
Mangsa buli - Azira telah memuat naik sebuah video di akaun Instagramnya selepas menjadi mangsa buli jalan raya seorang lelaki yang cuba mengelak daripada membayar tol.
Langkah seni Azira Shafinaz nampaknya berjalan dengan cukup mudah. Selepas meraih populariti sebagai penyanyi bersama kumpulan De Fam, kini Azira sedang mencipta nama sebagai pelakon baharu.
Boleh dikatakan bertuah, selepas drama Married Tapi Benci dan Mr. Donat Karamel, Azira kini mendapat perhatian khalayak menerusi drama bersiri Vila Ghazara lakonannya bersama Shukri Yahaya. Drama yang sedang hangat ditayangkan di slot Akasia TV3 itu benar-benar memberi impak kepada kerjaya lakonan Azira.
Ibarat mengikat kontrak, wajah Azira sekali lagi dipilih untuk menghiasi slot Akasia menerusi drama 1000 Rindu bersama aktor Zul Ariffin menggantikan drama Vila Ghazara yang akan tamat sekitar November depan.
“Alhamdulillah saya bersyukur dengan rezeki yang datang. Dapat pula berlakon dengan pelakon lelaki yang sememangnya mempunyai nama besar dalam industri lakonan seperti Shukri Yahaya dan Zul Ariffin merupakan satu penghargaan buat saya.
“Pada mulanya bimbang juga penonton akan bosan melihat wajah yang sama berulang-kali, tetapi saya percaya terhadap rezeki dan akan melakukan yang terbaik. Tambahan genre drama Vila Ghazara dan 1000 Rindu amat berbeza, rasanya tiada masalah,” kata Azira ketika ditemui dalam sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini.
Disoal pengalamannya berlakon dengan Zul Ariffin, seorang pelakon hangat sarat dengan kontroversi, sambil tersenyum manis, Azira tidak menafikan mulanya dia bimbang. Bukan kerana kontroversi tetapi nama besar yang dimiliki Zul Ariffin.
“Saya akui mulanya bimbang sebab Zul Ariffin, siapa yang tidak kenal (ketawa). Namun, sepanjang penggambaran dia seorang pelakon yang sangat profesional dan banyak membantu saya meningkatkan mutu lakonan,” ujar anak bongsu daripada tiga adik-beradik itu.
Tambah Azira sebagai pelakon dia faham kadang-kala pihak produksi melakukan sesuatu gimik untuk meraih perhatian khalayak terhadap drama. Malah, peminat juga terseret sama apabila timbulnya demam bermusim sesebuah drama yang membuatkan mereka begitu larut dengan watak drama yang sedang ditayangkan.
Bersedia dengan segala kemungkinan atas tiket anak seni, Azira bagaimanapun mahu khalayak melihat bakatnya sebagai pelakon.
“Sudah tentu saya mahu orang melihat saya sebagai pelakon yang bagus, tetapi netizen Malaysia mempunyai demam drama, jadi sebagai pelakon saya tidak boleh elak.
“Saat saya masuk dunia seni, saya sudah bersedia dengan segala kemungkinan. Bagi saya gimik dan demam drama itu perkara biasa. Contohnya disebabkan drama Vila Ghazara ada peminat menyuruh saya berkahwin dengan Shukri Yahaya. Mereka terlalu suka dan hanyut dengan watak yang kami lakonkan,” kongsi Azira.
Bangga
Biarpun begitu, Azira melihat penerimaan positif peminat terhadap kerjaya lakonan sebagai salah satu pencapaian peribadi buatnya. Bukan mudah untuk wanita berusia 27 tahun ini berada pada tempatnya pada hari ini. Terlalu banyak usaha dan kerja keras yang dilakukan anak kelahiran Kuala Lumpur ini demi mengejar impian sebagai pelakon.
“Tahun ini barulah saya nampak peningkatan sebagai pelakon. Saya ambil masa yang lama kerana ketika muncul bersama De Fam kami bermula dengan perlahan. Kami tidak mengeluarkan single demi single seperti orang lain.
“Oleh sebab itu, saya rasa sangat berbangga dengan diri sendiri kerana kerja keras daripada dulu akhirnya membuahkan hasil. Saya bermula sebagai penari kemudian penyanyi dan pelakon. Kini saya mula menceburi bidang pengacaraan, jadi ada peningkatan dalam kerjaya.
“Walaupun banyak lagi yang ingin saya capai, tetapi sebagai orang baharu banyak lagi yang perlu saya belajar. Namun, saya gembira dengan apa yang dimiliki hari ini dan amat bersyukur atas rezeki yang diberikan,” ujarnya yang juga mahu menceburi bidang perniagaan pada masa depan.
Dilihat seperti tamak kerana mahu membuat semua kerja serentak, kata Azira dia mahu mencabar diri dan melihat sejauh mana dirinya mampu pergi.
“Saya bukan tamak, tetapi mahu cuba semua benda yang tidak pernah dibuat sebelum ini. Jika rasa tidak boleh saya akan berhenti. Setakat ini saya fokus terhadap nyanyian, lakonan dan pengacaraan.
“Biarpun terdapat banyak tawaran lakonan saya tidaklah tamak ambil semua, tetapi hanya berlakon dalam sebuah drama bersiri sahaja setahun.
“Hal ini kerana penggambaran drama bersiri memakan masa lama, kadang-kala setengah tahun dan ia menghalang saya untuk melakukan kerja lain contohnya telefilem,” katanya yang amat selektif dalam memilih karya.
Muzik
Disebabkan nama Azira lebih mekar dalam bidang lakonan, ada peminat hampir terlupa bahawa dia pada asalnya merupakan seorang penyanyi. Tidak kecewa dengan perkara tersebut, kata Azira ia normal untuk orang terlupa atau tidak tahu tentang kerjaya nyanyiannya disebabkan dia begitu fokus terhadap kerjaya lakonan pada tahun ini.
Meskipun begitu, kerjaya nyanyian masih berjalan seperti biasa. Cuma buat masa sekarang ketiga-tiga anggota De Fam, iaitu dirinya, Sophia Liana, dan Cik Manggis memberi fokus kepada kerjaya individu masing-masing.
“Ada peminat baharu yang tidak tahu saya menyanyi. Saya tidak kisah sebab ke mana sahaja kaki melangkah saya pasti akan membawa nama De Fam bersama,” luah Azira.
Menyentuh tentang kerjaya nyanyiannya, kata Azira, kumpulan De Fam yang popular dengan lagu #Supergirls dalam perancangan untuk mengeluarkan single terbaharu yang diterbitkan oleh penerbit dari Singapura dan Los Angeles, Amerika Syarikat.
Azira bagaimanapun enggan mendedahkan butiran terperinci mengenai single terbaharu itu kerana baginya masih terlalu awal untuk dikongsi bersama peminat.
“Ya, memang kami akan mengeluarkan single baharu. Namun, siapa penerbit lagu baharu belum boleh dikongsi. Disebabkan ia penerbit antarabangsa jadi proses untuk menyiapkan single itu memakan masa yang agak lama. Selepas semua selesai barulah saya berani untuk dedahkan,” kata Azira.
Selepas tiga tahun berkecimpung dalam bidang seni bermula sebagai penyanyi bersama kumpulan De Fam, akhirnya impian Azira Shafinaz untuk bergelar pelakon tertunai. Kini Azira mampu berbangga apabila lakonannya mula meraih perhatian khalayak.