Azhar Sulaiman 
tak manjakan anak


Lama tidak mendengar cerita aktor berpengalaman, Azhar Sulaiman. Terbaharu, pelakon berusia 47 tahun itu ditemui pada sidang akhbar pelancaran drama atas talian Projek Dapat Anak.

Bapa kepada tiga orang cahaya mata, Kasih Leia Ixora, 20, dan kembar Andika Rees Pahamin serta Kasih Iris Leona, 16, itu mendedahkan, dia tidak memanjakan anak-anaknya, namun mengakui suka ‘menggertak’ andai mereka mengingkari kata.

Kongsi pelakon yang cukup dikenali menerusi filem Trauma itu, dia akur dengan budaya golongan muda masa kini yang mencabar berbanding pada zamannya membesar dahulu.

Kata Azhar, dia tidak menghalang anak-anak untuk mengikut jejak langkahnya sebagai pelakon, namun masing-masing sudah menunjukkan kecenderungan minat tersendiri.

Kasih Leia Ixora cenderung ke arah nyanyian, Andika Rees Pahamin menyukai bidang sukan, manakala Kasih Iris Leona seperti menunjukkan minat untuk menjadi seorang model.

Sebagai seorang anak seni yang dikategorikan artis senior dalam arena lakonan tanah air, Azhar sengaja diminta berkongsi berpendapat tentang generasi artis masa kini.

Katanya, pelakon yang sedang meningkat naik harus sedar nilai komersial selagi masih menjadi buruan pihak produksi.





KOSMO!: Boleh kongsikan perkembangan seni terbaharu Azhar?

AZHAR SULAIMAN: Tidak banyak projek lakonan yang saya jayakan pada usia sekarang. Bikin Filem sudah memulakan penggambaran. Saya rasa itu sahaja projek lakonan saya selain drama Projek Dapat Baby ini.

Maaf bertanya, bagaimana anak sulung andai mula menuai minat dalam bidang nyanyian?

Kasih Leia mempunyai band sendiri iaitu Senja. Kalau di rumah pun, dia suka bermain muzik dan mengajak rakan-rakannya bersama. Dalam pada itu, dia juga berguru dengan Amylea Azizan untuk mempertingkatkan kualiti vokal.

Apa nasihat anda kepada anak-anak. Maklumlah mereka akan lebih mudah menjadi sasaran kritikan netizen kerana mempunyai bapa yang berstatus selebriti?

Bagi saya, apa yang mereka kongsi dalam laman sosial adalah tanggungjawab mereka sendiri. Mereka sudah semakin membesar dan perlu sedar kesan daripada sebarang tindakan.

Kalau netizen ingin kritik atau tegur, silakan kerana seperti apa yang saya katakan, apa yang mereka kongsi di Facebook atau Instagram, itu bawah tanggungjawab mereka.



Sebagai seorang bapa, apa yang boleh anda katakan mengenai budaya anak-anak muda hari ini?

Saya agak terkejut, namun harus reda dengan perubahan budaya budak-budak sekarang. Zaman dahulu, kita suka menghabiskan masa pergi disko misalnya, namun budak-budak sekarang, seperti anak saya Kasih Leai, dia suka bermain muzik dan pergi gig atau persembahan kumpulan indie.

Saya tiada masalah, namun perlu diakui, zaman sudah banyak berubah dan cara pemikiran mereka amat berbeza. Menjadi tanggungjawab kita sebagai ibu bapa juga untuk menegur perbuatan mereka yang salah.

Apakah pendekatan yang anda amalkan semasa membesarkan anak-anak?

Sewaktu membesarkan anak sulung, saya memang garang. Cara memarahi amat tegas kerana anak sulung, pengalaman pun kurang.

Apabila menerima kelahiran anak bongsu, ‘baran’ saya berubah. Saya lebih menggunakan pendekatan berlembut, namun mereka sedia tahu apa akan terjadi kalau saya naik hantu,”

“Jadi, mereka sudah faham bahasa tubuh saya. Andai sesuatu perkara yang dilakukan tidak dipersetujui, saya hanya perlu menggertak tanpa memukul atau menggunakan kekerasan.

Sebagai pelakon senior, apa pula nasihat anda kepada pelakon zaman sekarang?

Nasihat saya senang. Jangan apabila sudah ‘tidak laku’ nanti, baru mahu terhegeh-hegeh. Selagi masih laku, teruskan bekerja dengan bersungguh-sungguh.

Seperkara lagi, jangan mudah melatah dengan gosip atau kritikan yang meliar. Itu perkara biasa dalam dunia seni.

Post a Comment

Previous Post Next Post