Empat hari tayangan, filem Langsuir raih RM1 juta


Hannah Delisha membintangi filem Langsuir.

Baru empat hari ditayangkan (semalam) filem arahan pengarah tersohor, Osman Ali bertajuk Langsuir berjaya mencatat kutipan sebanyak RM 1 juta.

Menurut Osman, meskipun wujud persaingan antara filem lakonan Syafiq Kyle dan Hannah Delisha itu dengan karya tempatan dan antarabangsa, ia bagaimanapun tidak menjejaskan sokongan penonton untuk ke pawagam.

“Alhamdulillah. Saya berasa bersyukur terutama dalam keadaan terdapat beberapa filem hebat lain seperti Munafik 2 turut sedang ditayangkan di pawagam. Tidak dinafikan awalnya saya berasa bimbang tetapi syukur peminat tetap memberi sokongan dan diharapkan ia akan berterusan.

“Tidak lama lagi filem Paskal akan ditayangkan (27 September 2018), Jadi ia turut akan mewujudkan persaingan. Namun, saya mengambilnya sebagai satu persaingan sihat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.



Mengulas lanjut, Osman juga tidak menolak untuk menghasilkan sekuel filem Langsuir sekiranya mendapat sambutan menggalakkan daripada khalayak.

“Masih terlalu awal untuk saya memperjelaskan mengenai perkara itu tetapi Insya-Allah sekiranya sambutan diterima menggalakkan, ia merupakan salah satu perancangan pada masa hadapan,” jelasnya.

Osman sebelum ini pernah mengarahkan filem Ombak Rindu yang berjaya mencatat kutipan sebanyak RM11 juta.

Selain Syafiq dan Hannah filem terbitan Guam Teamwork Sdn. Bhd. bersama Nuansa Sdn. Bhd. itu turut dibintangi oleh Julia Farhana Marin serta Firdaus Nadxaman.

Post a Comment

Previous Post Next Post