Selepas bertarung selama lapan minggu, pendatang baharu atau diberi terma Budak-Budak Baru Nak Up (BBNU) yang signifikan dengan pertandingan Big Stage, Sarah Suhairi membuktikan bahawa seseorang yang tidak dikenali tetapi jika berusaha, ia pasti membuahkan hasil yang manis.
Pada malam final Ahad lalu, gadis berusia 18 tahun itu yang pernah beberapa kali duduk dalam kelompok tiga terbawah mengikut undian, akhirnya menamatkan perjuangan sebagai seorang juara! Sarah melakar sejarah menjadi pemenang sulung program realiti tersebut. Dia meninggalkan banyak peserta lain, sekali gus menumpaskan empat rakan pesaing lainnya di pentas final iaitu Syafiq Farhain, Wani Kayrie, Baby Shima dan Afieq Shazwan.
“Sepanjang berada dalam Big Stage, saya mengharapkan ia menjadi platform untuk mengembangkan bakat dan mencuba sesuatu dalam industri. Sehingga ke peringkat ini sebenarnya saya tidak menjangkakan apa-apa selain ingin memberikan persembahan terbaik.
“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak juri dan guru vokal, Ernie Zakri yang banyak membantu mengajar dari minggu pertama sehingga minggu akhir,” luah Sarah penuh syukur usai konsert berlangsung.
Pada malam itu, Sarah memberikan persembahan memukau seisi Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi lagu Awan Yang Terpilu nyanyian asal Ning Baizura dan sebuah lagu baharu ciptaan Room None dan liriknya oleh Iman Imran berjudul Nyawa dan Raga.
Kemenangan tersebut sekali gus melayakkan Sarah membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM100,000 dan sebuah trofi sumbangan Astro.
“Separuh daripada hasil kemenangan ini saya akan laburkan dalam akaun Tabung Haji dan Amanah Saham Berhad (ASB) kerana saya tahu pada masa akan datang segala-galanya akan jadi mahal.
“Saya juga akan jadikan kemenangan ini sebagai indikator untuk terus berkarya dalam industri dan cuba menetapkan satu genre muzik sahaja pada masa akan datang kerana setakat ini saya minat dalam pelbagai genre muzik,” katanya.
Imej
Berbicara soal mengekalkan suhu panas termometer kerjaya seni agar terus relevan, kongsi Sarah hal berkenaan bukanlah sesuatu yang mudah.
Namun, peminat tegar lagu-lagu K-Pop itu menyerahkan kepada rezeki tentang haluan kerjayanya. Dia juga sudah bersedia menghadapi kritikan netizen apabila berada dalam kerakusan sebenar industri hiburan nanti, lebih-lebih lagi imej bertudung yang dibawa dirinya.
“Saya tahu bukan satu hal yang mudah untuk mengekalkan momentum dalam industri, namun saya meletakkan ia kepada rezeki. Harapan saya agar peminat tidak henti menyokong.
“Berada dalam industri, saya tidak boleh lari daripada kecaman masyarakat. Perkara itu tidak boleh dinafikan, jadi saya perlu hormat pandangan mereka. Pada saya apa sahaja kritikan negatif dan positif, ia perlu diambil sebagai pengajaran untuk diperbaiki pada masa akan datang,” kongsinya yang tidak menolak sekiranya ditawarkan untuk berlakon.
Sementara itu, tidak menyangka dinobatkan sebagai penghuni tempat kedua, Syafiq memberitahu, kemenangan itu tidak akan sesekali membuatkan dia meninggalkan kerjaya hakiki sebagai seorang anggota bomba.
Syafiq yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM50,000 dan trofi mempertaruhkan lagu Allahyarham Sudirman iaitu Antara Hujan dan Airmata serta lagu baharu ciptaan Room None dan lirik Iman Imran berjudul Aku Jatuh Cinta.
“Sebenarnya saya tidak begitu puas hati dengan persembahan pada malam itu tetapi tidak jangka akan mendapat tempat kedua. Bagaimanapun, saya tetap bersyukur.
“Selepas tamat pertandingan ini, saya mendapat tawaran berlakon drama berjudul Hero bersama Mark Adam, Bell Ngasri dan Taukey Jambu.
“Jika diikutkan cuti tanpa gaji saya tamat pada hujung bulan, namun dengan tawaran ini mungkin saya akan menyambung cuti lagi,” kata Syafiq tertawa.
Momentum
Menetapkan keputusan untuk terus fokus dalam lapangan seni, lelaki berusia 24 tahun itu turut memasang strategi ingin kerap muncul di televisyen sebagai usaha untuk terus menempatkan diri dalam hati peminat.
“Sementara populariti tengah panas, lebih baik saya ambil peluang untuk teruskan kerjaya dalam bidang nyanyian tetapi dalam masa sama tidak terlintas untuk berhenti sebagai anggota Bomba.
“Selagi boleh saya akan teruskan dalam kerjaya bomba. Bukanlah mahu meminta yang buruk tetapi sekiranya terjadi sesuatu yang tidak baik pada fizikal dan suara saya, punca rezeki akan terputus jika bergantung pada kerjaya seni sahaja,” katanya yang sudah lima tahun berkhidmat sebagai anggota bomba.
Tambah anak kepada penyanyi legenda Saleem itu, selain terus tampil dengan single baharu, dia juga merancang untuk menjalankan perniagaan sebagai pelan sokongan kewangan pada masa akan datang.
“Saya masih baharu dalam bidang nyanyian, banyak lagi perkara yang tidak tahu, jadi saya banyak ambil nasihat daripada artis senior soal perancangan kewangan pada masa akan datang.
“Tidak mustahil jika suatu hari nanti saya terlibat dalam bidang perniagaan seperti perniagaan nasi lemak Syafiq Farhain,” selorohnya.
Dalam pada itu, Afieq Syazwan yang berjaya merangkul anugerah Gempak BBNU of The Week pada malam berkenaan berada di tempat ketiga dengan hadiah wang tunai RM25,000.
Tempat keempat pula dimiliki oleh penyanyi yang bakal meneruskan perjuangan dalam Liga Dangdut Indonesia pada bulan hadapan iaitu Wanie Kayrie dengan hadiah wang tunai RM10,000.
Peserta yang bakal berhijrah ke Jakarta selepas ini iaitu Baby Shima pula berada di tempat kelima (RM5,000). Masing-masing turut membawa pulang trofi sumbangan Astro.
Konsert akhir Big Stage yang dikendalikan oleh pengacara Alif Satar dan Sherry Alhadad turut diserikan dengan persembahan istimewa penyanyi baharu yang diterbangkan khas dari Amerika Syarikat, Alec Benjamin selain Faizal Tahir dan duet antara Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Alif Satar sendiri.
Selain undian peminat menerusi aplikasi Tik Tok, keputusan finalis turut diadili oleh juri tetap Siti dan Faizal serta dua juri jemputan iaitu Mark Adam dan Mas Idayu.
Sementara itu, Siti menitipkan segugus pesanan yang ringkas, namun perlu diguna pakai sebaik mungkin oleh semua peserta.
Katanya: “Jadikan ilmu sepanjang minggu sebagai bekalan di luar, jangan terus hilang. Gunakan bakat yang ada untuk terus hidup dalam industri.”
Apa yang dipesan Siti ada benar kerana terdapat banyak pendatang baharu hadir, namun tidak ramai yang kekal.