Aeril menegaskan isterinya, Wawa lebih mengetahui tentang fizikal sebenar dirinya.
Tiada angin, tiada ribut tiba-tiba sahaja nama pelakon Aeril Zafrel dikaitkan dengan isu gambar bogel seakan-akan mirip wajahnya yang tular di laman sosial sejak Ahad lalu.
Biarpun gambar tidak senonoh berkenaan bukan dirinya, Aeril atau nama lengkapnya, Suhairil Sunari, 29, menegaskan sudah sampai waktunya rakyat Malaysia melupakan ‘tabiat’ menularkan gambar demi mencari perhatian yang tiada penghujung.
Dihubungi Kosmo! semalam, pelakon yang baru sahaja melunaskan pementasan teater Tanah Akhirku itu berkata, dia tidak melenting apabila gambar tersebut tular, namun hanya mendoakan yang terbaik buat mereka yang suka mencari publisiti di laman sosial.
Kata Aeril: “Segelintir orang memang gemar ‘membogelkan’ orang sesuka hati. Jangan risau, ada balasan buat individu-individu yang suka buat begini.”
Apa komen Aeril mengenai gambar bogel mirip wajah anda yang sedang tular ketika ini?
AERIL ZAFRIL: Saya sudah menafikan bahawa gambar bogel itu bukan saya. Lelaki dalam gambar itu tidak bersunat. Saya tidak tahu apa motif atau niat individu yang seperti sengaja mengaitkan gambar tidak senonoh itu dengan saya.
Biarkan mereka terus berangan. Tidak mengapa, saya okey sahaja. Orang zaman sekarang memang sewenang-wenangnya ‘membogelkan’ orang lain tanpa memikirkan soal pahala dan dosa. Tunggu sahaja balasan Allah buat mereka yang suka menabur fitnah.
Anda memuat naik gambar bogel berkenaan di Instagram, namun bertindak memadam selepas itu, mengapa?
Pada bahagian kapsyen gambar berkenaan, saya memang sudah menulis ia bersifat sementara dan akan dipadam.
Saya hanya ingin memberi penegasan bahawa ia bukan gambar saya. Untuk pengetahuan anda, saya sudah mengetahui kewujudan gambar itu kira-kira sejak setahun lepas, namun saya biarkan sahaja.
Ketika itu, gambar itu dikirim oleh seorang rakan saya. Sehingga hujung minggu lalu, ia dikirim semula oleh seorang wartawan bertanyakan sama ada gambar itu adalah saya atau sebaliknya.
Tidakkah anda berpendapat dengan memuat naik gambar berkenaan di Instagram akan mengeruhkan lagi keadaan?
Seperti yang saya kata tadi, saya hanya ingin membuatkan penegasan bahawa gambar itu bukan saya. Gambar tersebut sudahpun saya padam.
Terpulang kepada khalayak untuk berfikir selepas melihat gambar itu. Saya berharap mereka boleh membezakan mana yang benar, mana yang palsu. Alat kemaluan lelaki itu tidak sunat dan itu memang bukan saya.
Adakah isteri anda, Wawa Zainal cakna tentang kewujudan gambar tersebut dan apa reaksinya?
Saya hanya gelak apabila gambar itu ‘timbul’ di media sosial. Wawa pun apabila tahu tentang kewujudan gambar itu hanya ketawa terutama apabila ia tular. Dia okey sahaja dan dia juga yang lebih mengetahui tentang fizikal sebenar saya.
Apa pula reaksi anda apabila mendapat tahu wujud untaian gambar mirip anda dalam keadaan berbogel sehingga menampakkan alat kemaluan tular?
Saya hanya ketawa apabila mendapat tahu gambar itu tular. Saya berdoa semoga individu-individu yang gemar memfitnah orang lain dengan menyebarkan cerita tidak benar dikurniakan hidayah dan petunjuk.
Saya tidak boleh halang orang lain menyebarkan cerita yang tidak benar terutama apabila masih memegang status sebagai selebriti. Semoga mereka yang terlibat dengan penyebaran fitnah ini diberikan balasan yang sewajarnya kelak.
Apa nasihat anda buat pihak yang suka menyebarkan perkara yang tidak benar?
Jangan risau, ada balasan buat individu-individu yang suka buat hal begini. Ingatlah, hari ini anda buat tidak baik kepada orang lain, suatu hari nanti ia akan datang semula kepada diri anda.
Baiklah, apa perkembangan seni terbaharu anda?
Drama terbaharu lakonan saya berjudul Jibrail akan ditayangkan melalui platform penstriman, Viu dan juga di kaca televisyen, ntv7. Tidak lama lagi saya akan muncul dengan drama terbaharu berjudul Mencari Kiblat yang akan ditayangkan dalam slot Zehra (TV3).