Acuan komedi Zul Ariffin


Dipuji hasil persembahan melucukan dan berbeza total berbanding dalam mana-mana karya terdahulu, aktor Zul Ariffin menyifatkan pembentukan karakternya dalam filem Hantu Kak Limah menjadi seorang lelaki yang kelakar adalah hasil acuan daripada pengarah naskhah berkenaan, Mamat Khalid.

Mengakui tidak mampu membawakan watak tersebut tanpa ‘air tangan’ Mamat, pelakon berusia 32 tahun itu bagaimanapun bersyukur kerana diberi ruang dan peluang untuk menambah perkara baharu dan menyeronokkan dalam profil karier seninya.

Pendek kata, penampilan bintang filem J Revolusi itu sangat berlainan kerana Mamat berjaya mengubah imej perkasa Zul yang sinonim dengan naskhah cinta atau serius menjadi watak yang bersahaja dan kelakar.

“Kalau orang komen watak saya menjadi dan kelakar dalam filem ini, alhamdulillah ia satu penghormatan kepada saya. Cuma secara jujurnya, saya tiada komen lebih untuk itu kerana hasil yang anda lihat dalam filem itu saya kreditkan kepada Mamat Khalid.

“Beliaulah yang mencorakkan watak saya sebegitu dan sebagai pelakon, saya hanya memainkan peranan mengikut skrip yang telah tertulis tanpa menambah apa-apa,” ujarnya ketika ditemui pada malam gala filem Hantu Kak Limah di eCurve, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Dalam filem yang ditayangkan bermula 9 Ogos lalu, Zul memegang watak sebagai seorang bomoh bernama Solihin.





Platform

Sementara itu ketika ditanya pandangan empunya badan tatkala melihat sisi berbeza lakonannya dalam naskhah seram komedi berkenaan, Zul menyifatkan ia sebagai dimensi baharu yang menyeronokkan.

“Saya rasa bertuah sebab kalau kita mahu buat sesuatu tetapi tidak diberi peluang, apa gunanya. Jadi apabila ada orang percaya dengan kebolehan kita, jadi bersyukur dan buatlah betul-betul.

“Kalau Mamat Khalid tidak buka ruang ini, saya sendiri tidak tahu bila boleh muncul dengan watak sedemikian,” ujarnya.

Ditanya tentang kesediaannya menerima lebih banyak watak komedi selepas muncul dalam filem Hantu Kak Limah, Zul menjelaskan acuan karakternya dalam naskhah Hantu Kak Limah adalah disebabkan penulisan skrip yang bercorak komedi, bukannya karakter.

Dalam erti kata lain, Zul menyifatkan keselesaannya membawakan watak kelakar adalah kerana ia sudah dilakarkan dengan kemas dalam skrip yang ditulis oleh Mamat.

“Ia bukan tentang watak tetapi skrip dibentuk oleh Mamat Khalid. Jadi kami sebagai pelakon tidak perlu buat kelakar pun, cuma ikut kemahuan skrip sahaja.

“Berbeza dengan cerita lain, pelakon yang berusaha mewarnakan jalan cerita dengan babak komedi. Beliau sendiri pernah berpesan ketika di set, jangan buat komedi kerana skrip sendiri sudah kelakar, jadi saya ingat pesan itu,” katanya yang mengakui seronok memainkan watak Solihin.

Sementara itu, menyentuh tentang kontroversi berkenaan hubungannya dengan seorang wanita misteri berasal dari Ukraine baru-baru ini, Zul memberikan jawapan selamat apabila memberitahu wanita itu sekadar rakan biasa.

Hubungan mereka dihidu peminat selepas masing-masing memuat naik gambar sama di lokasi dan masa yang sama. Malah, tindakan wanita itu berkongsi sekeping gambar memeluk seorang lelaki yang didakwa Zul menimbulkan lebih banyak spekulasi.

Bagaimanapun, pertemuan mereka di Phuket, Thailand pada awal Julai lalu menurut Zul hanyalah disebabkan terikat dengan latihan Muay Thai bersama-sama untuk filem terbaharunya.

“Ya, saya kenal dia dan kami kawan sahaja. Saya layan dia sama seperti orang lain. Cuma saya tiada komen lanjut tentang perkara ini.

“Kalau saya cakap baik atau buruk, ia tidak membezakan apa-apa pun. Jadi lebih baik saya tutup mulut dan biarkan orang berkata apa sahaja,” ujarnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post