Pelakon dan penyanyi, Daiyan Trisha mengakui menerima amaran daripada peminat agar tidak terlalu rapat dengan pelakon Alif Aziz yang pernah mencetuskan kontroversi bersama Afifah Nasir tidak lama dulu.
Daiyan, 24, berkata dia bagaimanapun mengambil amaran itu sebagai jenaka memandangkan dia sendiri sudah menetapkan had terhadap diri sendiri di set drama Sejuta Rasa Buat Adelia bersama Alif.
“Sebaik saya kongsikan mengenai gandingan dengan Alif di media sosial tidak lama dulu, ramai yang memberi amaran agar saya tidak keluar pergi karaoke dengannya.
“Saya memang tahu mengenai kontroversi yang pernah menimpa Alif itu namun tidak mahu ia menjadi kekangan untuk saya bekerjasama dengannya dalam drama berkenaan.
“Apa yang saya fokuskan cuma memberikan lakonan terbaik bersamanya di set dan tidak mahu langsung dibayangi mengenai hal itu.
Kami pun tidak pernah membuka topik menyentuh kontroversi itu.
“Syukur, keserasian kami di set mudah terjalin meskipun ia pertama kali saya bergandingan dengan Alif. Saya juga senang dan tiada masalah berkawan dengannya,” katanya.
Tambah Daiyan, tidak pernah terlintas langsung rasa risau dalam dirinya apabila mendapat tahu akan bergandingan dengan Alif dalam drama itu.
“Saya tetapkan minda agar fokus paling penting adalah memberikan reputasi lakonan yang berkesan saja. Begitu juga Alif, dia benar-benar mengambil serius mengenai bagus atau tidak persembahannya.
“Dia pun banyak bertanyakan mengenai apa yang boleh atau tidak dilakukan untuk babak membabitkan saya. Saya sangat menghormatinya daripada segi tata kerjanya yang profesional itu,” katanya.