Syurga di hati Ziana Zain


Tempoh 20 tahun memendam perasaan mungkin menjadi senjata paling ampuh buat penyanyi popular tanah air, Ziana Zain bangkit mempertahankan keadilan buat dirinya dan keluarga apabila memfailkan perceraian terhadap suami, Armin Zaharin Ahmad Zambri, 53, April lalu.

Tiada angin tiada ribut, istana cinta pemilik nama sebenar Siti Roziana Zain yang selama ini tampak sempurna dan bahagia pada mata masyarakat rupanya bersulam duri apabila satu per satu kisah dalam kain terdedah kepada pengetahuan umum.

Bermula dengan laporan polis yang dibuat oleh Ziana terhadap Armin kerana tindakannya mencederakan salah seorang daripada empat anak mereka pada 25 Februari tahun ini, wanita berusia 50 tahun itu tekad mencari jalan keluar daripada perkahwinan yang terbina atas dasar cinta.

Ketidakhadiran Ziana pada setiap sebutan kes pukul Armin menguatkan lagi spekulasi bahawa tiada lagi jalan berdamai antara pasangan ini dan ia disahkan apabila beliau membuat tuntutan cerai pada 3 April di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam.

Namun, pelantun lagu Putus Terpaksa itu tidak berdepan jalan mudah dalam tuntutannya apabila kes tersebut mengambil masa sehingga tiga bulan sebelum ia diselesaikan hujung minggu lalu.

Selain keengganan Armin melafazkan talak pada sebutan kali pertama, bekas suaminya itu juga pernah tidak hadir di mahkamah tanpa sebarang pemberitahuan. Ziana bagaimanapun tampak tenang seolah-olah sudah menjangkakan hal tersebut dan bersedia menghadapinya.

“Saya boleh bersabar selama 20 tahun, jadi akan teruskan sabar. Saya cuma minta Allah permudahkan semua urusan dan prosedur ini akan diselesaikan dengan baik,” komennya dengan senyuman nipis ketika ditemui pada sebutan keputusan Jawatankuasa Pendamai, 28 Jun lepas.





Berpisah jua

Bagi setiap mereka yang bersabar, pasti ganjarannya tidak sia-sia. Selepas hampir tiga bulan menanti dan tidak melatah sepanjang prosedur sebutan kes cerai, akhirnya perjuangan kakak kepada Anuar Zain ini membuahkan kejayaan.

Tidak ubah seperti tajuk lagu popularnya, Berpisah Jua yang pernah menghiasi industri muzik tempatan, tanggal 12 Julai 2018 menjadi tarikh keramat buat Ziana apabila ikatan perkahwinan antara dirinya dan Armin terlerai dengan talak satu.

Ibu kepada Muhammad Aiman, 18, Muhammad Ammar, 16, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9, yang pada hari itu berjubah hitam kelihatan tenang sewaktu Armin yang sedikit sebak melafazkan talak ke atasnya.

Sebaik melangkah keluar dari kamar mahkamah, air mata perlahan-lahan mulai mengalir pada pipi Ziana yang hadir ditemani oleh dua orang adiknya, Anuar dan Alin Zain.

“Syukur, syukur, syukur, alhamdulillah kerana semuanya sudah selesai dengan baik. Perasaan saya ketika ini masih bercampur baur, malah tidak tahu mengapa saya menangis.

“Terima kasih untuk semua yang mendoakan yang baik-baik untuk saya sekeluarga selama ini. Saya berharap selepas ini saya dan pihak sana dapat melakukan yang terbaik untuk anak-anak kami,” katanya kepada media yang hadir.

Dalam pada itu, saat ditanya adakah beliau masih menyimpan dendam terhadap Armin sepanjang mereka bergelar suami isteri, Ziana berkata, sudah lama lelaki itu dimaafkan.

Tiada sekelumit dendam yang tertinggal dalam hati wanitanya melainkan cukuplah apa yang berlaku dan ia sudah berakhir dengan perceraian yang dianggap jalan penyelesaian terbaik buat mereka berdua.

“Saya tidak pandai menyimpan amarah kepada orang. Saya sudah lama maafkan dia,” ujarnya sebelum meminta izin pulang dengan tangisan yang masih bersisa.

Kini pada usia 50 tahun, dengan 20 tahun kehidupannya pernah dihabiskan sebagai seorang suri bagi lelaki yang dicintainya, Ziana seperti terlahir semula.

Ziana kini menggendong gelaran asing buatnya, ibu tunggal beranak empat dan dalam status baharu yang sebolehnya mahu dijauhi oleh kebanyakan wanita, penyanyi kesayangan ramai ini mahu menelusuri kehidupan yang lebih aman dan membahagiakan hatinya.

Selamat menikmati pelayaran baharu Ziana.

zianazainfm.blogspot.com

Post a Comment

Previous Post Next Post