Pelakon dan penyampai radio Suria FM, Farah Azleenda Abd Aziz, 28 atau Zulin Aziz berkongsi ‘thread’ menarik mengenai hubungan dengan lelaki dikaitkan dengannya di laman sosial Twitternya, hari ini.
“Ketika reda dan pasrah, saya bangun bertahajud. Dalam doa, saya mohon Allah pertemukan saya dengan seseorang menyayangi saya lebih daripada saya menyayangi dia dan membimbing saya.
“Selepas Tahajud, seseorang menghantar pesanan ringkas. Seseorang saya tidak pernah suka. Dia menghantar pesanan jam 4 pagi dan apabila ditanya buat apa, dia cakap baru selesai tahajud juga,” tulisnya.
Zulin akui terkejut dengan persamaan itu lantas mereka saling bertanya khabar mengenai status terkini.
Lelaki itu meminta diberi peluang untuk berkenalan sebelum bernikah.
Selepas berdoa mengenai jodoh, dia mendapat reaksi itu, terkejut dan tertanya-tanya adakah lelaki itu jodohnya.
“Katanya, ketakwaan seseorang yang tahapnya paling tinggi adalah orang sudah pada posisi pasrah. Maka, buat kali pertama, saya memulakan hubungan dengan lelaki yang saya tak suka.
“Saya pilih dan tawakal, yang lain kerja Allah sebab Dia yang tentukan sama ada benar dia jodoh saya atau sebaliknya,” katanya.
Katanya, kesalahannya selama ini adalah tidak pernah mengizinkan diri sendiri untuk mencintai sesuatu yang dia tidak pernah suka kerana tidak pernah kenal atau mencuba.
Pelakon filem Bopeng itu turut mendedahkan lelaki itu sering membacakan surah dan maksudnya, selain memulakan solan setiap hari mengenai solat.
Entri itu mendapat lebih 700 ‘retweets’ dan tanda suka daripada kalangan pengikutnya.
Sebelum ini, Zulin pernah mendedahkan kini dalam fasa perkenalan dengan seorang lelaki didakwa seorang ahli politik dari Indonesia.
Pada awal Jun, dia memuatnaik petikan surah dan foto gaun perkahwinan di laman sosial Instagram, seolah-olah memberi bayangan hatinya sedang berbunga.