekerja keras dan ia sangat berbaloi dengan segala penat lelah selama ini,” kata pemain bass, Ceri.
Ulang cetak
Sementara itu, kugiran yang terkenal menerusi lagu Bunga tersebut berkongsi tentang persembahan mereka menerusi Freedom Festival yang akan berlangsung pada 3 November depan di Bandar Malaysia, Sungai Besi.
Pada festival yang akan bermula dari pukul 10 pagi hingga 10 malam itu, mereka akan menyanyikan kira-kira lapan buah lagu dalam tempoh setengah jam persembahan. Namun persembahan artis hanya akan bermula pada pukul 3 petang.
Seperkara lagi, kumpulan itu turut terharu apabila album sulung mereka Selamat Tinggal Pujaan yang dilancarkan pada November tahun lalu telah diulang cetak untuk keluaran terbaharu memandangkan ia mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat.
Meskipun penjualan album fizikal disifatkan sudah tidak lagi relevan pada era pendigitalan kini, Masdo tetap menongkah arus dalam usaha ‘menjual’ muzik mereka dengan cara tersendiri.
“Jujur kami pun tidak sangka dengan sambutan luar biasa ini kerana dalam tempoh tidak sampai setahun, ia telah diulang cetak untuk keluaran unit yang ke 9000.
“Ironinya penjualan kami tidak pun memasuki pasaran atas talian atau di kedai-kedai. Sebaliknya ia hanya dijual ketika di kenduri (lokasi persembahan). Namun ia sekali gus membuktikan sokongan peminat terhadap perjuangan muzik kami,” tutup Ceri ceria.