Filem lakonan Sangeeta Krishnasamy cipta sejarah


Aktres Sangeeta Krishnasamy itu pernah mencuri perhatian industri hiburan tempatan pada tahun lalu apabila dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-29 menerusi naskhah Adiwiraku.

Bukan sekadar itu sahaja, menerusi karya yang sama, pelakon berusia 33 tahun itu juga berjaya merangkul anugerah Pelakon Filem Wanita Terbaik menerusi Anugerah Skrin 2017. Kemenangan yang diraih membuatkan ramai yang mula menyedari kehadiran dan bakat yang ada pada pelakon berketurunan India itu dalam industri hiburan Melayu khususnya.

Selepas kemenangan demi kemenangan, baru-baru ini, sekali lagi filem lakonan Sangeeta menerusi karya Vedigundu Pasangge mencipta sejarahnya tersendiri apabila menjadi filem Tamil tempatan pertama mencecah kutipan jualan tiket melebih RM1 juta. Sehingga kini, mengikut data yang direkodkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), filem tersebut sudah mencecah RM1.14 juta kutipan jualan tiket.

“Ia merupakan satu pencapaian yang membanggakan kerana pertama kali dalam sejarah filem Tamil tempatan, kita berjaya mencecah kutipan sebegitu besar. Kebiasaannya, penerbit filem ada yang putus asa untuk menghasilkan filem selepas gagal mendapat pulangan kutipan yang memuaskan, sebaliknya berbeza dengan produksi filem ini.

“Saya melihat pihak pengarah dan penerbit filem ini banyak belajar melihat apa yang penonton mahukan. Pada masa sama, filem ini berkolaborasi dengan pasukan teknikal dari India juga. Di situlah kekuatan filem ini,” katanya kepada Sensasi Bintang baru-baru ini.

Sangeeta juga menafikan bahawa kemenangannya berturut-turut merangkul anugerah sebelum ini menjadi pendorong kepada kejayaan filem tersebut untuk menarik minat orang menonton karya berkenaan di panggung.



Sebaliknya, kata Sangeeta, dia sememangnya mempunyai keyakinan yang tinggi sejak dari awal lagi bahawa karya terbitan Veedu Production hasil kerjasama dengan Astro Vaanavil itu mampu merubah landskap filem Tamil tempatan di negara ini.

“Saya sudah jangka filem ini akan jadi hit kerana jalan cerita yang diketengahkan. Banyak mesej sosial dan pengajaran yang ingin disampaikan dengan mengangkat kisah kehidupan anak India negara kita,” katanya.

Semestinya, kejayaan itu secara tidak langsung membawa satu memori indah buatnya sebagai orang industri apabila berjaya mengukir satu lagi sejarah dalam industri yang boleh dijadikan sebagai kenangan tatkala negara bakal menyambut Hari Kemerdekaan tidak lama lagi.

Filem arahan Dr. Vimala Perumal itu juga ditayangkan di London dan dijangka memasuki pasaran di India serta Singapura bulan depan.

Sementara itu, bersempena dengan kedatangan sambutan hari bersejarah pada 31 Ogos ini, kata Sangeeta, dia menyeru agar kita semua dapat menyemarakkan lagi bulan kemerdekaan dengan mengibarkan bendera Jalur Gemilang sebagai tanda bangga menjadi anak Malaysia.

“Sekarang ini pun saya ada terlibat dengan kempen #KitaPunya bagi menyemarakkan kecintaan kepada negara di mana mengajak orang ramai untuk bersama-sama mengibarkan bendera.

“Bahkan, saya juga mahu menghasilkan sepasang persalinan sari bertemakan Jalur Gemilang sempena Hari Merdeka nanti,” katanya yang bakal muncul dengan drama berjudul Jibril lakonan bersama Aeril Zafrel dan Lisa Surihani.

Dalam pada itu, katanya dia juga akan menyambung pengajian di Akademi Filem New York, Amerika Syarikat selepas berjaya menerima biasiswa daripada Finas.

“Saya akan mengikuti kursus dalam bidang penulisan skrip dan penerbitan filem di sana. Kalau ikut perancangan, saya akan ke sana tahun depan.

“Memang ada sasaran untuk menjadi penulis skrip dan pengarah satu hari nanti,” kongsinya yang bakal muncul dengan filem Proksi bergandingan dengan Remy Ishak, Bront Palarae dan Ashraf Sinclair tidak lama lagi.

Post a Comment

Previous Post Next Post