Kedewasaan pengaruh muzik Tegar


Sekitar tahun 2013, nama Tegar Septian meriah mewarnai persada seni muzik Malaysia termasuk negara kelahirannya, Indonesia menerusi single bertajuk Aku Yang Dulu Bukan Yang Sekarang.

Magis lagu tersebut lantas membuatkan ia sering diputarkan di corong radio, sekali gus membuka peluang buat remaja yang kini berusia 17 tahun itu terkenal.

Saat awal kemunculannya dalam dunia seni yang ketika itu dalam lingkungan usia 12 tahun, pelantun lagu Ke Mana Kasih Sayang tersebut sering diduga dengan realiti kehidupan industri sementelah dia sendiri masih polos tanpa sebarang pengalaman.

Menjadi mangsa penipuan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang memanipulasi bayaran persembahannya termasuk kegagalan pihak pengurusan membuatkan Tegar memilih untuk menghilangkan diri buat seketika.

Bukan kerana kecewa tetapi Tegar mengambil kesempatan dalam tempoh tersebut untuk lebih muhasabah diri termasuk menghasilkan lagu sendiri.

Sekitar setahun menyepi, Tegar kembali dengan buah tangan baharu bertajuk Tetaplah Di Hati yang dihasilkan sepenuhnya sendiri berdasarkan kisah hidupnya.

Perbezaan darjat menjadi penghalang buat Tegar untuk meneruskan hubungan dengan kekasihnya pada ketika itu. Disebabkan tentangan keluarga gadis terbabit, Tegar kemudian nekad memutuskan hubungan.

“Lagu ini berdasarkan kisah benar yang saya alami sendiri. Ia berlaku sekitar dua tahun lalu apabila ibu gadis berkenaan tidak merestui hubungan kami.

“Disebabkan enggan mengeruhkan keadaan, saya memilih untuk memutuskan hubungan dan mengabadikan kisah itu dalam lagu Tetaplah Di Hati,” jelas Tegar.



Mengulas mengenai keterbukaannya terhadap perkongsian kisah peribadi, Tegar mengakui ia bukan rahsia dan menyifatkannya sebagai sebahagian daripada sejarah hidup.

“Bagi saya apa yang berlaku ada hikmah dan tidak perlu dibahas. Biarpun apa yang telah terjadi, saya mengambilnya sebagai pengajaran pada masa mendatang.

“Pengalaman juga telah mendewasakan saya agar bijak dalam membuatkan keputusan tidak mengira sama ada melibatkan soal kerjaya mahupun percintaan,” terangnya.

Positif

Melanjutkan cerita mengenai kerjaya, Tegar akui dia menerima banyak undangan nyanyian di Malaysia. Reaksi positif itu, sekali gus mendorong Tegar untuk melancarkan single baharunya Tetaplah Di Hati di negara ini.

Tambahan, penerimaan khalayak terhadap lagu berkonsepkan balada membuatkan dia berpendapat, sekarang merupakan masa yang sesuai untuk melancarkan lagu tersebut.

“Lagu ini telah lama dihasilkan tetapi menunggu masa yang sesuai untuk melancarkannya. Alhamdulillah, sambutan yang diterima juga amat menggalakkan.

“Ia membuatkan saya semakin bersemangat untuk menghasilkan karya berkualiti. Saya juga mempunyai perancangan untuk menerbitkan album penuh dalam tempoh terdekat,” kongsi Tegar.

Pada masa sama, Tegar juga meletakkan harapan dapat menghasilkan karya yang mampu menjadi malar segar, sekali gus membuatkan khalayak mengingatinya sebagai seorang seniman.

Post a Comment

Previous Post Next Post