Terbaik ! Itulah perkataan yang tepat untuk menggambarkan konsert Semalam Di Malaya yang diadakan sempena ulang tahun ke-20 penubuhan Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO)dan sambutan Hari Malaysia yang jatuh pada tanggal 16 September lalu. Masakan tidak pada konsert itu, buat julung-julung kalinya, dua pemilik suara emas Aishah dan Liza Hanim berkongsi pentas yang sama di Dewan Filharmonik Petronas (DFP).
Biarpun kedua-duanya menyampaikan lagu-lagu klasik yang diberi nafas baharu, namun paduan vokal dan penghayatan yang diberikan seolah-olah mereka menyanyikan lagu sendiri. Tiada sebarang cela mahupun kesalahan dikesan dalam persembahan berdurasi dua jam tersebut.
Liza membuka panggung dengan lagu Semalam Di Malaya dan terus memukau penonton dengan barisan lagu seperti Sayang Di Sayang serta Jelingan Manja. Meskipun Liza menyanyi dengan baik tetapi dapat dikesan gaya nyanyian agak berbeza daripada kebiasaan.
Enggan menyembunyikan berita gembira, Liza membuat pendedahan tentang kehamilannya. Sudah lima bulan juga usia kandungannya. Disebabkan kondisi tersebut, pernafasannya menjadi lebih pendek berbanding kebiasaan, lalu gaya nyanyian juga berubah secara tidak sengaja.
“Saya juga perasan gaya nyanyian agak berubah kerana nafas menjadi lebih pendek sejak hamil. Namun, saya tidak mendedahkan perkara itu termasuklah kepada penganjur dan kru konsert. Niat saya adalah tidak mahu kehamilan ini membebankan orang lain dan menyebabkan mereka bimbang.
“Hamil atau tidak saya mahu diberi layanan seperti biasa. Sepanjang latihan juga semua orang tidak tahu sehinggalah beberapa hari sebelum konsert berlangsung. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar,” kongsi Liza.
Liza yang juga ibu kepada empat orang anak menyifatkan beraksi dengan iringan MPO merupakan satu peluang terindah buat dirinya. Sepanjang 22 tahun karier nyanyiannya, ini merupakan pengalaman pertama Liza menyanyi di pentas DFP bersama MPO.
“Timbul satu perasaan yang sukar untuk saya gambarkan ketika kali pertama berdiri di atas pentas DFP. Saya rasa sudah lama menyanyi tetapi tidak tahu mengapa ada perasaan seperti anak kecil yang baru hendak belajar.
“Menyanyi sambil diiringi orkestra, ditambah dengan lagu-lagu klasik yang diberi nafas baharu juga sesuatu yang di luar kebiasaan saya. Bersyukur sangat dengan peluang yang diberikan kerana ia menambahkan lagi satu profil dalam karier nyanyian saya,” ujar Liza.
Cabar diri
Penyanyi Aishah yang telah berpengalaman sebanyak dua kali beraksi bersama MPO turut berkongsi debaran sama. Menurutnya, setiap kali menyanyi bersama MPO debarannya amat berbeza, bukan kerana tidak biasa beraksi dengan iringan orkestra, sementelah cabaran yang diberikan konduktor Ahmad Muriz Che Rose kepadanya agak berat.
Pengalaman selama 31 tahun sebagai menyanyi tidak dapat meredakan debarannya sehinggalah konsert tersebut selesai dengan jayanya.
“Lega rasanya selepas konsert berakhir. Bukan setakat berdebar tetapi tangan juga berpeluh-peluh sebab saya takut tersalah masuk dan berhenti ketika menyanyi.
“Bersama MPO auranya berbeza dengan bunyian yang penuh ditambah dengan lagu yang diberi susunan baharu. Jadi, secara automatik ia berubah seolah-olah menjadi lagu baharu. Saya perlu peka ketika di atas pentas, bimbang terlupa bahagian sendiri,” kata Aishah ketawa mengekek.
Pada konsert berkenaan, Aishah mendendangkan tiga buah lagu secara solo menerusi Setangkai Kembang Melati, Jauh Jauh dan Ibu. Persembahan vokalnya sudah cukup memukau seluruh pelosok DFP. Ditambah Aishah juga bijak menceriakan pentas dengan sifat humornya yang mencuit hati penonton.
