Nam Ron pernah ingin rompak kedai serbeneka


Pelakon yang juga pengarah filem One Two Jaga, Nam Ron mendedahkan pernah terfikir untuk merompak kedai serbaneka kerana kesempitan hidup.

Nam Ron atau nama sebenarnya, Shahili Abdan, 48, berkongsi cerita melalui bebenang di Twitter bahawa 18 tahun lalu, dia pernah berbulan tiada pekerjaan selepas tamat belajar.

“Saya menyewa di bilik paling kecil di rumah kedai tiga tingkat. Di bawahnya ada sebuah kedai runcit. Adapun pekerjaan saya ketika itu adalah kru teknikal dan pentas. Bayaran tidak tetap.

“Ada suatu waktu, saya berbulan tiada pekerjaan. Bila tiada kerja, duit pun tiada. Barang makanan semua habis licin dekat seminggu tidak makan.

“Ingat lagi dalam keadaan lapar saya berdiri di depan kedai runcit berkenaan di bawah rumah. Saya fikir ingin acu pisau dekat juruwang supaya dia serahkan duit. Kalau kena tangkap, saya akan cakap seminggu tidak makan sebab tiada kerja,” tulis Nam Ron.



Bagaimanapun, Nam Ron mendedahkan dia mendapat sokongan serta bantuan daripada sutradara, U-Wei Saari yang bermurah hati menghulurkan sedikit wang untuknya sambil memberikan nasihat berguna.

“Saya beritahu dia yang saya hampir rompak sebuah kedai runcit. Dia seluk poket seluarnya dan tarik keluar RM50 sambil bercerita kepada saya. Katanya, ketika bekerja di New York dia bawa teksi dan sesekali buat kerja kru produksi filem lucah.

“Saya tidak pasti betul atau sebaliknya. Apa yang pasti duit RM50 itu membuatkan saya tangguh rancangan ingin rompak kedai runcit itu dulu,” katanya yang turut mendedahkan One Two Jaga arahannya adalah inspirasi pengalaman daripada peristiwa tersebut.

Post a Comment

Previous Post Next Post