Dai Fahmi (kiri) dan Dai Hakim percaya dengan keberkesanan dakwah melalui ruangan media sosial seperti Twitter.
Bulan Ramadan lalu, dua da’i menjelajah ke dua destinasi terkenal dunia untuk mengenali budaya dan masyarakat Islam.
Da’i Fahmi yang belum pernah ke luar negara, berpeluang berkelana ke Bangkok, Thailand dan Da’i Hakim pula ke Bali, Indonesia untuk mengetahui mengapa dua destinasi tersebut menjadi pilihan pelancong dari seluruh dunia dan bagaimana kehidupan masyarakat Islam di sana.
Biarpun program berkenaan sudah tamat bersiaran, kedua-dua lelaki itu teruja kerana dapat menjejakkan kaki ke tanah di luar Malaysia, sekali gus berdakwah ke jalan yang diredai Allah SWT.
Kata Da’i Hakim atau nama sebenarnya, Muhammad Luqman Hakim Othman, 23, dia amat tertarik dengan keindahan semula jadi Bali yang amat terkenal dalam kalangan pelancong.
“Walaupun Bali dihuni majoriti penganut Buddha, penganut agama lain seperti Islam dan Kristian bebas mengamalkan agama masing-masing.
“Seronok dapat mengetahui bahawa walaupun Islam agama minoriti di sana (Bali), masyarakatnya amat menghormati pegangan agama masing-masing. Masjid pun senang jumpa di sana,” jelas juara Da’i Pendakwah Nusantara musim kelima itu.
Sementara itu pemilik nama lengkap, Muhammad Fahmi Zukifly, 19, yang berkesempatan merakamkan dua episod pertama di Bangkok, Thailand amat kagum dengan budaya serta nilai positif yang diamalkan penduduk di negara gajah putih itu.
“Sejujurnya, saya sedikit terkejut dengan keterbukaan masyarakat di Bangkok kerana sebelum ini saya tidak pernah ke luar negara.
“Apa pun bagi saya, kunci kepada keharmonian masyarakat di mana-mana tempat adalah sifat hormat-menghormati antara satu sama lain. Seperti di Malaysia, kita seharusnya berbangga dengan cara kehidupan masyarakat yang sentiasa aman damai,” tutur Fahmi.
Muda
Bergelar golongan alim ulama pada usia yang muda, Hakim berpendapat, dia tidak terkecuali menerima kritikan daripada orang ramai. Katanya, pada era yang serba digital sekarang, dirinya perlu kuat bagi menegakkan syiar Islam.
“Benar, kita muda. Siapalah yang sudi dengar. Namun bagi saya, muda atau tua masing-masing tidak terlepas daripada melakukan kesalahan atau dosa.
“Oleh itu, kita perlu sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu yang pelbagai. Orang label kita golongan bijak pandai agama dan itu adalah satu tanggungjawab yang besar yang perlu dilunaskan dengan baik,” kata Hakim yang masih menuntut dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Dakwah dan Pengurusan Islam di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Buat Fahmi yang juga merupakan pemenang tempat ketiga Da’i Pendakwah Nusantara musim kelima itu, dia bersetuju media sosial seperti Twitter merupakan platform dakwah yang paling berkesan pada era moden sekarang.
“Zaman sekarang amat mencabar. Kalau tersalah cakap, memang senang menjemput kritikan daripada netizen. Kalau cuba menegur perkara yang salah pun, kadang-kadang kita dihentam kembali.
“Bagaimanapun, bagi saya apa yang penting kalau ingin tegur kesalahan orang, perlu kena caranya. Seperti disarankan Rasulullah, kita mulakan teguran dengan lembut, namun kalau tidak berkesan, guna cara yang selanjutnya (sedikit keras),” getus Fahmi.
Sebagai mantan peserta Da’i Pendakwah Nusantara, Hakim dan Fahmi sempat menitipkan pesanan kepada bakal peserta yang akan bertanding untuk musim keenam akan datang.
“Pesan saya satu, kita masuk dalam bidang ini bukan untuk mencari glamor. Akan ada ketika pasti ada rasa terhanyut kerana kita pun manusia biasa, namun sentiasalah berpegang kepada alasan utama mengapa kita memilih untuk menegakkan syiar Islam,” kongsi Hakim menutup perbualan.