Bukan itu sahaja, Aishah juga memberi persembahan terbaik ketika mendendangkan lagu secara duet bersama Liza Hanim dan dua lagi penyanyi, Musly Ramlee dan Rachel Guerzo menerusi lagu Joget Malaysia dan Getaran Jiwa.
“Sebenarnya lagu paling susah adalah Getaran Jiwa. Dari segi vokal, ia tidak susah. Cuma untuk membawa perasaan dan menyampaika mesej lagu tersebut kepada penonton merupakan perkara yang amat mencabar. Saya mencadangkan lagu Getaran Jiwa kepada konduktor sebagai lagu akhir, mulanya beliau tidak bersetuju.
“Saya faham lagu Getaran Jiwa sudah kerap didengar dan apa lagi pembaharuan yang boleh ditampilkan di konsert. Selepas lagu itu dibuat susunan semula oleh Vivian Chua ditambah dengan empat vokal, ia sememangnya sebuah lagu yang segar dan agak sukar untuk saya nyanyikan,” tutur Aishah.
Istimewa
Menurut konduktor muzik konsert Semalam Di Malaya, Ahmad Muriz Che Rose, keempat-empat penyanyi, Aishah, Liza Hanim, Musly Ramlee dan Rachel Guerzo yang beraksi di pentas DFP selama dua hari berturut-turut pada 15 dan 16 September lalu merupakan penyanyi yang hebat.
Meski berbeza gaya, keempat-empat mereka mempunyai pesona tersendiri yang menjadikan konsert berkenaan berlangsung dengan jayanya.
“Kesemua mereka sangat berbeza secara individu dan pesona. Aishah dengan vokalnya, setiap kali menyanyi dia tidak pernah gagal untuk memukau saya. Liza pula jika kita berbual dengannya, dia nampak normal dan tiada yang luar biasa.
“Namun, saat dia berada di atas pentas, dia berubah secara total kepada seorang penghibur. Musly Ramlee seorang penyanyi yang versatil dan kehadirannya membuatkan saya seperti bekerja dengan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Kita tidak berada pada era P. Ramlee dan tidak pernah bertentang mata dengannya.
“Musly memberikan peluang untuk kita rasa dekat dengan legenda seni tersohor itu. Rachel merupakan cucu kepada komposer terkenal Alfonso Soliano. Saya memang mencari seorang penyanyi jazz dan kebetulan dapat bekerja dengan ahli keluarga pemuzik terhebat itu merupakan suatu penghormatan buat saya,” kata Ahmad Muriz.
Bercakap mengenai pemilihan 15 buah lagu pada konsert berkenaan, MPO sememangnya sengaja memilih komposer dan lagu yang jarang didengari ramai. Selain mahu menyuntik elemen berbeza, konsert tersebut bertujuan memberi penghormatan buat para komposer hebat negara.
“Saya memang pilih komposer yang jarang kita dengar nama dan lagunya. Seperti sesetengah lagu kita sangka komposer A yang cipta, rupa-rupanya orang lain. Perkara itu berlaku kerana kurang pendedahan, jadi saya rasa terpanggil untuk mendedahkan karya komposer hebat yang jarang didengari umum,” kata Muriz.
Lagu lain yang turut didendangkan dalam konsert itu adalah Hujan Di Tengah Hari, Air Mata Berderai, Gadis Idaman, Tunas Kasih Nak Dara Rindu, Di Mana Kan Ku Cari Ganti dan Kwek Mambo.
Bukan itu sahaja persembahan yang turut memukau dan menaikkan semangat patriotik penonton adalah dendangan instrumental oleh MPO dengan barisan lagu Berjaya, Parajurit Tanah Air, Tanah Pusaka, Putera Puteri dan Chendering.
Sebetulnya, konsert Semalam Di Malaya memotretkan pengalaman berbeza sebuah keraian Hari Malaysia. Setiap bunyi yang bergetar dan terlantun daripada pasukan MPO ternyata sebuah keindahan berbaloi untuk dinikmati.