Pelayaran sederhana karier Zara Zya


Perjalanan karier pelakon Zara Zya yang mula meledak menerusi drama Love You Mr. Arrogant bukanlah mudah.

Selepas bergelumang dalam industri seni tanah air sejak tahun 2011, pemilik nama sebenar, Zainurul Razia Mohd. Zainuddin, 33, kini mula mendapat tempat dalam hati peminat drama tempatan.

Malah, bakatnya menghidupkan sesuatu watak juga tidak perlu dipertikaikan lagi.

Mengakui perlu berusaha keras untuk berada pada tahap sekarang, Zara memberitahu, dia percaya dengan setiap produk yang dikeluarkannya.

Walaupun ada segelintir individu berpendapat namanya sekadar tempelan pada sesuatu karya dan kurang memberi impak, pelakon itu tidak melatah dan tetap optimis mengekalkan momentum seperti sedia ada.

“Saya tidak boleh memuaskan hati semua pihak kerana sudah berusaha sebaik mungkin untuk menjayakan sesuatu watak.

“Jika ada yang beranggapan drama lakonan saya tidak meletup seperti Love You Mr. Arrogant, saya perlu terima kerana masing-masing mempunyai pendapat mereka sendiri,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang akhbar Super Spontan Xtravaganza di Hotel Marriott, Putrajaya baru-baru ini.

Diajak bercerita berkenaan kontroversi dan gimik yang dijadikan sebagai pelaris untuk popular, pemenang Artis Baru Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular ke-27 itu mempunyai jawapannya tersendiri.

Tidak mengiya atau menafikan kedua-dua faktor itu menyumbang kepada kejayaan sesuatu produk, Zara memberitahu, ia terpulang kepada individu.

“Saya percaya dengan produk yang dikeluarkan untuk khalayak menerimanya. Kita boleh tahu sama ada sesuatu produk yang dikeluarkan itu bagus atau tidak.

“Setakat ini saya selesa membawa diri ke depan tanpa perlu membuat gimik atau kontroversi. Bagaimanapun, saya perlu mengikut percaturan yang diatur sekiranya terikat dengan syarikat pengurusan yang mempunyai strategi pemasaran sebegitu,” ujar pelantun lagu Tiada Dendam itu.





Percintaan matang

Menyentuh soal peribadi, Zara yang kini hangat bercinta dengan pelakon Hafreez Adam menyifatkan mereka melalui fasa matang dalam percintaan.

Selain bertolak ansur antara satu sama lain, dia berasa Hafreez sangat memahami dirinya walaupun berusia lima tahun lebih muda daripadanya.

“Setakat ini hubungan kami berjalan lancar dan dia merupakan seorang yang matang walaupun lebih muda daripada saya. Walaupun sibuk dengan karier masing-masing, kami masih tetap mementingkan perhubungan.

“Jika dia sibuk, saya tidak akan kacau dan begitu juga sebaliknya. Pada usia sekarang saya mahu menjalin perhubungan yang tenang dan matang,” jelasnya yang mempunyai pengikut seramai 2.2 juta dalam laman Instagram.

Ketika ditanya pendapatnya berkenaan kekasih hati, pelakon drama Tuan Anas Mikael itu memberitahu, dia selesa bersama Hafreez dan menyifatkan mereka mempunyai pemikiran yang sama.

Malah, mereka juga saling menyatakan sokongan dan menasihati antara satu sama lain baik dari segi kehidupan mahupun kerjaya.

“Apa yang boleh dikatakan, kami berkawan mengikut keadaan kerana kami juga manusia biasa dan tidak mahu peminat terlalu mengharap.

“Kita sendiri tidak tahu esok lusa bagaimana. Sejujurnya, kami sudah bertemu keluarga masing-masing dan mereka juga tidak membantah perhubungan kami,” ujarnya yang memberitahu, rakan-rakan baiknya iaitu Jihan Muse dan Fara Fauzana turut gembira apabila mengetahui hatinya kini sudah terisi.

Jelas Zara, dia masih belajar cara untuk menyesuaikan diri dengan keluarga Hafreez.

Hal ini kerana, katanya, bukan setakat mengambil hati, dia juga perlu menjaga diri dan pandai bergaul dengan mereka kerana tidak mahu selesa dengan pasangan sahaja.

Tidak mempunyai perancangan untuk melangkah ke gerbang perkahwinan, pelakon drama Kerana Anisa itu lebih selesa mengikut sahaja perjalanan hubungan cintanya setakat ini.

Cabar diri

Sementara itu, bercerita mengenai penglibatannya dalam program realiti permainan lawak spontan, Super Spontan Xtravaganza, Zara mengakui menerima tawaran tersebut sebagai peluang baginya mencabar diri.

Menyifatkan program itu memerlukannya bersedia dari segi mental dan fizikal, Zara turut teruja untuk bersaing dengan peserta lain.

“Apa yang penting, perlu ada idea selain selesa bermain sesuatu permainan. Saya berasa sudah bersedia dan mahu membuktikan kemampuan diri menyebabkan saya menerima tawaran menyertai program tersebut.

“Saya akui bukan profesional apatah lagi perlu bersaing dengan mereka yang sememangnya mempunyai pengalaman dalam dunia lawak tetapi itu bukan penghalang,” katanya yang tidak menolak untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada Jihan bagi mempersiapkan diri untuk program tersebut.

Menyentuh mengenai perkembangan terkininya, dia bakal muncul dalam program bual bicara Jihan Show 2 selain sibuk menguruskan perniagaan kosmetik dan pakaian.

Sudah melewati usia lapan tahun menjadi anak seni, Zara Zya kini merancakkan momentum kariernya dengan bukan sahaja menjadi pelakon tetapi juga penyanyi, hos dan pemain program realiti televisyen.

Post a Comment

Previous Post Next Post