Gemersik jiwa merdeka Loque, Amy Search


Setelah lima tahun, lagu Tanah Airku Tanah Airmu yang pernah dirakamkan oleh Loque bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza pada 2013 kini diberi sentuhan dan nafas baharu.

Seiring dengan perubahan #MalaysiaBaru yang sedang dirasai seluruh rakyat, lagu Tanah Airku Tanah Airmu juga dibikin dalam nuansa lebih garang bersama legenda rock negara, Amy Search serta Pancaragam Nakhoda Mat Lela Derhaka dari Malay College Kuala Kangsar (MCKK), Perak.

Mahu lebih mencengkam, penyatuan tersebut diberi gelaran #PancaragamNakhodaMatLelaDerhaka sempena Hari Kemerdekaan ke-61 dan Hari Malaysia tahun ini.

Loque yang menggunakan gelaran Mat Lela sebagai karakter imaginasinya menyifatkan versi baharu Tanah Airku Tanah Airmu Jua sebagai lebih jantan, apatah lagi berganding dengan Amy yang disanjung sebagai Yang Berhormat Muzik Rock Tanahair.

Kata Amy: “Projek ini datang dalam masa yang singkat, tiba-tiba Loque datang beritahu hasratnya. Kebetulan saya tidak sibuk.”

Sebagai simbolik mengekalkan kemelayuan di tengah kota hutan batu, #PancaragamNakhoda-MatLelaDerhaka dirakamkan di Kampung Baru, sebuah lokasi di tengah-tengah Kuala Lumpur. Tujuannya adalah sebagai peringatan kepada rakyat Malaysia untuk tidak melupakan asal usul dan sejarah tanah air ini meskipun dalam misi bergerak maju ke hadapan demi mencapai taraf yang disegani dunia.

Bunyi-bunyian daripada barisan Pancaragam Nakhoda Mat Lela Derhaka yang mengiringi Mat Lela dan Amy juga membawa simbolik terhadap kelangsungan usaha anak bangsa mengorak langkah mengejar kemajuan. Mengikut sejarah, pertubuhan MCKK kira-kira pada tahun 1947 dahulu hanyalah untuk golongan elit semata-mata.



Namun, berkat semangat nasionalisme rakyat, MCKK telah membuka peluang kepada semua golongan. Secara tidak langsung, Mat Lela mahu mengingatkan semua rakyat Malaysia bahawa kita mampu mengubah kehidupan menjadi lebih baik apabila teguh bersatu.

Bercerita tentang merdeka, Amy mengulas istilah keramat tersebut dari sudut pemikirannya.

“Kita harus merdeka. Merdeka adalah macam kepala kita, mesti terbuka dengan hidup dalam tahun 2018. Kalau kita masih berada pada takuk lama, kita belum merdeka. Belum cukup merdeka dan belum tahu menikmati apa itu merdeka. Peace selamanya!,” katanya.

Mengulas makna kebebasan dalam erti kata sebenar pula, Loque menegaskan kemerdekaan tidak akan bererti jika tidak dihayati dengan jati diri yang kuat.

“Merdekakah kita kalau masih malu untuk berbahasa, berbudaya tapi bangga kemas kini status dalam (bahasa) Inggeris. Apa benda yang merdeka?

“Merdeka bererti bebas daripada hidup kepura-puraan, pura-pura menjadi Mat Saleh atau Arab ataupun sesiapa yang bukan diri kita yang sebenar. Selamat Hari Merdeka! Merdekakan mentaliti, raikan cap mohor anda,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post