Jangan benci Niena Baharun


Drama rantaian Jangan Benci Cintaku yang menghiasi slot Akasia di saluran TV3 baru melabuhkan tirai pada Isnin lalu.

Ironinya, naskhah yang diterajui oleh Saharul Ridzwan, Zahirah MacWilson dan Niena Baharun itu berjaya mencetuskan fenomena tersendiri apabila mendapat rating terkumpul sebanyak 12 juta penonton sepanjang 28 episod dan melebihi 5 juta tontonan menerusi laman YouTube dan portal video Tonton.

Tentu sekali, selain karakter Nek Pah lakonan Azizah Mahzan, watak yang paling dibenci sehingga menjadi buah mulut penonton ialah Husna.

Dijayakan tanpa sebarang kelakuan agresif atau muka bengis, anak kelahiran Kota Baharu, Kelantan yang lebih dikenali dengan nama Niena Baharun itu membangunkan watak sebagai seorang perempuan lemah lembut, namun mencipta kebencian dengan sikapnya yang mengejar cinta suami orang atau lebih tepat digelar perampas.

Bertemu dengan Niena atau nama penuhnya, Amaniena Kamarul Baharun semasa tayangan episod akhir drama berkenaan di Eco Grandeur, Puncak Alam, Selangor baru-baru ini, sambil tersenyum wanita itu meluahkan rasa tidak sangka dengan sambutan penonton.

“Alhamdulillah, memang saya, pelakon lain dan pasukan produksi tidak menjangka dapat sambutan begini. Pada mulanya saya memang tidak biasa apabila menerima kecaman ini sehingga timbul pertanyaan teruk sangatkah watak Husna itu?

“Suami saya juga ikut tertarik untuk menonton drama ini apabila rakan-rakannya sering menjadikan kejahatan karakter Husna sebagai bahan bualan apabila berjumpa.

“Sehingga satu tahap saya sendiri ikut berbalas komen dengan peminat sebagai Husna. Saya gembira kerana ia menunjukkan watak itu berkesan,” katanya memulakan bicara.





Diugut

Pertama kali membawakan watak antagonis, kongsi wanita berusia 25 tahun itu, dia berfikir panjang untuk menjayakan babak yang memerlukan dirinya sedikit agresif seperti menolak Zahirah.

Begitupun, disebabkan karakter Husna yang lembut pada bicara dan menjadi seorang wanita psiko apabila hanyut dalam janji-jani manis lelaki membuatkan dia bersetuju untuk menerima tawaran pengarah Pali Yahya itu.

“Apabila menerima tawaran ini, perkara pertama yang saya tanya adalah, adakah watak ini agresif atau jahat yang memang kejam?

“Jika boleh saya tidak mahu watak yang terlalu agresif kerana di luar bidang lakonan saya bukan seorang yang suka mengasari orang lain,” katanya.

Impak daripada lakonan cemerlang tersebut, sambil tertawa Niena berkongsi dia mendapatkan kecaman hebat sehingga ada penonton yang mengugut mahu memijak perut dan merampas suaminya sendiri iaitu Aliff Firdaus.

Malah, terdapat juga netizen yang mempersoalkan penampilan dirinya yang bertudung, namun tidak selari dengan perangai yang suka mengganggu keharmonian rumah tangga pasangan lain.

“Pada awalnya takut juga, namun suami banyak memberi semangat agar saya bertenang. Alhamdulillah, kecaman berlaku setakat dalam laman sosial sahaja. Saya juga sentiasa berteman apabila keluar dari rumah.

“Soal penampilan bertudung yang menjadi pertikaian masyarakat, pada saya imej bertudung ini adalah kewajipan tetapi keperibadian seseorang itu kita tidak tahu lagi.

“Zaman sekarang ramai yang memakai tudung, tetapi ada yang mempunyai perangai buruk. Pendek kata tidak semua wanita bertudung jahat dan tidak semuanya baik,” kongsi Niena panjang lebar.

Dalam pada itu, ujar pelakon yang pernah popular dengan drama Sayangku Kapten Mukhriz, dia mungkin akan mempertimbangkan terlebih dahulu jika ditawarkan watak antagonis lagi.

“Buat masa ini saya tidak terfikir untuk teruskan membawa watak antagonis. Mungkin ia bergantung kepada tawaran jalan cerita dan kepada situasi serta bergantung kepada kemampuan saya mampu untuk membawakan watak itu,” ujarnya.

Berbadan dua

Menyentuh perihal peribadi, Niena yang kini hamil enam bulan memberitahu akan berehat seketika dalam dunia lakonan sehingga tempoh yang akan diberitahu kelak.

Teruja apabila dapat merasai pergerakan si comel dalam kandungannya itu, kongsi Niena lagi belum banyak persiapan yang telah dibuat untuk menyambut kedatangan ahli baharu itu.

“Saya dan suami sudah mengetahui jantina bayi ini, namun biarlah ia menjadi rahsia kami dahulu. Kandungan saya baru mencecah usia enam bulan, jadi suami suruh tunggu sehingga usia tujuh atau lapan bulan baru membeli barangan bayi.

“Memang gementar dan takut apabila memikirkan kesakitan hendak bersalin nanti kerana saya memang takut dalam hal-hal berkaitan hospital ini. Saya juga sedang mempertimbangkan untuk mengikuti kelas kehamilan sebagai persediaan untuk melahirkan anak,” kongsinya seraya menutup bicara.

Tanpa perlu memakai gincu merah menyala atau solekan garang, hanya dengan percakapan yang lemah gemalai, Niena Baharun berjaya menghidupkan watak Husna dalam drama Jangan Benci Cintaku sehingga mengundang kebencian penonton.

Post a Comment

Previous Post Next Post