Tya Arifin jual jamu


Setelah melahirkan anak sulung, Arif Jiwa pada 31 Mac tahun lalu, Tya Arifin pernah ‘berkelahi manja’ dengan suaminya, Asyraf Khalid mengenai rutin pengambilan jamu selepas bersalin.

Mengikut resam turun-temurun yang dilalui oleh keluarga Tya, pelakon asal Palembang, Indonesia itu dimestikan oleh ibunya, Komariah Mahmud untuk mengamalkan jamu selepas tempoh berpantang.

Bagaimanapun, Asyraf agak skeptikal dengan cara tersebut. Ketika itu, dia lebih cenderung agar Tya mengikuti saranan doktor dan menjauhi jamu yang didakwa bersifat panas terhadap tubuh badan.

“Ketika saya menyatakan hasrat untuk mengamalkan jamu selepas proses berpantang, Asyraf tidak benarkan. Katanya, jamu boleh memanaskan badan dan tidak baik untuk kesihatan.

“Tetapi, saya berdegil dan memujuknya untuk ambil tahu tentang jamu. Maklumlah, keluarga ibu saya merupakan pengamal jamu dan ia telah terbukti berkesan sejak sekian lama,” ujar Tya atau nama lengkapnya, Nurtria Wulandari Ariffin membuka bicara.

Setelah dipujuk, ternyata Asyraf akhirnya lembut hati dan membenarkan pelakon filem Merry Go Round itu untuk mengamalkan jamu.

“Selepas kami berbincang, Asyraf akhirnya membenarkan saya untuk mengamalkan pemakanan jamu,” katanya sambil tertawa.

Menurut Tya, dia berasa beruntung kerana resipi jamu yang diamalkan selama ini merupakan resipi tradisi daripada keluarga.

Tambahnya, segala jenis jamu yang diamalkan merupakan hasil air tangan ibunya yang begitu teliti dalam menyukat dan mengadun bancuhan jamu untuk kegunaannya.

Melihat kerumitan proses mengadun jamu, timbul idea dalam kotak fikiran Tya untuk menghasilkan jenama jamunya sendiri yang bukan sahaja kaya dengan khasiat tetapi mudah untuk diminum.





Mutyara

“Ketika ibu bertungkus lumus untuk menyediakan jamu, saya terfikir, kenapa tidak ramuan-ramuan tersebut disatukan dalam bentuk cecair supaya lebih mudah untuk diminum?

“Jadi, selepas menyatakan hasrat kepada suami dan melalui proses saringan bahan-bahan, maka terhasil jenama jamu pertama saya iaitu Mutyara,” katanya panjang lebar.

Menurut Tya, jenama jamu yang baru tiga bulan usianya itu tidak sama seperti jamu lain di pasaran.

Selain mengandungi halia, kacip Fatimah dan bahan-bahan semula jadi lain. Mutyara juga diadun dengan makanan sunnah seperti madu dan Habbatus Sauda.

“Selalunya, jamu sering dikaitkan dengan rasa pahit dan kelat tetapi, Mutyara rasanya manis, sesuai dengan kehadiran makanan-makanan sunnah yang dicampurkan,” kata Tya sambil memberitahu, jamunya itu sesuai untuk dicuba oleh golongan wanita muda dan juga telah berkahwin.

Beralih pada perancangan perniagaan, Asyraf ditanya sama ada mahu membuka toko jamu sendiri seperti yang diusahakan oleh bapa mertuanya, Arifin Hasan AS di Palembang.

Jawab Asyraf, buat masa ini produk jamu tersebut hanya dijual di Instagram menerusi ejen dan stokis yang mengambil bahagian.

“Pada pendapat saya, apabila menjalankan bisnes, saya lebih suka untuk berbagi rezeki.

“Jadi, buat masa ini tiada perancangan untuk membangunkan sebuah toko jamu seperti bapa Tya di Palembang. Cukuplah sekadar penjualan atas talian,” katanya.

Kredibiliti

Kongsi Asyraf, jamu Mutyara tidak hanya dijual dalam pasaran tempatan, malah turut dipasarkan di Singapura dan Brunei.

“Produk kami telah pun sampai ke Singapura dan Brunei. Tidak lama lagi, ia akan menembusi pasaran Indonesia, insya-Allah,” ujar Asyraf lagi.

Masih lagi berkenaan dengan produk jamunya, Asyraf mengakui ada segelintir individu yang meragui kualiti Mutyara memandangkan dia dan Tya tidak memiliki sebarang kemahiran atau pengalaman dalam bidang perubatan.

“Tidak dinafikan, memang ada yang telah mempersoalkan kredibiliti produk kami. Namun, saya tidak ambil pusing kerana Mutyara telah menerima pengesahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Kami juga sedang menunggu pengesahan Halal dan juga nombor MAL supaya ia boleh dijual di farmasi-farmasi tempatan,” katanya.

Asyraf dan Tya turut melahirkan hasrat untuk mengeluarkan produk lain di bawah jenama Mutyara selepas ini.

“Dalam masa terdekat, kami merancang untuk mengeluarkan jamu Mutyara dalam bentuk sachet.

“Kemudian, kami turut berhasrat untuk mengeluarkan produk kecantikan seperti syampu dan mandian pada masa akan datang,” katanya lagi.

Anak

Tidak sah jika mewawancara Tya dan Asyraf tanpa menyentuh mengenai buah hati pengarang jantung mereka, Arif Jiwa. Baru mencecah usia setahun, keletah Arif di Instagram begitu cepat menangkap rasa senang khalayak.

Tidak hairan jika baru-baru ini, cucu kepada penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza itu diundi sebagai Si Cilik MeleTOP menerusi Anugerah MeleTOP Era 2018.

Senang dengan perhatian yang diberikan oleh peminat kepada anak mereka, Tya berkata, dia berasa sungguh bersyukur dengan apa yang telah dikurniakan Allah kepada keluarganya.

“Setiap kali keluar bersiar-siar, pasti akan ada yang datang kepada kami dan memperkenalkan diri mereka sebagai auntie dan uncle (panggilan manja Arif buat pengikutnya di Instagram) kepada Arif.

“Sejujurnya, perkara tersebut membuatkan kami lebih bahagia kerana sesiapa sahaja boleh menjadi ‘keluarga’ kami,” kata Tya sambil tersenyum.

Sungguhpun menyedari kesan psikologi yang mungkin dialami Arif kerana popular pada usia muda, Asyraf bagaimanapun positif dengan setiap dilakukan.

“Saya sedar mengenai perkara ini. Namun, apa yang kami kongsikan di Instagram adalah bersifat semula jadi dan bukannya mahu mencari populariti.

“Sebagai seorang bapa, saya lihat ia sebagai satu perkara positif dan percaya ia adalah rezeki yang telah ditetapkan Allah kepadanya,” ujar Asyraf mengakhiri perbualan.

Selepas menceburi bidang lakonan dan nyanyian, Tya Ariffin iaitu menantu tiri kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza melangkah setapak ke hadapan sebagai seorang usahawan dengan memasarkan produk terbaharunya, jamu Mutyara.

Post a Comment

Previous Post Next Post