OAG selepas 26 tahun


Saat band Old Automatic Garbage atau singkatannya OAG muncul di pentas muzik pada tahun 1994 dengan album perdana dan hit 1960’s TV mereka telah mencetus fenomena luar biasa.

Masakan tidak, OAG yang ketika itu dianggotai oleh Radhi (vokalis), Qi Razali (dram), Lam (gitar) dan Ivan (gitar) hanya berusia 16 dan 17 tahun, tetapi berjaya menjadikan album Old Automatic Garbage hasil nukilan sendiri sebagai album bahasa Inggeris terlaris di Malaysia dengan jualan sebanyak 75,000 unit.

Kini selepas 26 tahun pelbagai kemelut dan dugaan pernah dilalui band ini. Antaranya, isu keluar masuk anggota merupakan perkara normal bagi mereka. Umpama tradisi, setiap kali melahirkan album, OAG pasti akan muncul dengan anggota baharu. Dan sehingga kini, hanya Radhi satu-satunya anggota asal yang kekal sepanjang OAG bernafas dalam industri muzik.

Bukan itu sahaja, masalah peribadi Radhi atau nama sebenarnya, Muhammad Radhi Razali, 40, juga pernah menjejaskan imej OAG. Radhi yang merupakan wajah dan identiti band tersebut berhadapan dengan masalah ketagihan dadah dan dimasukkan ke pusat pemulihan Pengasih selama setahun setengah pada 2011.

Sebaik Radhi dibebaskan daripada Pengasih, peminat bagai disihir oleh muzik OAG apabila mereka tetap memberikan sokongan terhadap band yang ditubuhkan pada 1992 itu tanpa sebarang prejudis. Hari ini, pada tahun 2018, OAG bergerak dengan Radhi, Qi Razali, Yen (gitar) dan seorang anggota baharu bernama Ammal (gitar).

“Saya bersyukur kerana peminat sentiasa bersama OAG walau apa juga keadaan kami. Sebelum ini memang ada pelbagai masalah daripada isu peribadi sehinggalah band. Saya mengaku ada melakukan kesilapan, tetapi itu semua sudah lepas kerana dengan usia sekarang saya yakin kami semua lebih matang.

“Peminat setia bersama OAG sehingga kini mungkin kerana keikhlasan kami dalam bermain muzik dan menghiburkan mereka. Sebab itu untuk album terbaharu, 02 Orang yang akan dikeluarkan pada bulan depan, kami kembali kepada asas. Maknanya, proses rakaman album dibuat seperti dahulu seperti sebelum era digital. Kami akan berlatih sehingga semuanya sempurna baru akan buat rakaman secara bersama,” ujar Radhi.

Radhi percaya dengan cara tersebut keikhlasan dan keseronokan berkarya akan lebih jelas kedengaran dalam album. Biarpun lebih banyak kerja berbanding menggunakan cara terkini membuat proses rakaman, OAG sanggup mengambil risiko tersebut bagi menyuntik kesegaran dalam karya terbaharu.

“Rasanya semua penyanyi lama ada penyakit seperti saya bila hendak keluarkan album baharu. Persoalan seperti adakah muzik yang dihasilkan dan saya sebagai penyanyi masih relevan dengan industri muzik hari ini? Terlalu memikirkan perkara tersebut membuatkan saya tertekan dan akhirnya memilih untuk kembali kepada asas kenapa saya hasilkan muzik,” kata Radhi yang ditemui pada majlis pelancaran single terbaharu OAG berjudul Infiniti baru-baru ini.





Ahli baharu

Bercakap tentang penyertaan Ammal atau nama sebenarnya, Mohamad Ammal Shafiq Osman, 23, Radhi mendedahkan ia berlaku secara kebetulan. Bermula sebagai pemain gitar gantian pada tahun lalu, keserasian yang terjalin antara mereka membuatkan Ammal yang berada di posisi gitar dan penyanyi kedua dipilih sebagai anggota tetap OAG.

Jarak usia sebanyak 17 tahun antara mereka bukan halangan kerana mempunyai ‘kepala’ yang sama. Bahkan tanpa berselindung Radhi memberitahu kemasukan Ammal dalam OAG secara automatik dapat meremajakan kembali band tersebut dengan sisi kreatif yang dimiliki naib juara program Akademi Fantasia 2016 itu.

