Pelakon Paskal tidak alami ancaman penculikan


Filem Paskal

Pelakon dan kru produksi filem aksi Paskal tidak mengalami sebarang ancaman lanun ketika sedang menjalani penggambaran bagi filem tersebut di Semporna, Sabah seperti yang digembar-gemburkan oleh pelakon utamanya, Hairul Azreen.

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh syarikat produksi Asia Tropical Films, pihak berkuasa yang menjaga perairan negara sentiasa memastikan penggambaran dijalankan dalam keadaan yang sesuai dan selamat.

“Kenyataan Hairul berkenaan dengan ancaman penculikan lanun itu tidak tepat. Kami hanya menerima penerangan daripada pihak Pasukan Khas Laut (Paskal) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bahawa lokasi penggambaran tersebut adalah kawasan panas kerana lokasi pelantar minyak tersebut berdekatan dengan Filipina.

“Hairul dan Ammar Alfian hanya diberitahu tentang keadaan keselamatan di lokasi penggambaran. Jadi, tiada pihak yang menjadi sasaran lanun sepanjang penggambaran dijalankan di sana.



“Kami mohon maaf atas segala kekeliruan dan kesulitan yang berlaku,” kata pihak produksi.

Beberapa hari lalu, Hairul mendakwa bahawa dia dan pelakon Ammar Alfian hampir diculik oleh lanun ketika menjalani penggambaran filem Paskal di Sabah.

Namun, Kemander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) semalam menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan bahawa kenyataan pelakon tersebut sebagai tidak berasas. - K! ONLINE

Post a Comment

Previous Post Next Post