Dayangku Intan bersama dengan suami, Rosman Yahil.
Penyanyi yang terkenal dengan lagu Semakin Rindu Semakin Sayang, Dayangku Intan bakal menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang kiri untuk didermakan kepada suaminya, Rosman Yahil pada pagi esok.
Pembedahan yang dilakukan di Pusat Perubatan Prince Court di sini itu dijadualkan mengambil masa sekitar empat hingga lima jam.
Dayangku Intan atau nama sebenarnya, Tengku Intan Tengku Abdul Hamid mengakui berasa gementar untuk menjalani pembedahan tersebut namun demi kesejahteraan suami, dia rela melakukannya.
“Kegagalan fungsi kedua-dua belah buah pinggang suami mula diketahui sejak sambutan Aidilfitri pada Jun lalu. Kemudian, kami selepas membuat beberapa rawatan dialisis, saya nekad untuk mendermakan sebelah buah pinggang kepadanya.
“Perasaan itu sudah bercampur baur tetapi apa yang boleh dikatakan ialah doakan yang terbaik buat kami berdua. Saya sendiri mengharapkan agar pembedahan ini dapat membantu menjalani kehidupan seperti biasa,” jelasnya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Mengulas lanjut, Dayangku Intan turut mengakui kos rawatan yang tinggi membuatkan diri semakin bersemangat untuk terus bekerja keras untuk menampung perbelanjaan perubatan suami.
“Bukan sahaja melibatkan pembedahan tetapi pesakit yang menghidapi masalah buah pinggang ini perlu menjalani rawatan jangka masa panjang,” ujarnya.
Dayangku Intan yang kini menetap di Negeri Sembilan juga mengatakan bahawa dia kerap berulang-alik ke Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan buat suami selain memenuhi undangan persembahan.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan, sumbangan boleh dibuat menerusi akaun bank CIMB, 7004467729 (Rosman Yahil) atau Bank Rakyat 22-062-126101-8 (Tengku Intan Tengku Abdul Hamid).