Meskipun tiada rezeki bergerak secara berkumpulan, ia bukan pengakhiran buat penyanyi baru, Zek MTG, 39.
Zek yang memulakan langkah dalam dunia peragaan pada penghujung 90-an menceburi bidang lakonan pada 2009.
Namun, pada 2013 barulah Zek mendapat kepercayaan untuk menjayakan watak pembantu dalam drama Buih-Buih Kasih.
Drama 13 episod disiarkan RTM itu berjaya membentuk keyakinan dalam diri Zek untuk terus mengasah bakat sebagai pelakon sehingga 2014.
Menyedari minatnya lebih ke arah nyanyian, Zek atau nama sebenar Zek Ayry Khan Zarak Khan menubuhkan kumpulan nasyid, Iman Heart pada 2016.
Ditemui pada sesi fotografi baru-baru ini, Zek berkata tahun ini dia nekad bergerak secara solo.
“Perjuangan dengan Iman Heart nampaknya tidak lama dan saya terpaksa mengambil keputusan menyanyi secara solo.
“Kini, saya tampil dengan single Hijrah yang bergenre kerohanian. Saya selesa bergerak sendiri kerana lebih mudah mengatur jadual di antara karier nyanyian dan komitmen sebagai perawat perubatan Islam,” katanya.
Berbicara mengenai single Hijrah, Zek berkata lagu itu hasil ciptaan komposer Jasz manakala lirik pula nukilan bersama dia dan Jasz.
“Sebaik mendengar melodi single ini, saya terus suka kerana ia menjurus kepada perjuangan.
“Terus-terang, single ini sangat dekat dengan diri saya kerana daripada menyanyi secara berkumpulan akhirnya bergerak solo.
“Meskipun sedar bukan mudah memahat nama dan bakat sebagai penyanyi solo, saya tetap mahu mencuba.
“Bagi saya, wajar untuk lakukan sekarang untuk melihat sejauh mana penerimaan orang ramai,” katanya.
Mengakui ada kelompok peminat tersendiri, Zek berkata setakat ini penilaian diterimanya untuk single Hijrah sangat positif.
“Apapun, selain sokongan daripada peminat saya tetap mengharapkan single Hijrah mesra radio.
“Walaupun kini segara urusan promosi dan publisiti boleh dibuat melalui media sosial, pengaruh radio masih kuat,” katanya.
Meski sedar bukan semua radio memutarkan lagu kerohanian, Zek tidak gentar meneruskan usaha.
“Saya anggap apa yang dilalui ini sebagai cabaran dalam perjuangan. Saya harus berani menghadapinya.
“Malah, jauh di sudut hati mengharapkan single yang dipertaruhkan ini berjaya menambat hati pendengar muzik tanah air,” katanya.
Ditanya tidakkah teringin kembali berlakon, Zek berkata buat masa ini dia mahu fokus pada karier nyanyian.