Penyanyi, Syafeek Ikhwan mengharumkan nama Malaysia apabila berjaya menyandang gelaran juara bagi kategori peserta solo pertandingan nyanyian, i-Sing World 2018 di Paris, Perancis, malam tadi.
Membawakan lagu hit nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza, Kau Kekasihku dan Frank Sinatra’s, My Way, Syafeek, 30, lantas mengetepikan 15 peserta lain sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai AS$2,500 (RM10,333), berserta trofi dan tiket penerbangan ke Sepanyol bagi membuat persembahan di pentas akhir, i-Sing World 2019.
Menerusi akaun Instagram juara Pujaan RTM 2015 itu, Syafeek meluahkan rasa gembira dan bersyukur selain mengucapkan terima kasih kepada individu yang telah banyak menyokongnya.
“Dengan izin Allah, berkat doa semua, ini saja yang mampu saya hadiahkan untuk negara. Hanya Allah yang tahu sebak dalam hati saat berkumandang lagu Negaraku di dalam dewan yang sarat dengan warga dari pelbagai negara, di tengah Kota Cinta.
“Terima kasih untuk kata-kata semangat yang diberikan. Terima kasih untuk sumbangan. Terima kasih untuk segalanya. Ini untuk Malaysia walau mungkin tidak seberapa daripada insan yang hampir tidak disedari kelibatnya. Terima kasih,” tulisnya di Instagram.
Acara yang berlangsung di Novotel Paris Centre Tour Eiffel merupakan edisi kedua i-Sing World dan diadili menerusi tiga pusingan persembahan sebelum layak memasuki peringkat akhir.