Elite kembali menerusi GV5


Dari kiri: Azza, Linda dan Shasha bergabung semula menggerakkan Elite yang ikut serta dalam program realiti paling hangat, Gegar Vaganza musim kelima.

Penyertaan Elite menerusi program nyanyian popular, Gegar Vaganza musim kelima (GV5) memberi kejutan yang agak luar biasa dalam kalangan peminat.

Hal ini kerana Elite yang dahulunya dianggotai oleh Nor Azzarima Zawari atau Azza, Norwati Sadali (Watie), Sasha Saidin (Sasha), Arbaiyah Abdul Manan (Abby) dan Azlinda Rafar (Linda) bukan sahaja dikagumi ramai, malah turut aktif memasarkan lagu-lagu hits sepanjang berkarier seperti Trauma, Tamparan Wanita dan GIG.

Namun, Elite sekarang tidak serupa dengan Elite yang dahulu. Selain tinggal bertiga, Elite yang kini hanya terdiri daripada Azza, 40, Linda, 40, dan Sasha, 42, juga telah lama tidak berkongsi pentas untuk melakukan persembahan bersama. Elite juga tidak menerbitkan sebarang single atau album baharu.

Bagaimanapun, perkara tersebut bukan alasan buat Elite tidak menanamkan azam untuk memberikan yang terbaik sepanjang pertandingan.

Sewaktu bertemu dengan mereka pada majlis pengumuman peserta GV5 di ibu kota baru-baru ini, Elite menegaskan bahawa mereka akan cuba untuk menjadi diri sendiri serta berharap dapat mengembalikan nostalgia para peminat.

Dalam pada itu, mereka juga telah bersedia untuk menerima kritikan terutama daripada juri tetap GV5, Datuk Ramli MS dan Datuk Khadijah Ibrahim.

Boleh ceritakan bagaimanakah Elite bersetuju untuk menyertai GV5?

AZZA: Sebenarnya, ketika pergi ke uji bakat untuk GV5 baru-baru ini, saya hadir seorang diri. Namun, pihak Astro bertanya jika Elite berminat untuk turut serta. Saya tidak boleh berjanji pada waktu itu, maklumlah masing-masing mempunyai komitmen tersendiri. Namun, selepas Sasha dan Linda memberikan persetujuan, kami nekad dan pergi uji bakat bersama. Alhamdulillah, kami terpilih.

SASHA: Ketika pergi uji bakat, kami menjadi diri sendiri. Kami mahu kembali pun kerana peminat. Tambahan pula, sebelum ini kami tidak pernah berpecah. Kami berharap agar penyertaan ini boleh diibaratkan seperti hadiah untuk peminat yang telah lama menantikan gabungan semula Elite.

Adakah sukar untuk membuat persembahan bertiga? Bagaimana pula dengan reaksi ahli kumpulan Elite yang lain?

SASHA: Seperti yang kita tahu, Abby telah mengundurkan diri daripada bidang seni. Jadi, kami perlu menghormati keputusannya itu. Watie pula terlibat dengan penggambaran drama dan kami yang pernah bergelar pelakon memahami tuntutan kerjayanya yang tidak tentu masa. Tidak mengapa bertiga, asalkan kami dapat menghiburkan peminat.



Adakah ketiadaan Watie ada bersangkutan dengan kes tuntutan saman Hana, yang juga bekas anggota kumpulan Elite?

AZZA: Sejujurnya, ketiadaan Watie tidak ada kena-mengena dengan masalah dia bersama bekas anggota Elite iaitu Hana ataupun perihal mahkamah di antara mereka.

Watie memang tidak dapat menyertai Elite di pentas GV5 kerana terikat dengan jadual penggambaran drama.

Sebenarnya, dia ada memberikan maklum balas positif dan berminat untuk ikut serta tetapi apabila memikirkan kepadatan jadual, dia akhirnya pasrah untuk tidak bersama kami.

LINDA: Kami juga tidak mahu menyusahkan pihak produksi. Mereka telah memberikan jadual untuk lapan minggu. Jadi, mahu atau tidak, kami perlu komited dengan jadual berkenaan.

Adakah sebarang sekatan dibuat ketika persembahan memandangkan dua daripada anda telah bertudung? Masih akan menari sewaktu membuat persembahan?

LINDA: Sebagai penyanyi, jiwa kami sudah sebati dengan dunia seni. Jadi, aura itu sudah ada walaupun sudah bertudung.

Jika diberikan sebarang tugasan, sudah tentu kami akan cuba buat sebaik mungkin. Cuma, kami akan beringat dan tidak berlebih-lebihan.

Kalau ikutkan, gerak tari kami sewaktu zaman muda pun mudah dan tidak terlalu berat. Jadi, kami tidak lihat cara pemakaian kini menjadi masalah untuk membuat persembahan pada pentas GV5.

Sudah bersiap sedia dengan kritikan yang bakal diberi oleh juri?

AZZA: Sudah! Sebenarnya, sejak awal pembabitan sebagai artis lagi kami kerap menerima kritikan. Jadi, apabila kritikan pada kali ini mampu menambah baik mutu persembahan, mengapa tidak kita ambil positif.

Kami rasa, kritikan yang diberi nanti bakal memberi semangat untuk Elite berjuang dan menjadi lebih sempurna di atas pentas.

Boleh kongsikan lagu apa yang Elite akan bawa pada minggu pertama GV5 yang bakal berlangsung di Auditorium MBSA Shah Alam pada 30 September depan?

ELITE: Tentang persembahan pertama, semua perlu tunggu dan lihat!

Post a Comment

Previous Post Next Post