Pertaruhan - Langsuir mempertaruhkan elemen seram dan cinta yang dilihat sebagai formula memikat penonton.
Ketika sedutan filem Langsuir dimuat naik dalam laman perkongsian video YouTube beberapa bulan lalu, ramai yang tidak sabar ingin menyaksikan kelibat pelakon Hannah Delisha dijelmakan sebagai seekor langsuir di layar lebar.
Sebagai pelakon yang bermula dengan drama, percubaan perdananya sebagai pemain filem sudah tentu meraih perhatian ramai, khususnya peminat filem genre seram yang menantikan kelainan daripada wanita kelahiran Singapura itu.
Namun, di sebalik keterujaan peminat, ada juga yang menyifatkan Hannah Delisha atau nama sebenarnya, Hannah Adlina Blackburne Birch terlalu cantik untuk memegang watak makhluk mistik berkenaan.
Barangkali, tanggapan tersebut muncul dalam kotak fikiran penonton kerana pelakon berusia 22 tahun itu sering menjayakan watak gadis urban menerusi beberapa naskhah drama sebelum ini.
Bertemu dengan Hannah pada malam gala filem tersebut yang berlangsung di ibu kota baru-baru ini, pelakon yang mula dikenali menerusi drama Mencintaimu Mr. Photographer itu tidak melatah apabila diberitahu tentang pendapat umum mengenai pemilihannya sebagai Suri dalam filem Langsuir.
Hannah berkata, watak langsuir yang dibawakannya bukan 100 peratus mistik seperti telahan banyak orang. Ujarnya, cantik yang ditonjolkan oleh Suri bersebab dan selari dengan jalan cerita yang ingin disampaikan oleh sutradaranya, Osman Ali.
“Seperti yang kita tahu, langsuir berasal daripada golongan jin dan berupaya untuk menjelma dalam pelbagai rupa. Dalam masa yang sama, watak Suri juga disertakan dengan kuasa pukauan sehingga boleh menarik perhatian seorang pemuda bernama Azlan yang dilakonkan oleh Syafiq Kyle.
“Jadi, rasional Suri tampil cantik dalam filem ini adalah disebabkan dia terlalu cintakan Azlan sehingga sanggup memukau. Jika mahu pukau, sudah tentulah langsuir kena cantik,” ujar Hannah berseloroh sambil ketawa.
Cabaran
Melanjutkan bicara, Hannah berkata, banyak cabaran terpaksa dilalui sepanjang tempoh penggambaran Langsuir yang dijalankan di Pulau Langsuir, Kedah sekitar tahun lalu.
“Cabaran paling besar adalah bekerja untuk tempoh masa yang agak lama. Kebanyakan latar waktu dalam filem ini adalah pada malam hari. Jadi, kami perlu berada di Pulau Langsuir seawal pukul 6 petang sehingga pukul 9 pagi keesokan harinya.
“Memang diakui agak penat tetapi saya bersyukur kerana kru yang terlibat cukup efisyen dengan kerja masing-masing,” katanya yang turut berkaki ayam sepanjang proses penggambaran dijalankan.
Ditanya mengenai kejadian aneh yang mungkin dilalui sepanjang 25 hari menjadi hantu, Hannah berkata, dia ada mengalami sedikit gangguan tetapi tidak menjejaskan prestasinya pada waktu itu.
“Alhamdulillah, saya tidak diganggu sepanjang proses penggambaran. Cuma, ketika sedang menjayakan satu babak di pondok, abang Osman yang berada di kedudukan agak jauh bertanya siapakah yang menggoyangkan salah satu kayu di belakang saya.
“Ketika itu, saya menjawab tiada siapa yang menggoyangkan kayu berkenaan. Tidak mahu terlarut dalam situasi berkenaan, kami pun meneruskan penggambaran,” ujar Hannah sambil memberitahu ada dalam kalangan kru yang ternampak kelibat bayang-bayang hitam ketika menjalani penggambaran.
Bermasam muka
Beralih pada perancangan promosi filem berkenaan, Hannah ditanya mengenai khabar angin yang mengatakan hubungannya dengan Syafiq Kyle kini dingin.
Kedua-dua pelakon itu dikatakan sukar memberi kerjasama, terutamanya apabila pihak pemasaran ingin menggabungkan mereka dalam satu sesi fotografi bagi mempromosi Langsuir.
Menafikan dakwaan berkenaan, Hannah berkata, dia dan Syafiq masih berkawan dan spekulasi berkenaan tidak benar.
“Saya tidak bergaduh dengan Syafiq. Hubungan kami baik. Barangkali sukar untuk mendapatkan tarikh untuk sesi fotografi kerana masing-masing sibuk dengan kerja.
“Tambahan pula, penggambaran drama bersiri Alamatnya Cinta yang sepatutnya telah habis disambung atas masalah teknikal. Mungkin disebabkan perkara ini kami tidak dapat disatukan untuk sesi fotografi,” katanya jujur.
