Isteri kepada pelakon Putra Amaris, Nur Syazwani memberitahu pelakon tampan itu masih suaminya dan gosip yang dikaitkan dengan jutawan kosmetik Datuk Sri Vida hanyalah atas dasar urusan kerja.
Nama Amaris mula menjadi bualan hangat netizen apabila kerap memuat naik gambar dengan DSV pada Julai lalu.
"Ya Amaris masih suami saya, tetap suami saya dan selamanya selagi ALLAH izinkan satu-satunya suami saya.
"Selama mana dia tidak melampau, saya tidak cemburu, memang kerja dia akan jumpa dengan semua orang yang cantik dan berpengaruh.
"Kalau sikit-sikit nak cemburu, nak melenting, tak boleh kahwin dengan artis," jelasnya.
Memetik laporan, mengulas pertanyaan fotonya tidak pernah dimuat naik, Syazwani, 28, akur media sosial suaminya itu digunakan hanya untuk urusan kerja.
"Alhamdulillah, kami baik-baik sahaja, laman Instagram itu untuk kerja dia. Saya lagi suka bersederhana," katanya.
Syazwani dan Amaris, 33, selamat disatukan pada 5 Januari lalu.
Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dijangka bakal menerima zuriat pertama pada awal Disember depan.