Wan Sharmila selesa sederhana


Kali terakhir memegang watak antagonis atau jahat menerusi drama rantaian popular Nora Elena pada tahun 2011, pelakon Wan Sharmila mengakui teruja apabila sekali lagi diberi peluang menjayakan watak seumpama itu.

Wan Sharmila tidak kisah terima watak pembantu dan tetap berusaha

Wan Sharmila tidak kisah terima watak pembantu dan tetap berusaha memberikan warna kepada setiap lakonan yang dijayakannya.

Wan Sharmila, 37, atau nama lengkapnya, Wan Sharmila Wan Muhamed bakal muncul menerusi drama berjudul Semerah Cinta Humairah bersama Janna Nick dan Fahrin Ahmad selaku teraju utama.

Ujar pelakon drama Dekatkan Jarak Kita itu, dia menggunakan pengalaman yang diperoleh selama berkecimpung dalam industri seni untuk menjayakan watak tersebut.

“Saya teruja kerana sudah sekian lama tidak ditawarkan watak antagonis. Seingat saya, kali terakhir watak jahat yang dimainkan adalah menerusi karakter Yvonne dalam drama Nora Elena.

“Jika dahulu, saya memegang watak tersebut pada awal kemunculan tetapi dengan pengalaman yang ada kini, mahu menjiwai karakter itu dengan lebih mendalam lagi sehingga memberi impak kepada penonton.

“Sejujurnya, saya seronok bermain emosi menerusi watak jahat,” jelasnya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka anjuran Pencil Pictures & Records Sdn. Bhd. di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini.

Mengakui peminat masa kini yang dilihat lebih ekstrem, Wan Sharmila memberitahu, dia tidak takut berdepan kecaman apabila membawakan watak antagonis tersebut.

Katanya, jika dahulu, dia mengetahui keberkesanan lakonan yang dibawakan menerusi penerimaan peminat ketika bertentang mata dalam acara hiburan.

“Terdapat perbezaan membawakan watak baik dan jahat. Hal ini kerana saya perasan apabila memegang watak jahat, ada kalangan peminat langsung tidak mahu menegur saya ketika bertemu dalam acara hiburan.

“Bagaimanapun, berbeza pula layanan mereka ketika saya membawakan watak baik seperti dalam drama 7 Hari Mencintaiku,” ujarnya yang berharap supaya peminat tidak terlalu terikut-ikut sesuatu karakter yang dibawa selain perlu tahu membezakan antara kehidupan realiti dan lakonan.





Populariti

Ditebak perihal watak pembantu yang sering diperoleh, Wan Sharmila tetap berfikiran positif dan tidak menjadikan itu sebagai alasan untuk melakukan kerja sambil lewa walaupun jarang memegang peranan sebagai teraju utama.

Kongsinya, dia juga berfikiran agak skeptikal ketika mula-mula ditawarkan untuk memegang watak pembantu kerana berasa mana-mana pelakon tambahan juga boleh melakonkan watak itu.

“Saya akui kebelakangan ini sering ditawarkan watak pembantu atau sampingan kepada karakter utama. Pada permulaan, memang rasa watak seperti itu tidak memberi impak tetapi saya tetap berusaha memberikan warna kepada karakter yang dipegang.

“Malah, saya rasa seperti ditakdirkan untuk membawa watak pembantu berbanding teraju utama. Hal ini kerana jika watak pembantu gagal menyokong watak utama pun susah juga,” katanya sambil berpendapat memegang peranan sebagai heroin dalam sesebuah naskhah itu bukan yang mudah.

Katanya lagi, peluang untuk memegang peranan utama tidak sukar diperoleh tetapi pada masa ini, semuanya bergantung pada kehendak stesen televisyen dan sebagai pelakon, dia perlu akur dengan perkara itu.

Bercerita berkenaan pemilihan seseorang pelakon dibuat berdasarkan populariti, Wan Sharmila menyifatkan perkara tersebut bukan sesuatu yang sihat untuk diterapkan dalam industri seni.

Hal ini kerana, bakat serta populariti yang diraih perlu bergerak seiring demi memartabatkan industri seni tanah air.

“Saya rasa ia merupakan budaya dalam industri kerana mengambil seseorang pelakon atas dasar rupa paras berbanding bakat.

“Ada juga yang diambil berdasarkan jumlah pengikut yang ramai dalam laman media sosial dan tidak kisah sekiranya mereka pandai berlakon atau tidak,” ujarnya mengakhiri bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post