Monoloque kembalikan nostalgia piring hitam


Kecanggihan teknologi masa kini memberi ruang dan peluang buat penyanyi mempromosikan karya terbaharu mereka menerusi platform digital.

Namun berbeza dengan penyanyi terkenal, Loque yang memilih untuk mengembalikan nostalgia piring hitam untuk album terbaharunya kumpulan Monoloque iaitu Jangan Puja Sampai Kecewa.

Bercerita lanjut mengenai projeknya ini, Loque atau nama sebenarnya, Khairil Ridzwan Anuar, album tersebut terlebih dahulu dijual secara digital dan dalam bentuk cakera padat (CD) pada tahun lalu.

Bagaimanapun demi memberi kepuasan dan melengkapkan profil karier seninya, dia mengambil langkah berani untuk mengeluarkan 300 keping album Jangan Puja Sampai Kecewa dalam bentuk piring hitam.

"Sejak awal pembabitan dalam industri seni, saya sudah berhasrat untuk mengeluarkan album dalam bentuk piring hitam.

"Tidak dinafikan pasaran piring hitam lebih kecil berbanding CD tapi selepas dijual, kami boleh berbangga apabila hanya tinggal 50 keping sahaja lagi piring hitam yang belum terjual dan itu menandakan piring hitam masih ada tempat yang tersendiri.


"Malah istimewanya mengenai piring hitam ini, muziknya kedengaran lebih mendalam dan bagi mereka yang sukakan muzik, ia mendatangkan lebih kepuasan," katanya yang juga vokalis untuk kumpulan Monoloque kepada Sinar Harian.

Selain Loque selaku vokalis, pemain gitar, keyboard dan piano, Monoloque turut dianggotai Dax (bes, vokal), Ijoo (gitar utama), Bakri (dram) dan Syafikraz (percussion).

Tidak hanya tampil dengan Jangan Puja Sampai Kecewa, Loque berkata, kumpulannya kini sedang sibuk mempromosikan album terbaharu mereka iaitu Peristiwa Kampung Batu.

Menariknya mengenai album ini, ia dirakamkan di sebuah rumah lama di Kampung Batu Kuala Lumpur dan segala rakaman lagu atau video mengenai Peristiwa Kampung Batu boleh ditonton di saluran YouTube dan Vevo.



"Kami berkampung selama empat hari di dalam rumah berkenaan bagi menyiapkan rakaman album ini. Pada awalnya kami merancang untuk merakamkan proses penghasilan album tersebut dalam bentuk video cakera padat (DVD) tapi memandangkan DVD sudah tidak relevan, kami beralih pada platform digital.

"Objektif utama kami membuat rakaman di luar studio adalah untuk memberikan sesuatu yang berbeza dalam rakaman muzik. Kami bawakan aura rumah terbabit dan biarkan ia 'bersuara' di dalam lagu-lagu yang dirakamkan.

"Sejujurnya memang banyak pengalaman yang kami kutip sepanjang rakaman album terbabit dan saya turut merancang untuk meneruskan rakaman lagu di luar studio di seperti di istana pula selepas ini," katanya yang dalam proses menyiapkan album yang mengetengahkan alat muzik gamelan.

Elak kontroversi pencetus viral
Dalam pada itu, Loque berkata, dia tidak melihat 'viral' sebagai medium sesuai untuk mempromosikan produk atau projeknya kerana diibaratkan seperti mi segera.

"Saya tak mahu orang melihat seni ini sebagai dunia yang cetek, semua benda harus diviralkan melalui kontroversi kerana seni ini adalah nilainya.

"Jika ia viral dengan cara yang betul, saya tidak kisah, tapi mencetuskan sesuatu untuk mendapatkan perhatian orang saya rasa bukan cara yang bijak," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Loque kini dalam proses menyiapkan single terbaharu buat bekas anggota kumpulan Raihan, Nazrey Johani yang diberi judul Iman Baru.

Post a Comment

Previous Post Next Post