Enam penyanyi wanita hangatkan Voices of Ladies


Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) bakal menganjurkan sebuah konsert percuma yang diberi nama Voices of Ladies khas untuk warga kota pada Sabtu ini.

Konsert yang menampilkan enam orang penyanyi wanita terulung sepanjang zaman seperti Aishah, Ella, Noraniza Idris, Nor Ariffin, Yuka Kharisma dan Elda Susanti itu akan diadakan di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana.

Menurut Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Khairul Anuar Mhd. Juri, program sedemikian merupakan salah satu cara buat pihaknya untuk kembali memeriahkan Panggung Anniversari yang pernah popular suatu ketika dahulu.

“Kapasiti panggung yang mampu memuatkan sehingga 5,000 orang penonton menjanjikan keselesaan semua pengunjung yang berminat untuk hadir bersama keluarga dan anak-anak tanpa perlu memikirkan kesesakan ruang di dalamnya.

“Kehadiran artis-artis popular ini diharap dapat menarik minat ramai penduduk Kuala Lumpur dan sekitarnya untuk menikmati konsert yang dibuat khas dan secara percuma ini.

“Pemilihan penyanyi yang sememangnya legenda dalam genre masing-masing dibuat menerusi permintaan yang pernah diusulkan kepada DBKL sebelum ini. Dengan bantuan YKAT, ia kini menanti hari konsert untuk terlaksana,” katanya pada sidang akhbar Konsert Voices of Ladies di Biro Pelancongan Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sementara itu, bagi penyanyi kelahiran Indonesia, Yuka Kharisma menganggap peluang berkongsi pentas dengan nama-nama hebat industri Malaysia sebagai satu penghargaan buat dirinya yang masih baharu di sini.





Penghormatan

Tidak mengambil masa lama untuk menyatakan persetujuan sewaktu tawaran tiba sebulan lalu, Yuka mengakui tidak sabar untuk mengadakan persembahan dan mengenali peminat di Malaysia dengan lebih dekat.

Biarpun pernah mengadakan konsert bersama Anuar Zain dan Bunga Citra Lestari awal tahun ini, pelantun lagu Hati Berbisik itu tetap berasa gementar terutama dengan kehadiran penyanyi wanita senior yang lain.

“Saya bakal menyampaikan tiga buah lagu pada malam konsert dan telah memulakan latihan bersama kumpulan muzik DBKL bermula Selasa lalu.

“Pada pendapat saya, aktiviti seperti ini adalah sesuatu yang istimewa kerana jarang untuk penganjur mengadakan konsert secara percuma dengan dibarisi penyanyi hebat. Jadi kepada semua peminat, jangan lepaskan peluang ini,” katanya lagi.

Tambah Yuka, kesemua enam orang penyanyi akan bergandingan suara pada akhir konsert dengan mempersembahkan sebuah lagu khas buat peminat.

Post a Comment

Previous Post Next Post