Haiza tidak percaya gimik


Bertempat di Kompleks Sukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Desa Tasik, Sungai Besi, telah berlangsung majlis rumah terbuka bersempena Aidilfitri penyanyi dan penyampai radio Kool FM, Haiza hujung minggu lalu.

Biarpun bulan Syawal sudah melabuhkan tirai sehari sebelum rumah terbuka berkenaan berlangsung, Haiza atau nama sebenarnya, Rohaizah Nordin bersyukur kerana dapat juga mendapatkan waktu dan tarikh sesuai untuk tujuan berkenaan.

“Alhamdulillah, jemputan untuk 400 tetamu terdiri daripada kenalan, peminat dan juga media. Tahun ini sedikit sibuk kerana sukar untuk mencari tarikh yang sesuai untuk mengadakan rumah terbuka.

“Tahun lalu, saya buat rumah terbuka di lokasi ini juga cuma bezanya, tahun ini tidak dapat buat (rumah terbuka) malam dan hari raya pun sudah habis. Tahun ini buat siang hari dan dapat menghabiskan lebih banyak masa dengan kenalan,” kata penyanyi lagu Dag Dig Dug itu ketika ditemui Kosmo! hujung minggu lalu.

Ditanya mengenai perkembangan seni terbaharu, isteri kepada Norhanapfe Omar itu masih sibuk dengan tugas sebagai penyampai radio stesen Hot FM. Selain itu, masih dalam perbincangan, dia sedang berbincang dengan pihak Indigital Sdn. Bhd. untuk muncul dengan single terbaharu.

“Masih lagi mengendalikan segmen PHD Kool. Dalam pada itu, saya sudah ada perancangan untuk single selanjutnya.

“Material sudah ada cuma masih lagi dalam perbincangan pihak Indigital untuk pilih mana yang sesuai. Lagu akan tetap mempunyai bunyi dangdut kerana itu memang signatur saya,” jelas penyanyi yang berasal dari sebuah perkampungan kecil di Benut, Pontian, Johor itu.





Gimik

Diminta pandangan tentang segelintir artis yang sengaja mewujudkan gimik bukan-bukan untuk melariskan produk seni, Haiza tidak bersetuju dengan perkara itu atas beberapa alasan.

Kata Haiza tanpa menyebut mana-mana nama artis, gimik harus bersesuaian dengan keadaan dan usia serta tidak mendatangkan pertelagahan idea dalam kalangan mereka dan juga peminat.

“Kalau ingin buat gimik yang pasti akan menjadi buah mulut orang, perlu fikir tentang akibatnya. Kadang-kadang saya tengok, buat gimik tidak sesuai dengan keadaan yang akhirnya memberi kemudaratan kepada diri sendiri.

“Jangan buat gimik sehingga membuatkan orang atau peminat berasa seperti mereka tertipu dengan perbuatan kita. Saya menyanyi sejak usia 15 tahun dan masih kekal tanpa gimik bukan-bukan atau perkara tular sehingga hari ini,” getusnya.

Mengulas lebih spesifik, tentang gimik pergaduhan artis dangdut Ifa Raziah dan Sheeda, Haiza mengakui turut berasa tertipu dengan gimik berkenaan.

“Saya pun tertipu dan secara jujur sebagai penonton kita akan fikir bukan-bukan. Ia juga menjadi punca orang bertelagah di laman sosial.

“Bagaimanapun, terpulang kepada mereka. Jika mereka rasa perkara itu boleh membantu kerjaya atau produk, terpulang,” ujarnya.

Sebelum menggulung perbualan, Haiza sempat dijentik pertanyaan tentang perancangan keluarga. Tanpa berselindung, dia mengaku mempunyai hasrat untuk menambah cahaya mata.

Ujarnya, sekarang adalah masa yang sesuai buat dia dan suami menambah seorang lagi anak. Justeru itu dia meminta peminat mendoakan diberi rezeki tersebut.

“Saya sudah bersedia jika diberi rezeki itu sekarang, harap semua doakan saya. Kalau boleh saya inginkan anak sepasang namun saya serahkan urusan itu kepada Ilahi.

“Anak saya Iman pun sudah berusia lima tahun dan selalu juga bertanya tentang adik,” ujarnya menutup perbualan.

Post a Comment

Previous Post Next Post