Emma Maembong pertahan gelaran Ratu Telenovela


Berlangsung di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Anugerah Telenovela 2018 yang melabuhkan tirai pada Sabtu lalu sekali lagi menyaksikan pelakon Emma Maembong dinobatkan sebagai Ratu Telenovela Serba Dinamik.

Menerusi anugerah yang memasuki tahun ketiga penganjurannya itu, Emma dilihat konsisten menjayakan beberapa karya adaptasi novel seperti drama Sayang Papa Saya Tak, Awak Suka Saya Tak dan Kimchi Untuk Awak.

Ini sekali gus mengangkat namanya sebagai Pelakon Serba Dinamik dan Komited dalam kategori Anugerah Khas Juri.

“Saya terkejut tahun ini rezeki masih berpihak kepada saya. Sungguh, saya menggigil tidak percaya ketika naik ke pentas.

“Mungkin sebab saya banyak berlakon drama dan lebih ke arah naskhah adaptasi daripada novel. Jadi, itu menjadi faktor saya terpilih sebagai Ratu Telenovela ini,” katanya yang ditemui usai anugerah.

Bercakap mengenai kemenangan buat kali kedua yang mungkin bakal mengundang pertikaian segelintir pihak, wanita berusia 26 tahun itu memanjatkan rasa syukur kerana juri melihat bakatnya sepanjang enam tahun berkecimpung dalam dunia seni.

“Sejujurnya, kedua-dua anugerah yang saya terima ini dipilih oleh juri yang terdiri daripada pelakon lama dan lebih berpengalaman dalam industri.

“Saya tidak kata lakonan bagus, malah ramai lagi pelakon yang berbakat, namun bersyukur kerana juri melihat bakat saya. Apabila dipilih juri, ini bermakna lakonan saya sampai ke jiwa mereka,” jelasnya.





Sudah dijangka

Dalam pada itu, naskhah terbitan Astro dan Ideate Media, Mandatori menjadi karya paling banyak menerima anugerah melibatkan kategori Telenovela Terbaik, Pelakon Lelaki Telenovela Terbaik (Aeril Zafril), Pelakon Wanita Telenovela Terbaik (Siti Saleha), Pengarah Telenovela Terbaik (Razaisyam Rashid) dan Penulis Skrip Terbaik (Alfie Palermo, Yasmin Yaacob, Na’a Murad, Fairul Nizam Ablah, Ashraf Zain, Shaimaine Othman, Adib Zaini serta Aziz Salim).

Mewakili pasukan produksi drama sebanyak enam episod tersebut, Aeril Zafril tanpa berselindung memberitahu, sudah dapat menjangkakan kemenangan berkenaan kerana naskhah tersebut memaparkan jalan cerita berbeza.

“Sebenarnya memang sudah ada jangkaan kerana Mandatori memaparkan jalan cerita berbeza. Jika novel lain bercerita tentang cinta, Mandatori pula merupakan adaptasi daripada novel psyco-thriller.

“Kemenangan ini membuatkan saya lupa penat lelah dan cabaran semasa membawakan watak Inspektor Norman. Tambahan pula Mandatori merupakan drama adaptasi pertama lakonan saya saya. Saya telah melakukan yang terbaik dan syukur, hasilnya juga berbaloi,” katanya.

Selain itu, naskhah Wanita Popular pula mendominasi Kategori Popular pilihan peminat, sekali gus menyaksikan pasangan romantis, Fattah Amin dan Fazura dipilih sebagai Pelakon Lelaki dan Wanita Telenovela Popular serta Telefilem Popular.

Terdapat juga anugerah yang mengiktiraf penggiat seni veteran seperti Primadona Telenovela yang menjadi milik Fauziah Datuk Ahmad Daud, Seniman Legenda (Datuk Rahim Razali), Tokoh Seniman (Othman Hafsham) dan Tokoh Seniwati (Datuk Rosnani Jamil).

Majlis anugerah yang mempertandingkan sebanyak 46 kategori tersebut dihoskan oleh Cody Tan dan Natasha Chairmaine.

Antara selebriti yang hadir membuat persembahan ialah Asfan, Ippo Hafiz dan Aman Aziz.

Post a Comment

Previous Post Next Post