Sofi Jikan akui hilang kawan, tiada tawaran


Sofi Jikan mengakui tidak mahu berdendam dengan sesiapa selepas terkait kontroversi kes amuk Farid Kamil, Januari lalu.

Langit tidak selalunya cerah, juga tidak selamanya mendung. Buat pelakon Soffi Jikan, selepas ditahan berhubung laporan polis yang dibuat pelakon Datuk Farid Kamil pada 31 Januari lalu, kehidupannya tetap berjalan seperti biasa walaupun tiada tawaran lakonan.

Mengakui langsung tiada tawaran berlakon sejak insiden terbabit, pemilik nama sebenar, Mohamad Shoffi Jikan itu bagaimanapun mampu menarik nafas lega apabila ditawarkan watak hero dalam sebuah filem seram berjudul Jodoh Syaitan terbitan Da Motion Media.

Selain Soffi, ramai pelakon hebat lain yang turut terlibat dalam filem arahan pengarah Bob Hashim itu seperti Abam Bocey, Jay Iswazir, Wan Hanafi Su, Fauziah Nawi termasuk seorang pendatang baharu, Aprena.

Ditemui pada majlis pelancaran filem berkenaan baru-baru ini, Soffi membuka luahan jiwa.

Katanya, dia sentiasa berfikiran positif dan tidak menyimpan dendam kepada sesiapa pun. Sebagai inisiatif untuk mengekspresikan perasaannya, dia bakal muncul dengan sebuah filem diberi judul Tikam Belakang yang sudah pun memulakan penggambaran.

KOSMO!: Bagaimana kehidupan anda selepas segala dilanda kontroversi sejak awal tahun lalu?

SOFFI JIKAN: Sejujurnya, selepas apa yang berlaku saya hilang segala-galanya, termasuklah tawaran berlakon dan rakan-rakan.

Terdapat projek lakonan yang sudah ada kontrak pun terpaksa dibatalkan atas salah faham yang timbul.

Bayangkan, banyak kontrak projek sudah ditandatangani, namun nama saya digugurkan disebabkan perkara yang mengarut. Namun, saya tetap positif dengan apa yang berlaku.





Apa yang anda lakukan untuk menampung kehidupan selepas kontroversi yang berlaku sebelum ini?

Tiada tawaran berlakon, namun saya menjalankan perniagaan Bitcoin dan masih menjual minyak wangi.

Memang leceh kehidupan selepas apa yang berlaku. Rezeki itu luas kerana apa pun yang berlaku, saya akan tetap meneruskan kehidupan.

Saya tidak kisah jual minyak wangi di pasar malam walaupun saya seorang pelakon. Ada hikmah atas apa yang berlaku dan sekarang saya semakin matang dan sudah malas fikir tentang orang lain.

Maaf bertanya, ada usaha daripada mana-mana pihak atau anda sendiri untuk berbaik semula dengan Farid Kamil?

Saya tiada masalah dengan sesiapa pun. Malah saya tidak berdendam dengannya. Kes ini sudah berlarutan di mahkamah dan biarlah mahkamah yang tentukan siapa salah, siapa benar.

Saya cuma tidak mahu lagi dikaitkan dengan dia dan hanya ingin meneruskan hidup seperti biasa.

Kalau tiada aral melintang, saya akan menerbitkan sebuah filem diberi judul Tikam Belakang.

Adakah filem berkenaan ditujukan khas buat mana-mana individu dan bagaimana perkembangannya setakat ini?

Filem Tikam Belakang bukan berniat untuk menyindir mana-mana individu. Saya buat filem ini sebagai projek suka-suka. Kalau nak perincikan lebih mendalam, belum sampai waktunya lagi kerana masih lagi rahsia.

Penggambaran sudah dimulakan dan kalau sudah sampai waktu untuk dilancarkan nanti, saya akan umumkan kepada khalayak.

Baiklah, boleh komen sedikit mengenai peranan anda sebagai hero dalam filem Jodoh Syaitan?

Alhamdulillah. Hero sebenar filem ini adalah penerbit, Mokharul Shamsul Mokhtar yang memberi kepercayaan kepada saya untuk memainkan watak utama dalam filemnya.

Apa yang boleh saya janjikan, orang akan lihat sisi lain saya dalam filem ini. Kalau sebelum ini orang selalu ingat saya ‘gila-gila’ dan selalu tekankan cogan kata ‘kasi sengat’, kali ini siapa tahu mungkin saya akan hanya menjadi romantik. Terima kasih kepada penerbit kerana dialah hero sebenar, bukan saya.

Post a Comment

Previous Post Next Post