Syafiq memenangi tempat kedua dalam rancangan Big Stage malam tadi.
Pemenang tempat kedua Big Stage, Syafiq Farhain bengang dengan tindakan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menyebarkan berita palsu kematian ayahnya, Saleem sejak penyanyi legenda itu ditimpa kemalangan pada hari Jumaat lalu.
Syafiq, 24, yang ditemui usai konsert akhir Big Stage semalam turut mengaku pernah memarahi pihak berkenaan apabila sewenang-wenangnya menyebarkan berita palsu yang disifatkan tidak menghormati sensitiviti mereka sekeluarga.
“Memang saya bengang. Apa yang mereka ingin kejarkan, mahu mengumpul pengikut atau sekadar mengambil kesempatan?
“Lebih teruk terdapat pihak yang meletakkan nama saya di Instagram Story mereka menyatakan ayah sudah meninggal dunia, padahal ketika itu saya sendiri berada di hadapan ayah, jadi saya terus marah mereka,” katanya.
Bercakap mengenai perkembangan penyanyi lagu Suci Dalam Debu itu, kongsi Syafiq ayahnya semakin menunjukkan perkembangan positif.
“Pada hari pertama, ayah terpaksa ditidurkan kerana keadaanya yang kritikal namun stabil dengan bantuan mesin. Pada esoknya, ayah sudah boleh berkomunikasi melalui bahasa isyarat seperti mengangguk tanda faham.
“Saya sempat menziarah ayah selepas dilaporkan kemalangan, tetapi belum sempat melawat semalam (Ahad) kerana sibuk dengan Big Stage. Selepas ini saya akan pergi melawatnya di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia,” katanya.
Terdahulu, pada Jumaat lalu, Saleem dilaporkan terbabit dalam kemalangan jalan raya yang menyebabkan 12 tulang rusuknya patah dan salah satunya tertusuk paru-paru.
Saleem