“Saya memang ambil kesempatan terhadap pemikiran dan kreativiti orang muda seperti Ammal. Kami memang pilih yang muda kerana sedar diri semakin berusia dan sudah tidak larat untuk beraksi di atas pentas seperti dahulu. Ammal mengingatkan betapa gilanya kami di atas pentas suatu ketika dahulu.

“Alhamdulillah sudah hampir setahun Ammal bersama kami. Komitmen yang diberikan cukup luar biasa dan kadang-kala Ammal mempunyai identiti OAG lebih daripada kami sendiri apabila di atas pentas,” ujar Radhi yang turut memberi kebebasan kepada Ammal untuk berkarya dalam album OAG pada masa depan.

Ammal yang kelihatan masih malu-malu di hadapan media memberitahu, dia juga tidak percaya akan menjadi anggota band yang diminati sejak bangku sekolah rendah. Bagai impian menjadi nyata, Ammal mahu menggenggam peluang keemasan yang diberikan ini sebaik mungkin.

“Waktu OAG muncul dengan album pertama saya belum dilahirkan lagi. Malah, saya hanya mula mendengar lagu-lagu OAG ketika darjah dua. Waktu itu saya hanya mengenali lagu terkini OAG seperti Slumber dan Generasiku.

“Jarak generasi antara kami memang agak besar tetapi ia bukan satu masalah kerana semua anggota OAG mengalu-alukan kedatangan saya. Saya belajar banyak perkara baharu bersama mereka dan bersyukur dapat menjadi anggota sebuah band yang boleh dikira legenda,” tutur Ammal.

Berdikari

Menyentuh tentang perjalanan kerjaya OAG, selepas 26 tahun mereka akhirnya membuat keputusan untuk berdikari dan tidak terikat dengan mana-mana syarikat rakaman. Sebagai band senior, OAG dilihat agak lewat untuk bergerak secara indie berbanding band baharu yang lain.

Kata Qi, biarpun agak terlewat dia melihat hala tuju terbaharu OAG dengan penuh positif.

Kini OAG bergerak di bawah syarikat milik Radhi dan Qi iaitu Indiestry Empire. Pengalaman pertama kali menerbitkan album dan menguruskan kerjaya sendiri telah membuka mata mereka tentang kemampuan diri sendiri bukan sahaja sebagai pemuzik, tetapi ahli perniagaan dalam bidang seni.

“Bergerak sendiri sebenarnya sangat mencabar. Jika dahulu ketika bersama syarikat rakaman semuanya telah disediakan daripada bajet sehingga pemasaran album. Pengurusan bersama syarikat rakaman yang mempunyai kakitangan yang pakar dalam bidang masing-masing amat teratur.

“Berbeza apabila bergerak secara indie, semuanya harus difikirkan sendiri. Jika kami tidak bergerak, semua perkara boleh tertangguh. Proses rakaman album juga harus difikirkan dengan teliti kerana kami mengeluarkan bajet sendiri. Contoh acara pelancaran single Infiniti ini banyak kekurangan di sana sini.

“Namun, ini pengalaman baharu yang sepatutnya kami buat lama dahulu. Memang ia membuka mata kami semua betapa susahnya ‘berniaga muzik’ tetapi apa yang mengejutkan rupanya kami sebenarnya boleh buat kerja lebih daripada seorang pemuzik,” tutur Qi yang kini memberi fokus kepada OAG berbanding bidang pengacaraan.

Buah tangan pertama mereka adalah album ketujuh yang diterbitkan dalam bentuk mini berjudul, 02 Orang.

Kali terakhir OAG muncul dengan album adalah pada 2006 dengan album mini 01 Orang bersama syarikat rakaman EMI. Album itu bagaimanapun tidak sempat diselesaikan apabila EMI ditutup.

Album 02 Orang yang bakal dilancarkan pada bulan Ogos memuatkan enam buah lagu iaitu Ambisi, Infiniti, Bawah Tanah Air, Limbo, Burung Hantu dan sebuah lagu bahasa Inggeris berjudul Snow Ball. Buat peminat OAG, biarpun banyak band baharu muncul, OAG tiada duanya. Muzik dan kegilaan Radhi di atas pentas menjadi tanda ingatan bahawa mereka dahulu pernah muda.

Selepas 26 tahun dalam industri muzik, band OAG kini akhirnya bergerak sendiri tanpa berada di bawah mana-mana label gergasi. Biarpun dilihat seperti terlewat untuk berdikari, OAG tetap positif untuk bergerak ke depan di atas kaki sendiri.

Post a Comment

Previous Post Next Post