Bersetuju dengan jawapan tersebut, Syafiq berkata, dia dan Hannah cuba untuk memberi komitmen terbaik bagi mempromosikan filem perdana mereka itu.
“Apa yang penting, perkara ini bukanlah gimik untuk melariskan filem kami. Sejujurnya, memang kami tidak mempunyai masa untuk digandingkan bersama sebelum filem ini ditayangkan,” katanya yang baru kembali daripada sesi jelajah promosi filem Langsuir yang diadakan di Kuala Terengganu, Terengganu; Kuantan, Pahang; Johor Bahru, Johor dan Singapura minggu lalu.
Seram
Berpeluang menonton filem Langsuir pada acara tersebut, watak Azlan yang dijayakan oleh Syafiq dirasakan kurang memberi impak seram kepada penonton.
Biarpun filem tersebut diklasifikasikan oleh pengarah sebagai naskhah seram romantik yang disuntik dengan elemen fantasi, namun watak Azlan dilihat ‘berani’ untuk berdepan dengan makhluk yang ditakuti oleh golongan manusia.
“Mungkin ada yang mengatakan watak Azlan dalam filem ini terlalu berani dan tidak takut dengan hantu. Namun, pada awal filem, Azlan bermonolog dengan harapan mahu bertemu sesuatu yang misteri di pulau yang dituju.
“Disebabkan niatnya itu, Suri tertarik untuk memukau Azlan dan bercinta dengannya,” ujar Syafiq.
Selain itu, perubahan ketara dapat dilihat pada struktur wajah Syafiq yang agak tembam di layar lebar. Mengakui sedikit berisi, Syafiq berkata, dia dan para pelakon yang lain kerap makan sepanjang berada di lokasi penggambaran.
“Ketika berada di pulau, kami hanya dihidangkan dengan nasi dan tiada snek atau makanan ringan buat alas perut.
“Saya boleh habiskan tiga hingga empat bungkus nasi dalam masa sehari semata-mata mahu memberi tenaga sepanjang proses penggambaran. Mungkin disebabkan terlalu banyak makan makanan berat, pipi saya juga naik tembam,” katanya.
Melihat pada prestasi dua filem seram tempatan iaitu Hantu Kak Limah yang berjaya meraih kutipan sehingga RM36 juta manakala Munafik 2 pula menjadi filem Melayu dengan kutipan tertinggi sebanyak RM40 juta, Syafiq secara terus terang tidak tertekan dengan pencapaian tersebut.
Pemenang tempat kedua Hero Remaja 2012 itu berkata, niat utamanya berlakon filem bukanlah disebabkan mahu meraih kutipan tiket tertinggi. Sebaliknya, cukup sekadar dia mampu mengajak orang ramai untuk menonton naskhah lakonannya.
“Kalau ditanya mengenai kutipan tiket, sejujurnya saya tidak tertekan. Benar, persaingan sihat itu bagus tetapi saya tidak bermain filem semata-mata mahu filem ini untung sehingga berjuta ringgit.
“Apa yang saya harapkan, promosi yang saya buat cukup supaya peminat mahu membeli tiket dan menonton filem pertama saya dan Hannah,” katanya.
Menyelak portfolio lelaki berusia 26 tahun itu, Syafiq dilihat lebih berjaya berkarya sebagai pelakon drama. Justeru, ditanya apakah reaksinya jika ada yang meminta supaya dia terus melekat sebagai pemain layar kaca, ini jawapan Syafiq:“Suatu ketika dahulu, sewaktu saya mula-mula berlakon drama, ada individu yang berpengaruh dalam bidang seni pernah meminta saya berhenti berlakon dan bekerja sebagai kru belakang tabir. Namun, saya tidak hiraukan individu berkenaan dan teruskan berlakon drama.
“Sehingga baru-baru ini, individu yang sama datang kepada saya dan memuji lakonan saya. Jadi, jika ada yang berkata saya tidak sesuai berlakon filem, saya akan ulangi apa yang saya buat dahulu iaitu teruskan apa yang dilakukan,” katanya yang bakal muncul menerusi filem Gol & Gincu Vol. 2 pada 25 Oktober depan.
Menjadikan setiap kritikan sebagai cabaran untuknya memperbaiki diri, Syafiq berkata, dia tidak akan pernah berhenti untuk berkarya.
“Jika orang tidak menegur kesalahan, saya sendiri tidak tahu salah dan bagaimana perlu perbetulkan kesalahan tersebut.
“Katakanlah saya salah atau kurang betul menjayakan filem Langsuir, saya tetap bersyukur kerana ia membantu saya untuk menjadi yang lebih baik pada masa depan,” tutup Syafiq.
Biarpun pernah bergandingan sebelum ini dalam beberapa buah drama, filem seram romantik Langsuir memberi definisi baharu terhadap dua pemain utamanya, Hannah Delisha dan Syafiq Kyle yang pertama kali bergelar pelakon layar lebar.