Syatilla Melvin reda keguguran


Syatilla Melvin mengakui, mahu memiliki sehingga lima orang cahaya mata.

Tiada kata yang mampu terucap daripada bibir Syatilla Melvin apabila mengenangkan kembali saat dirinya mengalami keguguran beberapa minggu lalu.

Tentulah, wanita berusia 26 tahun itu telah lama merancang untuk menambah zuriat selepas anak sulungnya, Syeriv Samheizy kini berusia setahun. Namun, rezeki barangkali masih belum berpihak kepadanya.

Ditemui pada majlis pelancaran jamu Mutyara di WowKL, Kuala Lumpur baru-baru ini, isteri kepada pelakon Shaheizy Sam itu kelihatan tenang bercerita mengenai kisah sedih yang dialaminya.

Sungguhpun benar-benar kepingin untuk menimang cahaya mata kedua, Syatilla yang mendirikan rumah tangga bersama Sam pada 8 Februari 2016 mengakui reda dengan segala suratan yang telah ditetapkan.

KOSMO!: Bolehkah Syatilla bercerita dengan lebih lanjut mengenai keguguran yang dialami baru-baru ini? Adakah anda sedar telah hamil sebelum itu?

SYATILLA: Ketika bercuti di Santorini, Greece awal Julai lalu, saya seperti dapat mengagak yang saya sedang hamil. Sebaik tiba di Malaysia, saya melakukan pemeriksaan dan disahkan berbadan dua.

Bagaimanapun sekitar beberapa minggu lalu, selepas mencuci tandas dan mengemas rumah, saya mengalami sakit pinggang dan pendarahan mula berlaku.

Adakah Sam di sisi ketika anda mengalami pendarahan?

Ya, dia ada di sisi saya. Ketika pendarahan berlaku, saya mengalami sakit yang melampau, seperti mengalami senggugut. Sakit mulai hilang apabila janin telah keluar sepenuhnya.

Sejujurnya, saya masih lagi dalam proses berpantang dan perlu berhati-hati dalam menjalankan rutin harian.





Apakah reaksi Sam apabila anda keguguran?

Saya dan Sam agak sedih memandangkan kami memang merancang untuk mendapatkan anak kedua.

Bagaimanapun, kami reda dengan ketentuan takdir. Sebelum mengandungkan Syeriv tahun lalu, saya juga pernah mengalami keguguran tetapi kali ini rasa sakitnya agak teruk.

Jika ada rezeki, saya mahu hamil lagi dalam masa terdekat.

Adakah anda merancang untuk membina sebuah keluarga yang besar?

Kalau boleh, saya mahu lima atau enam orang anak. Saya masih muda, jadi tidak salah untuk saya membina keluarga sebelum usia mencecah 40 tahun.

Jika ditakdirkan anda memiliki anak seramai itu, secara tidak langsung karier lakonan akan terhenti. Adakah anda bersedia untuk menjadi suri rumah sepenuh masa?

Saya tidak pernah memberitahu akan berhenti berlakon. Sam juga memahami diri saya yang memang membesar dalam bidang lakonan.

Cuma memang buat masa ini saya berehat sebentar bagi memberi tumpuan kepada Syeriv. Jika ditakdirkan menjadi suri rumah sepenuh masa, saya tidak kisah kerana anak-anak menjadi keutamaan pada masa ini.

Adakah anda masih merindui rutin berada di set penggambaran?

Ketika mula-mula bergelar suri rumah, saya agak kekok kerana sudah terbiasa mencari duit sendiri.

Kadangkala rasa rindu itu datang tetapi memikirkan perihal anak, saya lebih rela mengorbankan kerjaya sementara melihatnya membesar.

Saya tidak mahu terlepas setiap momen indah bersama Syeriv jika saya keluar bekerja.

Adakah anda mahu menjaga Syeriv dan tidak menggunakan khidmat orang luar kerana sering dimomokkan dengan berita-berita sedih melibatkan kematian bayi akibat kecuaian pengasuh?

Benar, apabila membaca berita seperti itu, saya menjadi lebih takut. Saya faham, ada ibu bapa yang memang sibuk dan terpaksa menghantar anak mereka ke rumah pengasuh.

Bagaimanapun, disebabkan suami mampu menanggung keluarga, saya rela untuk tidak bekerja demi menjaga anak. Saya berharap agar masalah seperti ini dapat diselesaikan dengan membina taska di setiap institusi pejabat.

Jadi, ibu bapa dapat menghantar dan menjenguk anak mereka ketika bekerja. Saya ada berbincang perkara ini dengan Sam dan kebetulan, dia mempunyai kenalan yang arif tentang pembinaan taska di tempat kerja.

Jadi, mungkin suatu hari nanti lebih banyak taska dapat dibangunkan dan memudahkan ibu bapa yang bekerja untuk menghantar anak.

Bercakap mengenai Syeriv, popularitinya semakin meningkat, terutama di media sosial. Adakah anda dan Sam membenarkan dia untuk masuk ke bidang seni kelak?

Apabila dia sudah dewasa dan ingin menceburi bidang seni, Sam tidak pernah menghalang. Cuma, menurut Sam, jika Syeriv mahu bergelar anak seni, dia perlu melakukannya dengan bersungguh-sungguh dan bukannya mahu mengisi masa lapang.

Sebagai isteri yang sentiasa berada di rumah menjaga anak, adakah anda pernah cemburu dengan suami?

Tidak sama sekali. Sam sering memberitahu perkembangannya dan saya juga kenal dengan kawan-kawan suami.

Post a Comment

Previous Post Next Post